Artikel

Hadis Palsu Yang Sering Kita Dengar ini Sebenarnya Palsu

oleh Asri Yussof pada 27 Jun 2016

“Rejab bulan Allah swt, Syaaban bulan Rasulullah saw dan Ramadan bulan umat Nabi Muhammad saw.”

Tentu saja, setiap dari kita sering terdengarkan di dalam mana-mana ceramah, malah pernah juga dipetik oleh para khatib yang menyampaikan khutbah pada hari jumaat.

Kita diberitahu ini adalah hadis Nabi Muhammad saw. Walhal sebenarnya, hadis ini adalah hadis yang dhoif (lemah), ini dinyatakan oleh Imam As-Syaukani dalam kitab beliau Nailul Authar (4/334)

Sesetengah para ulama ada yang mengambil pendapat bahawa ini adalah hadis palsu. Antaranya, Imam Az-Zahabi dalam kitab beliau Tartibul Maudhu’at pada halaman 162, Sheikh As-Shaghani dalam kitabnya Al-Maudhu’at pada halaman 72 dan Imam Ibnu Qayyim dalam kitabnya Al-Manaarul Munif pada halaman 76.

Bulan-bulan Islam tiada sepesifikasi yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad saw, melainkan dalam firman Allah dan Hadis Nabi ini;

Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sini (hukum) Allahadalah 12 bulan, (yang sudah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi. Antaranya empat bulan haram (yang dihormati). Ketetapan yang demikian itu adalah agama yang betul dan lurus, maka janganlah kami menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya).

(Surah At-Taubah, ayat 36)

Abu Bakrah melaporkan, Nabi Muhammad saw menyatakan:

Sesungguhnya masa itu beredar sebagaimana hari Allah mencipta langit dan bumi, iaitu setahun itu ada 12 bulan. Antaranya ada empat bulan haram (yang dihormati), iaitu tiga bulan berturut-turut, Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharam. Seterusnya Rejab, iaitu antara bulan Jamadil Akhir dan Syaaban.

(Hadis direkodkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim)

 

Nota editor: Sumber diambil dari buku 40 Kisah Palsu Tetapi Masyhur Yang Disandarkan Pada Agama yang diterbitkan oleh PTS Publishing House terbitan pada tahun 2015. Buku ini ditulis oleh Tuan Mustafar Mohd Suki.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024