Artikel

Hantu Ataupun Badut Sarkas: Hantu Mahu Popular

oleh Chayu Afifi Noordin pada 28 Dec 2015

Selama ini para pembaca sering dihidangkan dengan cerita hantu yang menyeramkan dan menakutkan dari sudut pandang manusia tetapi jarang ada cerita dari sudut pandang hantu.

Jadi, penulis cuba mencari kelainan dengan menghasilkan novel hantu kelakar seperti ini. Saya yakin pembaca tidak akan menjadi takut dengan hantu apabila membaca novel ini.

Siri Hantu Mahu kali ini membawakan kisah seram bertajuk Hantu Mahu Popular. Penulis kisah novel seram ini merupakan penulis popular iaitu kak Ain Maisarah digandingkan dengan abang Azanil Fitri.

Gabungan dua penulis ini merupakan gabungan yang mantap dan menjadikan jalan cerita yang berlainan dan plot yang disusun amat unik.

Mahu tahu kenapa cerita ini unik? Bayangkan saja, selalu bila kita membaca novel seram, hantu yang menakutkan berwajah hodoh mencari manusia.

Tetapi dalam kisah Hantu Mahu Popular hantu dalam novel ini kelakar, persis badut sarkas sahaja gaya mereka. Memang tidak kering gusi membaca kisah-kisah hantu dalam cerita ini.

Cerita ini mengisahkan mengenai Sekolah Sri Bangsar dan apabila malam menjelma, para hantu akan belajar menjadi hantu-hantu yang menakutkan manusia.

Pelik bukan? Hantu pun pergi sekolah tahu? Sekolah Sri Bangsar juga dikenali sebagai Sekolah Seram Bangsar kerana menjadi sekolah yang paling seram ketika malam menjelma.

Konflik bermula apabila Sekolah Seram Bangsar telah didatangi oleh pegawai Pejabat Pendidikan Hantu Daerah. Lawatan tersebut adalah untuk menilai tahap keseraman hantu-hantu Bangsar.

Akan tetapi, rupa-rupanya hantu di Sekolah Seram Sri Bangsar tidak tahu cara untuk menakutkan manusia.Pontiana dan Pontiani, si kembar Pontianak hanya tahu membuat persembahan akrobatik udara.

Langsiwei si hantu yang hodoh, lebih pandai menjahit langsir raya. Dan si pocong pula pandai menari pocho-pocho dan bergelek penuh gaya.

Aduhai..ini hantu ataupun badut sarkas?

Setelah diberi amaran, malah diugut mahu menutup Sekolah Seram Bangsar. Pengetua terpaksa meminta bantuan pelajar-pelajarnya. Untuk takutkan manusia, jika tidak Sekolah Seram Sri Bangsar hanya tinggal nama.

Namun ia satu kerja sukar kerana manusia sudah tidak percaya dengan hantu.

Jalan cerita makin menarik, apabila hantu di Sekolah Seram Bangsar menukar cara, menggunakan pendekatan yang menjadikan semua hantu-hantu jadi popular.

Apakah cara itu? Mampukah ia berjaya? Bacalah novel seram Hantu Mahu Popular demi mendapat jawapannya!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024