Artikel

Hijrah Akhlak

oleh Roziyah pada 19 Jan 2012

Kejayaan seseorang individu pastinya akan sentiasa dinilai semata-mata pada harta kekayaan yang dimilikinya juga bukan dengan sebanyak mana ilmu yang diraih atau juga setinggi mana darjat dan pangkatnya tetapi kejayaan seseorang juga akan dinilai sehebat mana akhlak dan kebaikannya. Perumpamaan ada mengatakan, “Seseorang insan yang berjaya dihormati dan disegani bukan kerana kejayaan yang dimilikinya tetapi kualiti yang membawa dirinya kepada kejayaan.”

Perumpamaan ini amat mudah kita fahami kerana orang yang benar-benar berjaya kebanyakannya mempunyai disiplin diri yang tinggi sehingga membolehkannya berjaya. Nilai-nilai akhlak mulia yang diterapkan pada diri dalam melakukan apa sahaj membawa kepada kepercayaan orang disekelilingnya dan dalam masa yang sama mampu memberi contoh kepada orang lain bagi melakukan sebagaimana yang ditonjolkan olehnya.

Contohnya, seseorang Pengarah Urusan (CEO) yang hebat andainya memiliki sifat mahmudah seperti baik hati, menghormati orang lain, pemurah, menjaga masa, berdisiplin, dan bercakap dan bertutur dengan sopan dan sentiasa amanah dan benar dalam segala tindakan pasti akan mudah membentuk perilaku staf atau pekerja bawahannya. Sebaliknya sekiranya seorang ketua yang ingin dihormati dan ingin arahannya dituruti tetapi dalam masa sama dia juga mempunyai sikap yang tidak baik serta tidak boleh dicontohi ibarat ketam mengajar anaknya berjalan pasti akan diperkatakan oleh orang bawahannya.

Strategi dalam menentukan kejayaan atau membawa perubahan kepada kejayaan bagi seseorang individu tidak dapat dimulakan dengan perubahan kepada akhlaknya sendiri. Mungkin seseorang sudah terbiasa dengan perlakuan tingkah laku yang sedia ada, tetapi sekiranya dia ingin berjaya ia perlu melakukan perubahan dari sudut akhlaknya, kerana resipi kejayaan tidak lari dari menjaga akhlak dan sentiasa menambah nilai kebaikan kepadanya.

Bagi mengingati hamba bagi menjaga segala perilaku dirinya, Allah menyatakan dalam surah an-Nabak, ayat 39 hingga 40 yang bermaksud, “Pada hari ketika roh dan para malaikat berdiri bersaf-saf, mereka tidak berkata-kata, kecuali siapa yang diberi izin kepadanya oleh Allah yang maha pemurah, dan ia mengucapkan kata yang benar. Itulah hari yang pasti terjadi. Siapa mengkehendakinya, nescaya dia menempuh jalan kembali kepada Tuhannya. Sesungguhnya kami memperingatkan kepadamu seksa yang dekat pada hari manusia melihat apa yang telah diperbuat oleh kedua-dua tangannya dan orang kafir berkata, “alangkah baiknya sekiranya aku dahulu adalah tanah.”

Dipetik daripada buku 3i: Islam. Iman. Ihsan oleh Puan Sakinah Salleh

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024