Artikel

Ibu Bapa Adalah Perangsang Kepada Anak-Anak Yang Aktif

oleh Huzaifah Abd Jamil pada 21 Jun 2016

“Jangan lari-lari, nanti jatuh! Duduk diam-diam sini!”

“Jangan kayuh laju-laju, jatuh nanti!”

Ini merupakan salah satu ucapan yang sering kedengaran, ditujukan kepada anak-anak yang aktif.

Ilmu psikologi memperlihatkan, semakin ibu bapa melarang, semakin anak-anak rasa ingin ‘menunjuk.’

Dengan kita melarang dan marah dengan sikap aktif anak-anak, Tanpa sedar, mereka akan cuba memberontak, “orang lain boleh kenapa aku tidak boleh.”

Anak-anak dari 3 hingga 7 tahun, sangat gemar untuk mencuba sesuatu yang baru dan melakukan kerja-kerja orang dewasa.

“Ayah, adik nak cat rumah juga. Cat macam ini ya?”

“Mak, adik nak memasak juga. Nak pecahkan telur, boleh?”

Apa kata, kita ubah daripada fokus kepada sikap negatif anak dan marah-marah, kita fokus untuk merangsang dan memberi galakan dalam perkara yang mereka minat dan suka.

Syaddad r.a. Melaporkan , Rasulullah s.a.w. Membawa Hassan dan Hussinke masjid bagi menunaikan solat Isyak. Baginda mengimami solat dan meletakkan Hassan dan Hussin di sisinya. Sewaktu sujud, Baginda sujud begitu lama dan kelihatan kedua-dua anak itu berada di atas belakang Baginda. Selesai bersolat, ada yang mendatangi Baginda dan mengatakan, “Wahai Rasulullah, engkau bersujud begitu lama hingga kami menyangka sesuatu terjadi kepadamu ataupun engkau sedang mendapat wahyu. “Baginda menjawab, “Itu semuanya tidak terjadi, tetapi anakku ini menaiki belakangku dan aku tidak suka meyuruhnya untuk segera turun hingga dia benar-benar memenuhi keinginannya.”

Direkodkan oleh Imam An-Nasaie

Nabi Muhammad saw mengajarkan kepada kita untuk memberi perangsang dan galakan malah tidak meletakkan pagar antara kita dan anak-anak yang sedang membesar.

Ibu bapa perlu peka kepada kecenderungan anak-anak. Sokongan kita amat penting selain berusaha mengembangkan minat mereka terhadap aktiviti yang mereka sukai.

Dalam persoalan kekangan masa, di sinilah perlunya kebijaksanaan ibu bapa untuk mencari ruang bagi memberi perhatian lebih kepada anak-anak, supaya mereka tidak rasa terabai.

Dengan ini, anak-anak kita pasti akan dapat memotivasikan diri sendiri untuk melakukan aktiviti mereka dengan lebih baik pada masa akan datang.

Dan tentunya, yang lebih bergembira adalah kita, ibu bapa.

Ini antara tip dari buku 365 Tip Didik Anak Gaya Nabi, tulisan Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki, terbitan PTS Publishing House.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024