Artikel

Impian Menjadi Kenyataan?: Cinta Secret Admirer

oleh Huzaifah Abd Jamil pada 05 Dec 2016

“Dalam kehidupan ini, yang terindah, melalui usia remaja… senda gurau suka duka, sering berganti, meninggalkan kesan abadi…”

Lagu yang dipopularkan oleh Fauziah Ahmad Daud ini memang ada benarnya.

Kata orang, usia remaja adalah zaman perubahan corak pemikiran dan gaya hidup.

Amrina juga tidak terlepas untuk menikmati pahit manis zaman remajanya.

Sekolah Sri Bangsar menjadi tanda ingatan terhadap tiga sekawan dan lelaki idaman masing-masing.

Dalam kekalutan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang bakal tiba, Amrina sempat memasang angan-angan tentang cinta.

Ini antara topik panas dalam perbincangan dikalangan pelajar sekolah menengah masa kini.

Ini adalah cerita pembuka novel terbaru Haziq Ridzuan dengan judul Cinta Secret Admirer.

Kali ini, beliau membawa tema percintaan alam remaja yang cukup rasa - sedih, lawak, dan gembira.

Novel kali ini, kita akan mengenali sebuah lagi kumpulan di Sekolah Sri Bangsar.

Mereka bertiga dikenali sebagai Gadis Kaca Mata.

Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan The Wannababes, mereka ibarat langit dengan bumi.

Pelbagai ragam akan kita lihat sepanjang usaha mereka mengejar cinta hati masing-masing.

Tidak cukup dengan menjawab kuiz cinta dalam sebuah majalah kecantikan, mereka cuba mempraktikkan panduan dalam buku Resepi Mencari Cinta yang dijumpai di perpustakaan.

Secara luaran, Amrina tidak kisah langsung dengan kuiz cinta ataupun buku Resepi Mencari Cinta.

Namun dalam diam, dia cuba-cuba melakukannya ketika kawan-kawan lain tidak memberi perhatian.

Amrina bijak menyembunyikan perasaan terhadap Zul Irfan tanpa diketahui Noreen dan Syakila.

Bagaimanapun, rahsia terbongkar selepas Amrina secara tidak sedar membela Zul Irfan apabila mendengar gosip tidak baik terhadap kekasih idamannya.

Kemudian, bermulalah misi yang dirancang Noreen dan Syakila terhadap Amrina sebagai usaha memikat hati Zul Irfan.

Malangnya, lain yang dirancang, lain pula yang terjadi.

Paling memalukan adalah insiden makan kertas semasa sesi pembelajaran.

Adakah Amrina akan serik mengejar cinta? Mungkinkah semua perasaan akan kekal rahsia? Berjayakan jejaka idaman ditakluki hatinya? Temui jawapannya dalam Cinta Secret Admirer!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024