Artikel

Impian Setiap Gadis untuk Menjadi Ahli Kelab The Wannababes!

oleh Khairul Aswad Khairul Anuar pada 13 Jul 2015

Kuku Kim Kardashian telah patah dua minit lepas di Amerika, tetapi anda sudah mendapat informasi itu lebih cepat daripada rakan anda yang lain. Maka, anda mula bergosip mengenai kisah itu selama berjam lamanya sampai kering anak tekak. Hari raya sudah menjelang tiba, dan anda sudah berkira-kira untuk mengikut fesyen Hollywood arus perdana dengan ingin mengenakan busana raya bersama topi dengan bunga rafflesia di atasnya serta baju yang diperbuat daripada kotak.

Sewaktu bersiar di pusat beli belah Pavillion atau Suria KLCC, anda akan terus mencapai apa saja barangan terbaru daripada jenama luar negara. Makin tergeliat lidah mahu menyebut jenama itu dan makin banyak angka kosong di belakangnya, makin menggilalah anda untuk mendapatkannya.

Anda mempunyai semua sifat-sifat itu? Tahniah, anda mungkin berkongsi DNA kegedikan melampau yang melayakkan anda menyertai kelab gedik terkenal Sri Bangsar, The Wannababes.

Kali ini, Ain Maisarah berkongsi ruang penulisan bersama Haziq Ridzuan, seorang penulis muda yang juga peminat karya Ain Maisarah. Karya ini lebih tertumpu pada kisah The Wannababes yang sebelum ini terkenal dengan watak antagonisnya. Sebaik sahaja Shasha mengumumkan dia akan bertukar sekolah, menggelupur semua ahli The Wannababes.

Fasha pula menjadi tidak keruan dengan ketiadaan Shasha dan Fazura mengambil kesempatan untuk menggantikan tempat Shasha.

Tapi, sekejap! The Wannababes mengambil seorang ahli baru? Ada pelajar yang kekayaan dan kegedikannya hampir sama dengan ahli-ahli sedia ada? Siapakah dia?

Bagi yang pertama kali membaca kisah The Wannababes, anda mungkin akan terkejut dengan cara hidup dan perangai setiap ahli.

Kekayaan yang melimpah ruah, gaya hidup mewah ala artis, sifat bongkak yang menggunung. Namun, mereka semua masih menjadi idola dan dambaan semua pelajar Sri Bangsar.

Dendam, iri hati, licik dan sabotaj menjadi ramuan untuk naskah ini. Namun sila bertenang. Ini bukan kisah thriller.

Anda tidak akan berjumpa dengan bunuh-membunuh sewaktu membacanya. Tapi, adegan berdarah itu ada. Tapi bukankah ini novel untuk remaja-remaja yang comel? Untuk tahu, silalah membacanya.

Keahlian ahli baru membawa perubahan dalam The Wannababes. Tapi adakah itu perubahan yang mereka mahukan? Jadi, Shasha sudah tidak akan menyertai The Wannababes untuk selamanya?

Sekadar nasihat, berhati-hatilah sewaktu hendak membeli buku ini di kedai. Jika anda ingin selamat, mungkin ada perlu membeli secara dalam talian sahaja.

Mengapa? Kerana anda mungkin akan diserang dengan peminat-peminat fanatik Ain Maisarah yang berebut-rebut ingin mendapatkan naskah terbaru beliau.

Lagi-lagi apabila naskhah ini lebih mengisarkan tentang tujuh diva paling gedik yang terkenal, The Wannababes.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024