Artikel

Jika Kisah Cinta Romantis Realiti Persis Seperti Drama TV: Cinta Kita Macam Drama Dalam TV, Cuma…

oleh Khairul Aswad Khairul Anuar pada 17 Oct 2015

Sekarang kita berada di zaman orang muda-mudi gemar melepak di kafe-kafe hipster. Sebut saja nama-nama kafe baik yang bertaraf antarabangsa mahupun yang hanya berpengkalan di tepi jalan, asalkan produk jualannya ialah kopi, pasti akan menjadi kegilaan anak muda masa kini. Maka, beraturlah gambar-gambar yang dimuat naik ke laman-laman sosial. Baik kapucino, Americano, Latte, dan sebagainya. Namun untuk membaca buku ini, hanya ada dua jenis kopi yang perlu dipilih. Adakah espresso atau latte?

Penulis hebat, Haryani Kamilan kini muncul semula dengan buah tangan terbaru untuk memeriahkan industri novel tempatan. Menurut penulis, novel kali ini adalah sambungan daripada novel beliau yang terdahulu iaitu Aku, Espresso dan Latte. Namun jika anda melihat novel ini melalui kulit mukanya, anda langsung tidak menjangkan ia adalah sambungan kepada novel yang pernah menjadi bualan peminat novel satu masa dulu. Tapi kata orang, jangan dinilai melalui kulit buku. Jadi, bagaimana untuk menilai novel ini? Adakah sehebat naskah terdahulu ataupun ia lebih hebat lagi?

Novel ini masih lagi mengisahkan tentang cinta tidak kesampaian antara Aliya dan Qalel di mana Qalel telah ke Jakarta untuk menyambung pelajaran. Seperti dalam naskah terdahulu, Datuk Khalidah yakni ibu Qalel menentang perhubungan di antara Aliya dan Qalel. Namun, wanita itu masih lagi berkeras sehingga kini dan sanggup membuat pelbagai cara bagi memastikan Aliya yang dianggap tidak setaraf itu berada jauh daripada anaknya.

Cerita bermula apabila Qalel pulang semula ke Malaysia. Dia kemudiannya menghadiri majlis graduasi yang dia sangka, Aliya akan berada di situ untuk bergraduasi. Namun, apa yang Qalel tidak tahu adalah Aliya memang berkonvo pada hari sama, cuma bukan di kolej itu. Dalam pada masa yang sama, Aliya sedang bekerja secara sambilan di Kopitiam Makan Sampai Kenyang untuk menimba ilmu dan mengumpul wang bagi membuka kafenya yang sendiri. Amir yang dalam diam menyimpan perasaan terhadap Aliya banyak membantu wanita itu untuk mencapai cita-cita bagi membuka sebuah kafe.

Konflik semakin hebat apabila Datuk Khalidah mendapat tahu yang Qalel dan Aliya masih berhubungan sehingga beliau sanggup membuat perkara tidak baik kepada Aliya. Malah, Qalel juga dipaksa untuk bertunang dengan Nadia, anak kepada pemilik syarikat automotif terkenal negara. Dalam keterpaksaan, Qalel terpaksa menerima.

Aliya akhirnya berjaya membuka kafe dengan bantuan Amir. Mereka sama-sama memajukan bisnes sehinggalah kafe Aliya itu menjadi semakin maju. Walaupun begitu, Qalel masih lagi tidak berputus asa. Dia masih mencuba untuk mendapatkan semula hati Aliya. Tapi, hatinya menjadi pasrah dan luluh apabila mendapat tahu Aliya akan bertunang dengan pemuda lain. Apakah kesudahannya? Adakah Aliya memilih espresso, latte, ataupun ada kopi lain yang berjaya menangkap minatnya?

Novel ini bukanlah sebuah naskah yang berat. Ceritanya ringan tanpa perlu ada plot yang terlalu menyerabutkan urat saraf kepala. Membaca novel ini seolah-olah anda berada dekat dengan watak-watak di dalamnya. Walaupun sub plot begitu banyak digunakan, namun teknik penulis berjaya menjadikan plot-plot itu selari dengan cerita yang lain.

Jadi, bagi peminat fanatik hasil penulis ini dan mereka yang memang mengharapkan sambungan cerita ini, bolehlah segera dapatkan di pasaran. Oh ya! Di akhir cerita, pembaca pasti akan tersenyum sendiri mengenangkan seorang watak yang membuat kemunculan istimewa di babak akhir. Mungkin itu petanda akan ada sambungan lagi? Hanya penulisnya sahaja yang tahu. Tanpa buang masa, segeralah anda ke kedai buku berhampiran untuk membaca naskah ini bersama dengan kopi kegemaran anda. Pasti lagi umphh!

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024