Artikel

Kediaman Buku Dilancarkan, Write and Brave Bakal Dedah Kisah Radhi OAG Dalam Buku Terbaru

oleh Asri Yussof pada 04 Feb 2018

Acara pembakaran obor Kediaman Buku yang diadakan semalam sempena untuk merasmikan kedai buku yang baru, yang diberi nama Kediaman Buku, terletak di Setia Alam, Shah Alam berlangsung dengan jayanya.

Acara yang berlangsung bermula dari pukul 2.00 petang semalam sehingga lebih kurang pada pukul 7.00 malam mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Rata-rata yang hadir dari kalangan pembaca tegar, rakan-rakan penerbit, penulis, dan juga pemuzik.

kediaman buku

Dalam pada itu, majlis itu juga turut meraikan penerbit baru Write & Brave Sdn. Bhd yang mengambil alih syarikat penerbitan Terfaktab Media dan Rabak-Lit yang mengumumkan kehadiran mereka di dalam industri buku negara pada awal januari 2018 yang lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Write & Brave, Izzat Amir, berkata sesuai dengan nama syarikat mereka, gaya penulisan dan judul-judul buku yang bakal diterbitkan selepas ini akan bersifat lebih berani dan mengangkat topik-topik yang tabu.

“Write & Brave bakal hadir dengan penulisan yang bersifat radikal dan penulisan yang jujur. Kami akan membawa sesuatu yang lain dari penerbit lain. Topik-topik seperti Maknyah, seks dan topik lain yang bersifat tabu yang tidak mahu dibincangkan oleh penerbit lain, akan kami terbitkan.” kata beliau di Kediaman Buku semalam.

Radhi OAG dan Mohd Jayzuan semalam yang bersama-sama menjadi panelis di slot cerita buku pada acara pembakaran obor Kediaman Buku, mengumumkan mereka masing-masing bakal menerbitkan buku baru bersama dengan Write & Brave.

Radhi tidak mendedahkan tajuk buku yang bakal diterbitkan itu, malah beliau hanya memberitahu buku tersebut bakal mendedahkan kisah lampau beliau yang belum lagi didedahkan di mana-mana media.

Manakala, Jayzuan juga bakal menerbitkan buku yang menceritakan pengalaman peribadi beliau yang pernah sakit sebelum ini dan kisah-kisah lain dalam buku yang diberi tajuk Jalang Indie Rock.

Kedua-dua buku ini dijangka akan diterbitkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 yang akan diadakan di PWTC Kuala Lumpur bermula 27 April sehingga 6 Mei 2018 ini.

write and brave

Dalam pada itu, Azraei Muhamad, penasihat Write & Brave menjawab soalan bagaimana beliau memberanikan diri untuk mengambil alih Terfaktab Media dan membina Write & Brave walaupun tahu industri buku negara pada masa kini berada dalam keadaan suam-suam kuku.

Kata beliau, kita tidak boleh mengalah dengan industri. “Ada penerbit yang survive dan ada yang sudah tutup. Jika semua penerbit tutup, ini bermakna kita mengalah kepada ekonomi dan kepada permintaan yang ada. Mahu atau tidak kita perlu di sini untuk menyambung legasi yang ada”

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024