Artikel

Kenali Personaliti Guru Unggul: Misi Cikgu Baru

oleh Amiratul Awatif Ghazali pada 27 Sep 2013

Bagi mengubah murid-murid yang termasuk dalam kelompok lemah, guru perlu benar-benar faham mereka.

Apa caranya? Guru perlu peka pada setiap tingkah laku mereka, dan guru perlu gali sebab atau motif mereka berkelakuan begitu.

Cikgu Sharrif, seorang guru baru, berusaha mengubah persepsi anak-anak muridnya yang corot kepada cemerlang dalam pelajaran.

Beliau berjaya mempraktikkan semua ilmu dan rahsia yang diajar oleh Pak Cik Romley, iaitu tukang kebun sekolahnya.

Di samping itu, beliau menyelitkan nilai-nilai murni dalam diri anak muridnya seperti menghormati guru, ibu bapa, juga rakan sekelas.

Misi Cikgu Baru, sebuah cerita yang sarat dengan ilmu. Ia menyentuh berkenaan motivasi, ilmu alam, falsafah, psikologi, sistem pendidikan, kekeluargaan, dan banyak lagi.

Di sebalik cerita lawak ini, sebenarnya terselit motivasi-motivasi berguna dan praktikal kepada para guru khususnya, ibu bapa, serta pelajar.

Antara perkara-perkara menarik dalam novel ini adalah seorang ibu yang bekerja sebagai tukang jahit, mampu berbicara seperti ahli falsafah.

Seorang tukang kebun, mampu bercakap berkenaan sistem pendidikan dan teori-teori praktikal. Seorang rakan sekerja yang dianggap sahabat, sebenarnya mempunyai agenda tersendiri.

Setiap murid yang bermasalah boleh diselesaikan dengan mendekatinya dengan mata hati. Juga seorang guru bahasa Inggeris yang selalu memberikan semangat dan kata-kata perangsang.

Membaca buku ini membuatkan kita sebagai pembaca akan sentiasa berfikir, melihat dengan mata, dan menilai dengan hati perasaan seorang pelajar yang bermasalah serta cuba menyelesaikannya dengan perkara baru dan praktikal.



 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024