Artikel

Kenapa tidak ada Hadiah Nobel untuk Sastera pada tahun ini?

oleh Asri Yussof pada 29 Oct 2018

Isu moral adalah isu yang paling besar. Orang memandang moral dan kreadibiliti adalah sesuatu yang tidak boleh dipisahkan. Apabila seseorang telah melakukan sesuatu yang tidak bermoral dan melanggar undang-udang, kredibilitinya boleh terjejas.

Ini yang terjadi di Akademi Sweden. Apabila mereka mengumumkan Hadiah Nobel perubatan untuk P Allison dan Tasuku Honjo pada awal oktober lalu, tetapi tidak untuk Hadiah Nobel sastera. P Aliison dan Tasuku Honjo adalah dua saintis yang menemui bagaimana untuk memanfaatkan sistem ketahanan badan untuk melawan kanser.

Akademi Sweden terpaksa mengumumkan penangguhan Hadiah Nobel untuk Sastera pada Mei 2018 lalu selepas 18 wanita membuat dakwaan serangan seksual terhadap jurugambar Perancis, Jean-Claude Arnault, 72 yang merupakan suami kepada Katarina Frostenson yang merupakan salah seorang anggota jawatankuasa.

Arnault didapati bersalah merogol seorang wanita di apartmen Stockholm oleh mahkamah Sweden dan dihukum dua tahun penjara. Beliau juga diperintahkan untuk membayar mangsa £10,000 dalam ganti rugi atas serangan itu, yang berlaku pada malam 5 Oktober 2011.

Arnault menafikan semua tuduhan terhadapnya. Salah satu tuduhan itu berlaku pada pada 1996 lamanya. Pedakwaraya Sweden telah melakukan siasatan dan mendapati satu daripada semua tuduhan itu tertolak kerana kekurangan bukti yang kukuh.

Kenapa jenayah moral ini memberi kesan kepada Akademi Sweden untuk mengumumkan pemenang Hadiah Nobel sastera pada tahun ini?

Akademi Sweden menjalankan siasatan dalamannya sendiri pada April lalu kerana beberapa dakwaan mengaitkan dengan harta yang dimiliki oleh Akademi itu. Siasatan itu berakhir dengan mesyuarat yang memutuskan untuk membuang Cik Frostenson, seorang penyair dan penulis, dari 18 orang jawatankuasa yang terlibat.

Kes Jean-Claude Arnault datang pada masa ketika Akademi sedang menghadapi tuduhan percanggahan kepentingan dan berusaha mencari sumber yang telah membocorkan dan mendedahkan nama-nama pemenang Hadiah Nobel lebih awal.

Hal ini telah menyebablan Frostenson dan ketua organisasi, Profesor Sara Danius dibuang daripada senarai ahli jawatankuasa pemilihan pemenang Hadiah Nobel sastera 2018.

Pada 4 Mei lepas, pengerusi lembaga Yayasan Nobel Carl-Henrik Heldin berkata:

“Akademi Sweden telah memutuskan untuk menangguhkan Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan 2018, dengan niat untuk menyerahkannya pada tahun 2019. Menurut Akta Yayasan Sweden, Yayasan Nobel akhirnya bertanggungjawab untuk memenuhi niat dalam wasiat Alfred Nobel. Sepanjang beberapa minggu yang lalu, kami telah meneruskan dialog berterusan dengan Akademi Sweden, dan kami menyokong keputusan ini.”

“Pada dasarnya, Hadiah Nobel akan dianugerahkan setiap tahun, tetapi keputusan mengenai Hadiah Nobel boleh ditangguhkan atas sebab yang munasabah. Salah satu keadaan yang boleh membenarkan penangguhan, apabila situasi di institusi pemberi hadiah mempunyai masalah yang sangat serius sehingga keputusan hadiah tidak akan dianggap sebagai yang boleh dipercayai.

“Krisis Akademi Sweden telah menjejaskan Hadiah Nobel. Keputusan mereka menggariskan keseriusan situasi dan akan membantu melindungi reputasi jangka panjang Hadiah Nobel. Tidak ada kesan yang menjejaskan pemberian Hadiah Nobel 2018 dalam kategori hadiah lain.

“Yayasan Nobel menganggap Akademi Sweden sekarang akan berusaha untuk memulihkan kredibilitasnya sebagai institusi pemberi hadiah dan Akademi akan melaporkan tindakan konkrit yang dilakukan. Kami juga mengandaikan bahawa semua ahli Akademi menyedari bahawa kedua-dua usaha reformasi yang luas dan struktur organisasi masa depannya mesti dicirikan oleh keterbukaan yang lebih besar ke arah dunia luar. “

Akademi Sweden, yang ditubuhkan pada tahun 1786 oleh King Gustav III, adalah salah satu Akademi Diraja Sweden. Ia mempunyai 18 ahli, yang dipilih untuk menggerakkannya. Akademi ini membuat keputusan tahunan mengenai siapa yang akan menjadi pemenang Hadiah Nobel dalam Sastera, yang dianugerahkan dalam memori penderma Alfred Nobel.

Oleh sebab krisis dalaman yang berlaku, Hadiah Nobel untuk Sastera akan diserahkan pada majlis tahun 2019, bersama dengan anugerah yang lain kepada pemenang.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024