Artikel

Kisah yang Selalu Hadir Dalam Kehidupan: Kitalah Bintang

oleh Siti Zulfatihah Zahari pada 23 Oct 2015

Selepas kelahiran buku Mahligai dan Mencipta Mimpi, kali ini, Nazrul Kama muncul lagi dengan buku terbaru, Kitalah Bintang terbitan Open Bridge Publication Sdn.Bhd. ISBN 978 967 369 3085. Novel yang mempunyai 456 halaman ini, dibahagikan kepada 51 bab. Setiap bab mempunyai tajuk-tajuknya yang tersendiri. Apa yang menarik, idea-ideanya digarap kemas sehingga menghasilkan sebuah cerita yang cukup santai. Pastinya tidak membosankan.

Buku ini ditulis oleh seorang yang berpengalaman luas dalam bidang pengiklanan, perhubungan awam dan pengurusan acara. Kini beliau aktif sebagai penulis novel di samping bergiat dalam bidang seni visual. Kitalah Bintang merupakan novel ketiga, buah tangan dari penulis hebat, Nazrul Kama.

Awal penceritaannya, mengisahkan tentang seorang gadis bernama Fiza, yang baru tamat pengajian di UTM, sedang melalui proses mencari pekerjaan yang sesuai dengan bidang yang diceburinya. Dia dipertemukan dengan Lina, iaitu seniornya semasa belajar di UTM dahulu. Lina telah mencadangkan agar dia bekerja di agensi Bignoize Adversiting, yang mana  memerlukan seorang pelukis grafik serta berkebolehan dalam membuat ilustrasi.

Setelah berbulan-bulan bekerja di situ, Fiza mula merasakan kebosanan dalam tugas-tugas hariannya. Apatah lagi, dia hampir melakukan kerja yang sama berulang kali. Lain pula dengan Ehsan, seorang slacker yang berazam mahu membina  kerjayanya apabila mendapat peluang baru bekerja di agensi Bignoize Advertising.

Perkenalan Ehsan dengan Fiza telah membangkitkan satu aura perasaan yang luar biasa. Adakah Fiza menyedarinya? Selain itu, novel ini juga tidak lari dari menfokuskan tentang krisis cinta muda-mudi. Kemelut di antara Fiza, Ehsan dan Fauzi terperangkap dalam arus hidup yang semakin mendesak. Fauzi mahu tahu bagaimana pendirian Fiza, dan Fiza pula tidak tahu apa yang dirinya mahukan. Dan, bagaimana dengan Ehsan? Siapa pilihan terakhir gadis ini? Kondisi ini semakin rumit!

Dengan menggunakan gaya bahasa yang mudah, ringkas dan bersahaja, serta teknik penceritaan daripada pelbagai watak, Nazrul Kama telah mengungkapkan suatu kisah yang selalu hadir dalam kalangan masyarakat kita, yakni suatu kisah yang menarik untuk dihayati.


 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024