Artikel

Kreativiti Ubah Kajian Tesis Jadi Novel

oleh Roziyah pada 10 Aug 2011

Kebiasaannya, pengarang gemar menghasilkan novel menggunakan kreativiti dan pengalaman dalam mewujudkan perjalanan cerita yang menarik dan menghiburkan pembaca. Berbeza dengan penulis yang sudah dikenali namanya dalam bidang penulisan novel ini.

Fatimah Syarha Mohd. Noordin yang terkenal dengan penghasilan novel tauhid serta mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri terutamanya remaja membawa kelainan dalam penghasilan novel dengan menghasilkan karya berasaskan fakta dan kajian sebenar.

Sebagai penulis, beliau berpegang teguh dengan mendidik masyarakat dan berdakwah melalui penghasilan karya yang dapat membina keperibadian muslim.

“Novel bukan sekadar wadah hiburan semata-mata. Novel ini mampu menjadi wadah kefahaman Islam supaya dapat dilihat dan difahami oleh masyarakat secara keseluruhannya. Melalui novel, kefahaman Islam dapat disampaikan dalam bentuk cerita yang lebih mudah difahami serta lebih jelas dan tepat,” jelas beliau lanjut.

Lebih menarik, beliau sentiasa merujuk kepada sumber-sumber yang sahih iaitu al-Quran, sunnah dan perbincangan ulama-ulama yang dikenali.

Terbaru, Fatimah Syarha menggabungkan ilmu feqah dan psikologi bagi menghasilkan novel tauhid pertama beliau bersama PTS Litera Utama Sdn. Bhd. Lebih menarik, beliau dengan kreatif mengadaptasi kajian tesis beliau dalam bentuk novel.

“Kali ini saya menyentuh pelbagai persoalan mengenai pengurusan psikologi remaja, hati isteri, isu-isu gender, pergaulan, kekeluargaan serta isu-isu kemasyarakatan. Kisah realiti masyarakat diadunkan dengan fakta supata pembaca tidak hanya mengetahui realiti masyarakat yang berlaku malahan mengetahui hukum daripada segala yang berlaku dalam masyarakat,” ujar beliau kepada wakil media PTS.

Novel tauhid yang dihasilkan Fatimah Syarha menampilkan kelainan dengan menerapkan fakta serta menyelitkan nota kaki supaya pembaca dapat mengetahui sumber yang sahih.

Novel yang akan menemui pembaca penghujung bulan ini membawakan kisah seorang wanita yang merantau ke negara ini sebagai pekerja kebersihan di sebuah kolej swasta mendapat kedudukan istimewa daripada pelajar, pensyarah dan rakan sekerja kerana ilmu dan akhlaknya yang baik. Novel yang diberi tajuk Sebarkan Cinta-Mu ini membawa pembaca mengenali kehidupan Ibu Dhiya, hasil gilapan pasantren di Indonesia namun terpaksa berhijrah ke Malaysia kerana satu peristiwa. Beliau yang bijak dalam ilmu agama sering menjadi rujukan pelajar, pensyarah dan pekerja di kolej berkenaan.

Nantikan novel terbaru Fatimah Syarha bersama PTS Litera Utama Sdn. bhd yang menampilkan keunikan hasil kajian tesis beliau yang akan diterbitkan penghujung Ramadan ini.

Layari www.pts.com.my/ramadan bagi mendapatkan maklumat buku-buku promosi baca@ramadan PTS yang menarik dan memberi manfaat sepanjang Ramadan ini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024