Artikel

Kriteria Jiwa yang Tenang

oleh Roziyah pada 16 Jan 2012

Emosi seseorang mudah terganggu apabila berlaku dugaan yang tidak diduga juga kegembiraan atas sesuatu perkara. Apabila duka dia derita, apabila suka dia gembira. Emosi berkait dengan ketenangan jiwa. Individu yang mampu mengawal diri dan perasaannya dalam kedua-dua keadaan, sama ada suka ataupun duka, individu itu nyata memiliki kekuatan iman dan keteguhan.

 Bagi mengendalikan emosi diri, setiap individu perlu memperkuatkan jati dirinya serta tidak mudah goyah dengan keadaan yang melanda. Emosi yang mudah terganggu dengan perasaan marah, mudah tersinggung dan berfikiran negetif memudahkan emosi menjadi tidak terkawal. Di sinilah peranan sabar serta kekuatan iman memainkan peranan dalam mendidik jiwa menjadi tenang dan tidak resah gelisah dengan permasalahan yang membelenggu.

 Oleh itu, bagi menjaga emosi ataupun perasaan memiliki ketenangan jiwa, seseorang itu perlu mendidik, mengawal, serta mengendalikan emosi dengan menggunakan kewarasan akal. Akal yang sempurna sifatnya, mengetahui hakikat kebenaran akan menjadi teraju kepada emosi. Akal yang sempurna adalah akal yang sentiasa mencari hakikat dan menambahkan pengetahuan yang membawanya menyedari hakikat ketuhanan dan hakikat kehidupan.

 Oleh itu, Allah mengutuskan rasul dan nabi bagi membimbing akal manusia ke arah kebenaran. Ini dijelaskan dalam kata-kata Allah dalam surah al-Hadid ayat 25, “Demi sesungguhnya! Kami mengutuskan rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas dan nyata serta Kami turunkan bersama-sama mereka kitab suci dan keterangan yang menjadi neraka keadilan.”

 

 Bagi memiliki jiwa yang tenang, perkara berikut perlu kita perincikan dan pertangungjawabkan ke atas diri kita.

 

  1. Sentiasa meletakkan matlamat ke arah kesempurnaan diri di sisi Allah.

  2. Menjaga hubungan dengan Allah serta melaksanakan segala suruhan serta menjauhkan larangan-Nya.

  3. Hubungan sesama manusia dan alam perlu dijaga dan dipertingkatkan.

  4. Menunaikan amanah serta menyempurnakan segala tanggungjawab.

  5. Melepaskan diri daripada tanggungjawab hutang piutang.

  6. Berusaha memberi dan membuat kebaikan kepada orang lain.

  7. Meletakkan segala cita-cita demi kemaslahatan umat.   

     

    Dipetik daripada buku 3i: Islam, Iman , Ihsan oleh Sakina Salleh dan diterbitkan oleh PTS Millenia Sdn Bhd.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024