Artikel

Mak kata..

oleh Abdullah pada 22 Dec 2017

Lagi 11 hari, persekolahan 2018 bakal bermula. Bagi anak-anak kita yang masih bersekolah, mungkin ini adalah sesuatu berita sedih untuk mereka. Kerana belum puas menghabiskan cuti sekolah.

Masuk ke tahun baru memang semua nak yang baru. Baju sekolah baru, beg sekolah baru dan alat tulis baru. Minggu pertama januari adalah minggu yang paling meriah. Anak-anak datang ke sekolah bertemu kawan-kawannya.

Tapi yang tidak bagusnya adalah, apabila ada rakan-rakan yang mengejek kawannya kerana tidak mempunyai kelengkapan yang baru. Kes buli yang banyak berlegar di media sosial sebenarnya bermula dari sekecil-kecil perkara. Iaitu ejek mengejek sesama rakan-rakan.

Ibu bapa perlu mendidik anak-anak yang berpeluang untuk mendapat kelengkapan baru untuk persekolahan 2018 supaya tidak berbangga dan jangan mengejek mereka yang miskin yang tidak mampu membeli kelengkapan baru.

Saya dulu dari keluarga yang miskin. Mak ambil upah jahit baju dan ayah tukang rumah. Kalau ada orang nak baiki rumah, ayah dapatlah duit untuk menyara kami. Tiada slip gaji, tiada kwsp dan tiada socso. Kami orang biasa yang hidup di kampung menumpang orang rumah.

Walaupun keadaan begini, kami tak pernah berlapar pun. Walaupun makan ada ketika hanya dengan nasi putih, kicap dan ikan kering saja. Mak ajar supaya bersyukur. Mak kata “Syukur deh, kita susah tapi kena ingat ada lagi orang lain yang susah.”

Semua mak yang ajar. Mak ajar supaya buat kuih sendiri, buat roti canai sendiri, buat cekodok sendiri. Mak kata, “buat sendiri guna tepung setengah kilo dah satu keluarga boleh makan. Kenyang semua. Tapi kalau beli kat luar, RM3 tu baru berapa ketul yang dapat.”

Bila masuk tahun baru. Kami akan ada baju sekolah baru. Mak yang jahit. Kami tak pernah beli baju sekolah di kedai. Apa-apa mak yang jahit. Tapi pernah juga tak merasa baju baru sebab mak sibuk siapkan baju sekolah orang lain yang ditempah oleh jiran-jiran.

Pernah juga merungut dan bergaduh adik beradik. Masam muka dan marah-marah. Sebab ada yang mak sempat siapkan baju dan ada antara kami yang mak tak sempat nak siapkan. Tapi bila fikir balik, mak tak pernah nak cakap dia penat atau apa. Mak kata, “tak malu kat orang sebelah ke bergaduh ni. Sebut nama Allah, sabar, mak siapkan baju tu nanti.”

Bila dan besar panjang sekarang, baru lah faham macam mana mak membesarkan kami dalam keadaan serba kekurangan. Duit upah jahit baju dan duit kerja ayah berapa sahaja. Tapi mak ayah banyak bersyukur, sebab itu dia boleh membesarkan kami 7 beradik dengan berjaya.

Sekarang kakak sulung dah jadi cikgu di sandakan. Kakak nombor dua jadi cikgu juga di kota kinabalu. Kakak nombor tiga jadi cikgu di johor. Abang nombor empat jadi pegawai imigresen di sempadan singapura. Kakak nombor lima dia lah yang jaga mak ayah di Kelantan. Aku nombor enam, sekarang di KL. dan adik perempuan seorang yang baru habis SPM.

Dulu masa sekolah rendah, pernah rasa kerdil. Sebab kita tak mampu macam kawan-kawan yang lain. Kadang-kadang cemburu juga tengok orang lain ada basikal baru, tapi nak buat macam mana ayah tak mampu nak beli. Aku naik basikal yang ayah baiki balik dari pemberian atuk saudara kami. Itu pun dah gembira.

Sebenarnya, perasaan kecil yang pernah dirasa zaman dulu-dulu adalah penguat yang terbesar untuk berjaya. Pernah sekali sekolah ada nak buat lawatan, aku bawak balik surat lawatan dekat mak. Mak kata “Belajar tinggi-tinggi nanti nak pergi mana-mana pergi lah.” dan sekarang aku merantau di Kuala Lumpur, boleh melancong ke situ sini. Semua sebab mak kata. Apa yang mak kata adalah doa.

Tapi bila dah besar aku lupa dekat mak kadang-kadang. Bila telefon mak, mak kata “baru ingat mak ya. Lamanya tak telefon. Apa khabar?” tapi nada mak macam biasa, tak tunjuk nada kesal atau apa, walaupun jauh di lubuk hati mak, dia nak ada dekat dengan anak-anak.

Benda paling best, bila sebahagian gaji aku boleh bagi dekat mak ayah untuk belanja rumah dekat kampung. Perasaan boleh membalas jasa mak ayah adalah perasaan gembira yang tak dapat nak ungkapkan. Terima kasih mak ayah atas segala doa dan usaha selama ini.

Kepada cikgu di sekolah, anda boleh menjemput Booktruck PTS untuk memberi kelainan kepada para pelajar menyambut kemasukan persekolah yang baru untuk 2018 ini. Boleh hubungi En. Baha 016-6611960 atau Cikpuan Syafika 013-268 4092 atau Cikpuan Fatin 016-3132584 untuk tempahan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024