Artikel

Medan Pertukaran Idea Kreatif: Konvensyen The Muslim Show, Dakwah Kreatif Era Baru

oleh Siti Nur Shahira Zakaria pada 26 Mar 2014

Kuala Lumpur:  Bersempena dengan Konvensyen The Muslim Show yang  diadakan pada 22 Mac 2014, turut berlangsung pelancaran buku komik The Muslim Show yang disempurnakan oleh Ustaz Hasrizal Saifulislam bersama tetamu kehormat, Profesor Emeritus Abdullah Hassan dan Pengarah Penerbitan PTS Media Group Sdn Bhd  Fauzul Naim Ishak.

Semasa majlis pelancaran berlangsung, pertukaran buku komik The Muslim Show telah diadakan antara Hasrizal Saifulislam bersama kartunis The Muslim Show sebagai simbolik yang melambangkan pertukaran idea.Terdapat dua buah komik yang diterjemahkan daripada Bahasa Perancis kepada Bahasa Melayu yang dilancarkan pada hari konvensyen tersebut iaitu  Ramadan, Oh Ramadan… dan Jiran, Oh Jiran.

Konvensyen ini turut menampilkan tiga kartunis The Muslim Show dari Perancis, Noredine Allam, Greg Blondin, dan Karim Allam yang membincangkan mengenai topik Show, Don’t Tell.  Bagi memberi nilai tambah dalam tema yang diketengahkan, turut dijemput barisan panel-panel terkemuka tempatan bagi memeriahkan konvensyen tersebut. Antara panel-panel jemputan adalah Ustaz Don Daniyal, Ustaz Zamri Zainuldin, Ustazah Fatimah Syarha, Heliza Helmi,  Hilal Asyraf, dan Aiman Azlan.  

Konvensyen The Muslim Show turut menampilkan Felexia Yeap yang menjelaskan bagaimana akhirnya beliau bertudung. Sepanjang berlangsungnya konvensyen di Dewan Utama Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, panel-panel hebat berkongsi idea dan pandangan mereka berkenaan topik dakwah kreatif era baru. Selain itu, terdapat juga sesi soal jawab yang membolehkan peserta bertanyakan soalan secara langsung kepada panel.

Para peserta turut diberi keistimewaan untuk mendapatkan lukisan kartun percuma yang dilukis oleh kartunis The Muslim Show. Konvensyen The Muslim Show yang dianjurkan oleh PTS Media Group Sdn Bhd mendapat sambutan mengalakkan yang mana lebih daripada 300 ratus orang peserta menyertai konvensyen berbayar tersebut. Bagi menjayakan konvensyen ini pula,  PTS Media Group telah bekerjasama dengan Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS) bermula daripada persiapan sehingga berlangsungnya konvensyen tersebut. 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024