Artikel

Memasak Dalam Masa Satu Jam: Tolong! Saya Hanya Ada 60 Minit

oleh Izzati Nadia ZI pada 29 Mar 2016

Kesibukan bekerja seringkali menjadi masalah kepada wanita di luar sana. Selain daripada dihambat dengan lambakan kerja di pejabat, urusan di rumah juga perlu dijaga rapi. Perut suami dan anak-anak menjadi prioriti kepada seorang ibu dan isteri.

Berbekalkan lebihan masa untuk menguruskan rumah tangga, saya pasti para pembaca  menemui jalan buntu ketika mahu menyediakan hidangan untuk keluarga tercinta. Namun begitu, anda tidak perlu lagi risau tentang masalah seperti ini kerana Chef Azian datang membantu bagi menyelesaikan masalah anda.

Buku resipi Tolong! Saya Hanya Ada 60 Minit perlu dimiliki oleh semua wanita bekerjaya yang sentiasa sibuk di pejabat. Ini kerana, buku ini menyajikan resipi ringkas dan mudah yang boleh disediakan dalam tempoh satu jam sahaja. Malah, bahan-bahan yang digunakan juga tidaklah terlalu rumit untuk dicari.

Mengandungi 20 resipi hidangan menarik, Chef Azian memudahkan tugas para pembaca dengan membahagikan setiap lima resipi untuk seminggu. Maka, anda telah mempunyai idea-idea masakan selama sebulan. Mudah, bukan?

Tambahan pula, resipi yang terkandung dalam buku ini juga adalah resipi masakan campuran budaya. Sekiranya keluarga anda berasa jemu dengan hidangan masakan Melayu, apa salahnya jikalau sekali sekala anda memasak masakan ala barat di rumah.

Imej-imej yang dipaparkan juga kelihatan lazat. Saya gerenti bukan anda sahaja berasa tertarik untuk mencuba segala resipi ini, anak-anak dan suami juga pasti memberi sokongan penuh supaya anda memasak hidangan ini untuk mereka.

Selamat mencuba!


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024