Artikel

Memburu Cinta Abadi: Nikmatnya Bercinta Selepas Bernikah

oleh Amiratul Awatif Ghazali pada 12 Feb 2014


“Untuk diri yang sudah ‘terjatuh’ hatinya,

Pasakkan niat memburu berkat,

Sabar menantikan detik dan saat,

Kerana tiada apa lagi yang lebih indah,

Apabila hubungan diberkati oleh Allah,

Alangkah nikmatnya bercinta selepas bernikah!”


Apabila membaca blurbnya, akan terus merasakan seolah-olah buku ini bercakap dengan pembacanya. Buku Nikmatnya Bercinta selepas Bernikah adalah buku terjemahan daripada Nikmatnya Pacaran setelah Pernikahan.

Ia adalah hasil karya Salim. A. Fillah, iaitu seorang penulis yang mampu menyentuh hati para pembaca buku-bukunya. 

Buku ini dimulakan dengan menyentuh apakah maksud cinta yang sebenar. Cinta yang sebenar adalah cinta kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, seterusnya kepada ibu bapa.

Malangnya, cinta yang diagungkan oleh manusia sekarang ini adalah cinta kepada pasangan sebelum majlis pernikahan itu terjadi.

Ustaz Abdurrahman Al-Mukaffi, seorang pujangga yang terkenal menyatakan:“Cinta menjadikan pengecut sebagai pemberani, yang bakhil sebagai penderma, si bodoh sebagai si pintar, memfasihkan lidah, menajamkan pena para pengarang, menguatkan si lemah, mencerdaskan, serta mendatangkan kegembiraan dalam jiwa dan perasaan.”

Seterusnya, penulis menyentuh perihal menundukkan pandangan untuk kaum Adam dan Hawa. Al-Hakim merekodkan hadith daripada Rasulullah s.a.w.:“Pandangan adalah anak panah beracun daripada anak panah iblis.

Sesiapapun yang menghindarinya kerana takut kepada Allah, Allah akan mengurniakan keimanan yang dia temui rasa manisnya dalam hati.”Ia laksana orang yang sedang berpuasa.

Kekuatan dan kesabararannya teruji pada waktu dia menahan lapar, dahaga, dan dosa. Lalu, debaran kian terasa, apabila waktu berbuka semakin menghampiri.

Sehingga akhirnya, kemenangan memerangi nafsu yang penuh nikmat itu dapat dikecapi.

Penulis mengajak pembaca yang sedang menanti keindahan supaya menjaga kesucian. Insya Allah, perhubungan yang dijaga sejak awal akan membuahkan hasil yang lebih berkat. Ingat, Allah s.w.t. tidak akan menzalimi para hamba-Nya yang menjaga hak-hak mereka dengan sempurna.

Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.Justeru, percepatkan pernikahan, permudahkan urusan. Kerana sesungguhnya nikmatnya bercinta selepas bernikah!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024