Artikel

Menelusuri Alam Mistik: 5 Kisah Mistik dan Misteri

oleh Izzati Nadia Zi pada 16 May 2016

Khas kepada para peminat buku bergenre seram, kali ini Blank Book Sdn. Bhd. baru sahaja menerbitkan sebuah buku siri pertama seram mereka, iaitu 5 Kisah Mistik dan Misteri yang ditulis oleh Olvidado Shakur. Selain itu, buku bergenre seram ini juga boleh didapati dalam tiga siri yang lain, iaitu 5 Kisah Seram di Perkhemahan, 5 Kisah Seram di Perpustakaan, dan 5 Kisah Seram di Asrama.

Kepada mereka yang tidak pernah mendengar nama penerbit buku ini, Blank Book adalah imprint kepada Blink Book Sdn. Bhd. Jikalau sebelum ini, kebanyakan kisah seram remaja banyak diterbitkan daripada Blink Book karya Ain Maisarah dengan hasil gabungan daripada beberapa penulis lain.

Jikalau diberikan skala satu hingga sepuluh, sebagai seorang pembaca dan juga peminat buku seram, saya anggarkan tahap mistik dan misteri buku ini sebanyak lima peratus. Ini kerana, buku ini tidaklah terlalu seram untuk dibaca oleh kanak-kanak dan para remaja. Selebihnya, buku ini banyak memaparkan nilai-nilai murni di sebalik kejadian mistik yang ditulis oleh penulis buku ini.

Buku setebal 120 muka surat ini mengandungi lima kisah mistik yang menarik. Kisah-kisah tersebut adalah kisah bertajuk Masa Hadapan, Susuk, Nenek, Lebuhraya K.E.R.A.K, dan Tangkal. Saya simpulkan bahawa kisah berkenaan Susuk, Lebuhraya K.E.R.A.K, dan Tangkal mungkin boleh menyebabkan bulu roma pembaca meremang secara tiba-tiba.

Kisah pertama, iaitu Masa Hadapan memberi banyak teladan kepada para pembaca untuk menjadi seorang yang jujur di samping tidak melakukan apa-apa amalan yang bercanggah dengan agama. Kisah Susuk pula berkisarkan tentang bagaimana rakusnya seorang wanita ingin menjadi popular dan hidup dalam kemewahan, lantas dia memutuskan untuk memakai susuk perak yang akhirnya memakan dirinya sendiri.

Kisah Nenek pula adalah cerita yang biasa kita dengar dalam kalangan rakan-rakan kita sendiri. Bagaimana seorang nenek melakukan gangguan yang menyeramkan terutamanya di asrama-asrama sekolah. Namun, Nenek yang dimaksudkan kali ini sedikit berbeza daripada kisah nenek yang sering kita dengari daripada perbualan orang lain.

Kisah seterusnya iaitu kisah yang diadaptasi daripada kisah seram yang sering berlaku di lebuh raya Karak. Apa yang akan anda lakukan apabila menghadapi situasi bertemu sendiri dengan kereta kuning berhantu bersama dengan seorang pak cik tanpa kepala yang sedang melambai ke arah anda? Pada masa yang sama, had kelajuan kereta anda seolah-olah sangat perlahan dan tidak mampu untuk mara dengan lebih laju.

Kisah terakhir adalah Tangkal. Ia menceritakan tentang bagaimana seorang wanita bergelut untuk tidak menerima makhluk belaan daripada moyangnya. Namun, terpaksa juga dia menerima demi menyelamatkan seorang remaja sekolah daripada menjadi mangsa buli dan mangsa kepada makhluk tersebut.

Serba sedikit sudah saya ceritakan kepada para pembaca berkenaan dengan buku pertama Blank Book ini. Oleh itu, anda harus segera mendapatkan keempat-empat siri seram ini sebagai koleksi kisah seram anda. Kesemua kisah ini menarik untuk dibaca. Namun, jangan dibaca dalam gelap. Bak kata Olvidado Shakur, “Kalau kau nak rasa ada makhluk mistik yang memerhati waktu baca cerita, beli buku ini!”


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024