Artikel

Menyingkap Rahsia Penyelamat Yang Dinanti-Nantikan: Imam Mahdi

oleh Asri Yussof pada 25 Feb 2016

Pada Mei 2015 umat Islam dikejutkan dengan kehadiran seorang individu yang menganggap dirinya sebagai Imam Mahdi. Memetik laporan dari Suara.TV, lelaki yang berasal dari Medan, Sumatera, Indonesia itu mendakwa konon dirinya telah pun dibai’ah dan diangkat oleh 11 pengikutnya sebagai Imam Mahdi ketika upacara bai’ah yang dilakukan antara hajar aswad dan makam Ibrahim di Mekah pada 18 Julai lalu.

 

Perkara sebegini amat membimbangkan umat Islam kerana terdapat individu tertentu sengaja mengeksploitasi konsep Imam Mahdi demi kepentingan dan kemaslahatan sendiri.

Dalam buku Imam Mahdi tulisan Kamaluddin Nurdin, pada awal bab ini merungkai pembuktian sebenar berkenaan siapakah Imam Mahdi itu sendiri. Pemikiran Imam Mahdi adalah persoalan yang rumit dan sukar dihuraikan jika dilihat dari segi ilmu sosiologi.

Ini kerana, terdapat pelbagai tanggapan dan tafsiran yang dapat dirumuskan daripada setiap pengakuan yang dibuat oleh para ulama dan sarjana sehingga masalah ini menimbulkan kontroversi dalam kalangan umat Islam, sejak dahulu sehingga kini.

Dari perspektif Islam, pemikiran perihal Imam Mahdi adalah sebahagian daripada permasalahan agama dalam akidah Islam. Ahli Sunnah wal Jamaah dan Syiah sepakat, Imam Mahdi akan muncul pada akhir zaman.

Namun bezanya, Sunni menganggap persoalan berkaitan Imam Mahdi sebagai cabang permasalahan akidah ( furu’ al-akidah al islamiyyah) sehingga ia tidak perlu dibincangkan secara serius

Sebaliknya, Syiah menjadikan isu ini sebagai asas akidah Islam (usul akidah Islamiyyah). Maka, perbincangan ini adalah asas dalam bab akidah Imamah.

Kita Sunni atau Syiah, persoalan Imam Mahdi adalah persoalan kepercayaan tentang kedatangan hari kiamat.

Walaupun penulis menyebut perbincangan mengenai Imam Mahdi dalam akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak perlu sehingga membawa ke perbincangan terlalu dalam, namun buku ini membawa sisi perbandingan kepercayaan terhadap Imam Mahdi menurut perbincangan dalam Sunni atau Syiah. Penulis yang kepakarannya dalam kajian Syiah tentu saja akan memuatkan pada sudut pandang Syiah.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024