Artikel

Menyusuri Sirah Baginda: Atlas Rasulullah S.A.W

oleh Nurul Aida Abd Aziz pada 10 Mar 2014

Setiap helaian demi helaian dalam buku Atlas Rasulullah S.A.W membawa pembaca menelusuri perjalanan sirah Baginda secara lebih dekat lagi. Buku ini adalah rakaman sirah paling lengkap tentang Rasulullah dengan ilustrasi gambar berwarna.

Gambaran keperibadian Nabi Muhammad daripada perspektif sahabat juga dihuraikan dengan baik, sehingga membuatkan para pembaca begitu teruja dan menambahkan lagi kecintaan kepada Rasulullah. Info eksklusif yang dipaparkan dalam atlas ini berkisar tentang kehidupan Rasulullah, peta perjalanan, ekspedisi perang, dan suasana di dua tanah suci Mekah dan Madinah.

Penulis berjaya membongkarkan sejarah silam Semenanjung Tanah Arab dengan ilustrasi gambar dan peta yang berwarna, mampu menarik minat para pembaca untuk memahami lebih mendalam lagi keadaan bangsa Arab sebelum dan selepas kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.

Carta alir yang ringkas mengenai peperangan dan ekspedisi dakwah Baginda Nabi dipaparkan dengan huraian yang jelas dan teliti. Buku ini wajar menjadi salah satu koleksi buku dan rujukan setiap Muslim untuk lebih mengenali peribadi, sirah dan sejarah Rasulullah.

Semakin mengenali Baginda Nabi, semakin membuak-buak perasaan rindu untuk menemuinya. Semoga buku ini menambahkan kecintaan kita kepada manusia paling agung, Muhammad S.A.W.            

Lebih banyak lagi kisah dan rakaman sirah yang tercatat dalam buku ini. Raikan kasih Rasulullah dan suburkan cinta kepada Baginda dengan menghayati Atlas Rasulullah S.A.W.

“Sesungguhnya, untuk kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik. Iaitu untuk orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari Akhirat. Serta dia pula menyebut dan mengingati Allah dengan banyak ketika susah dan senang.”

 (Surah al-Ahzab, ayat 21)

 

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024