Artikel

Merah Jambu Idaman Kalbu: OMG! Gila Pink

oleh Siti Zulfatihah Binti Zahari pada 14 Oct 2015

Tentu ramai yang tidak tahu, siri OMG ini adalah siri yang bertemakan obsesi terhadap sesuatu perkara. OMG itu singkatan untuk perkataan Oh My God! Bagi siri OMG kali ini, penulisnya mengenengahkan kisah seorang pelajar lelaki yang terlalu menggemari warna merah jambu. Kebiasaannya warna merah jambu ini lebih sinomin dengan orang perempuan, bukan?

Memandangkan penulisnya sendiri iaitu Ain Maisarah juga fanatik dengan warna merah jambu, maka tidak hairanlah jalan cerita OMG! Gila Pink ini berkisarkan warna merah jambu seratus peratus. Garapan ceritanya sangat menarik dan penuh dengan humor yang pasti mencuit hati pembaca. Kisahnya berkenaan dengan Nazim Rosman yang begitu sukakan warna merah jambu sehinggakan bilik tidur, langsir, cadar, jam tangan dan segala koleksi peribadinya bewarna merah jambu! Itulah perangai yang dianggap melampau dan menjadi kerisauan oleh kedua ibubapanya.

Perangai Nazim Rosman yang fanatik ‘pink’ juga membuatkan dirinya dilabel lembut dan lembik. Dia dibuli dan diejek oleh rakan-rakan di sekolahnya. Hanya kerana dia berpenampilan terlebih ‘pink’ berbanding pelajar lain. Paling tidak disangka, oleh kerana dia amat sinomin dengan warna ‘pink’ di Sekolah Sri Bangsar, dia dengan mudahnya telah diperangkap serta dituduh melakukan kesalahan displin. Sangat tidak adil hanya kerana bukti-bukti kesalahan itu bewarna ‘pink’!

Selalunya, apabila ada orang lelaki yang menggemari warna merah jambu, tentu sahaja dia akan diejek oleh masyarakat kerana masyarakat kita sudah terbiasa mengatakan bahawa teori ‘lelaki yang meminati warna merah jambu itu adalah lemah dan bukanlah dalam kelompok lelaki sejati.’ Sentimen itulah yang ingin diubah oleh penulisnya. Tidak semestinya, lelaki yang gemarkan warna merah jambu seorang yang lemah. Mungkin itu hanya warna kesukaannya yang tidak menggambarkan sebarang maksud yang spesifik.

Selain itu, watak Zol, Jo dan Bob yang suka membuli patut dijadikan pengajaran dan bimbingan. Elemen ini, menjadikan buku OMG! Gila Pink, dihiasi dengan pelbagai rencah yang merancakkan lagi penceritaan. Pastinya anda tidak akan kering gusi membaca kisah lucu pelbagai kerenah dan gelagat pelajar Sri Bangsar yang obses terhadap perkara yang mereka minati.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024