Artikel

Palestin Dan Kita

oleh Mohamad Bahruddin Mohamad Bekri pada 18 Dec 2012

Dalam apa perkara sahaja yang kita belajar, biasanya kita terlebih dahulu diajarkan berkenaan asal-usul atau sejarah sesuatu perkara itu. Itu semua bukan sekadar pengetahuan am tetapi peranannya jauh lebih besar daripada itu.

Misalnya sahaja, kita belajar berkenaan ekonomi, pada suatu ketika kita akan diajarkan berkenaan sejarah ekonomi, bagaimana sesuatu teori matematik itu terbentuk. Bila dan mengapa. Sejarah itu bertujuan supaya pemahaman kita semakin kuat. Jadi apabila berdepan dengan sesuatu masalah ekonomi, kita dapat terus kaitkan masalah tadi kepada sejarah yang sudah kita pelajari. Lebih utama, kita mendapat idea kepada masalah tadi.

Begitu jugalah dalam isu Palestin. Apabila ditanya kepada kita, di mana kita harus bermula bagi membantu rakyat Palestin? Kita boleh mulakan dengan mempelajari sejarah konflik Palestin-Israel itu sendiri. Dengan mempelajari sejarah konflik Israel-Palestin, kita akan tahu di mana ‘lubang’ yang perlu ditutup dan ‘pintu’ mana yang perlu dibuka.

Mempelajari sejarah Palestin-Israel boleh dimulakan dengan membaca buku dan di PTS, Perang Arab Israel: Selagi Belum Kiamat

Kefahaman kita bagaimana konflik itu tercetus dan mengapa, hanya akan membawa kita kepada kefahaman yang lebih jitu. Kita tidak sekadar terbawa emosi dan mudah dipancing emosinya. Dalam novel Perang Arab Israel 1973 kefahaman kita semakin diperincikan. Bukan sahaja kepada perangai Israel, malah kepada bangsa Arab itu sendiri, dan sebagai orang Islam kita pasti tahu doa jenis apa yang kita mahu minta, selain meminta kehancuran negara Zionis itu sendiri. Namun, akar kepada permasalahan itu sebenarnya sudah terjadi beribu tahun dahulu. Dalam buku Biografi Muhammad bin Abdullah ada bahagian-bahagian menceritakan bagaimana hubungan Nabi junjungan kita dengan orang Yahudi. Bagaimana Yahudi itu sangat licik dan menjadi duri dalam daging kepada pemerintahan Islam di Madinah.

Semakin kuat pemahaman kita berkenaan masalah Israel dan dunia Arab, mungkin sudah tiba masanya kita menguji pemahaman kita itu, dengan membaca novel ‘Gadis Kecil di Pinggi Gaza’. ‘Menguji’ di sini, bermaksud adakah dengan kefahaman kita tadi, kita dapat menyelami hati gadis dalam watak itu? Adakah dengan kefahaman kita tadi, kita semakin bersemangat bagi membela orang Palestin itu sendiri.
Ini kerana kisah dalam novel itu, hanya secubit daripada duka rakyat Palestin. Duka yang kita mampu kenali daripada sejarah konflik Israel Palestin itu sendiri.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024