Artikel

Pendekar Melayu Terakhir Bina Jati Diri Melalui Komik

oleh Roziyah pada 27 Jul 2010


Lambakan komik daripada luar terutamanya dari Jepun telah memberi suntikan semangat kepada Tuan Azhar Abdullah bagi menghasilkan komik terbaharu.

Komik Pendekar Melayu Terakhir yang bakal terbit pada minggu hadapan ini mendedahkan penjajahan Jepun di Malaya satu ketika dahulu.

 

Dari kiri, Pelukis Komik Pendekar Melayu Terakhir sedang berbincang bersama editor Komik-M, Tuan Aliff Firdaus Azis

 

 

“Komik ini membawa mesejnya yang tersendiri. Hakikatnya pembaca masih lagi dijajah oleh lambakan komik Jepun. Melalui komik ini kita mahukan jati diri tempatan disemat dalam jiwa peminat komik,” kata pelukis komik, Azhar Abdullah.

Komik ini juga memaparkan fakta dan sejarah untuk dipelajari oleh pembaca bagi membolehkan mereka mengetahui sejarah sambil berhibur.

“Bagi saya setiap komik ada mesejnya yang tersendiri. Sudah menjadi tanggungjawab pelukis untuk menonjolkan jati diri melalui komik mereka,” jelas Tuan Azhar.

Menurut beliau, komik merupakan satu medium untuk penulis menyampaikan mesej kepada pembaca dan umum.

“Kini komik Malaysia semakin tenat dengan lambakan komik daripada luar negara. Saya sebagai pelukis komik Malaysia tampil untuk menyelitkan unsur jati diri dalam komik. Selain itu, melalui komik juga kita boleh mengetengahkan watak hero tempatan,” ujar beliau.

Pembaca juga perlu berfikir isi yang terkandung disebalik komik yang telah dihasilkan melalui komik yang telah dihasilkannya.

Beliau yang sebelum ini muncul dengan Liga Pendekar: Perikatan Adiwara menampilkan seni silat Melayu yang unik dan menarik selain menghidupkan kembali watak-watak klasik dengan nafas baru melalui karya-karyanya.

Apabila ditanya adakah beliau meminati komik persilatan, Tuan Azhar menegaskan yang beliau meminati semua jenis komik namun komik persilatan bagi beliau dapat menonjolkan kehebatan pekomik-pekomik Malaysia.

“Komik yang datang dari luar kebanyakkannya menonjolkan budaya diri dan negara mereka. Mengapa kita tidak menonjolkan kehebatan negara kita melalui komik yang dihasilkan?” beliau mengakhiri perbualan dengan menimbulkan tanda tanya kepada pembaca umumnya peminat komik di Malaysia.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024