Artikel

Perang-Perang yang Benar: Detik Cemas di Perang Uhud (Siri 3)

oleh Hairul Faizal Adli pada 16 Feb 2012

Mush’ab Bin Umair ditugaskan memegang bendera tentera Islam dalam Perang Uhud. Dalam perang itu, beliau berlawan dengan seorang tentera Quraisy iaitu Ibnu Qami’ah. Mush’ab memegang bendera dengan tangan kanan dan senjatanya berada di tangan kiri. Dalam pertarungan yang sengit, tetak-menetak dan libas-melibas pedang, Ibnu Qami’ah dapat menetak tangan kanan Mush’ab sehingga putus. Mush’ab lantas mencampakkan pedang yang berada di tangan kirinya dan segera menyambut bendera tentera Islam yang hampir jatuh.

Ibnu Qami’ah menetak pula tangan kiri Mush’ab dan bendera itu jatuh ke tanah. Mush’ab merebahkan tubuhnya bagi melindungi bendera itu. Ibnu Qami’ah menikamnya dan Mush’ab syahid di medan Uhud. Ibnu Qami’ah menyangka Mush’ab adalah Rasulullah, kerana wajah Mush’ab seiras dengan Rasulullah. Dia lantas menjerit berulang-ulang kali, “Muhammad sudah aku bunuh.”

Apabila mendengar berita Rasulullah sudah terbunuh, tentera Islam menjadi keliru, kelam-kabut, dan kucar-kacir. Dalam suasana yang gawat dan genting itu, Rasulullah berteriak, “Marilah datang kepadaku. Aku adalah Rasulullah.”

Teriakan Rasulullah menaikkan kembali semangat tentera Islam, tetapi kedudukan Rasulullah juga terdedah kepada musuh. Tentera Quraisy meluru dan menyerbu untuk membunuh Rasulullah. Para sahabat bermati-matian mempertahankan Rasulullah. Dalam keadaan genting itu, sebatang anak panah meluru laju ke wajah Rasulullah. Panah itu menembusi pipi baginda hingga terkena gigi seri di bahagian bawah sebelah kanan. Bibir baginda juga terluka.

Baginda yang cedera terkena panah hanya dilindungi oleh Saad Bin Abi Waqqas. Dalam kekalutan perang, seorang tentera Quraisy dapat mendekati Rasulullah lalu memukul baginda. Pukulan itu kena pada dahi baginda. Kemudian, seorang lagi tentera Quraisy datang dan melibaskan pedangnya ke arah Rasulullah. Libasan itu kena pada baju besi Rasulullah. Libasan seterusnya dihalakan ke arah bahagian kepala Rasulullah. Bahagian atas pipi baginda terkena tetakan pedang itu. Perisai muka dan penutup kepala baginda pecah. Serpihan besi perisai itu menusuk pipi dan melekat di rahang Rasulullah.

Dalam Perang Uhud, tentera Islam mengalami kekalahan selepas menang dalam Perang Badar. Perang Uhud ini sangat mencemaskan sehingga Rasulullah sendiri cedera teruk diancam oleh tentera Quraisy. Rentetan daripada Perang Uhud, Perang Khandaq tercetus dan kemudian Perang Khaibar.

Rentetan peristiwa dan sejarah perang dirakamkan dengan baik sekali dalam buku Perang-Perang Yang Benar. Buku ini diterbitkan oleh PTS. Maklumat lanjut boleh didapati di www.pts.com.my

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024