Artikel

Perigi Cari Timba. Adakah Betul Khadijah r.a Meminang Rasulullah s.a.w?

oleh Abdullah pada 06 Nov 2019

Banyak perdebatan dan pandangan dalam hal ini. Majoriti berpendapat Khadijah r.a yang melamar Rasulullah s.a.w untuk menjadi suaminya. Sebenarnya dua-dua betul, bergantung kepada cara kita menafsirkan kisah ini.

Oleh sebab keperibadian mulia yang ada pada Nabi Muhammad s.a.w, Khadijah begitu tertarik dan jatuh cinta. Beliau memberitahu Maisarah tentang akhlak yang dimiliki oleh baginda antaranya akhlak yang baik, pemikiran yang bernas dan kata-kata yang benar, dan memiliki sifat amanah.

Ini adalah calon suami impian Khadijah. Para ketua dan pemimpin kabilahnya menggalakkan beliau untuk berkahwin dengan Rasulullah s.a.w.

Hasrat ingin menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai suaminya disampaikan kepada rakannya, Nafisah binti Munyah. Rakannya itu berjumpa dengan baginda dan memberi dorongan supaya Nabi berkahwin dengan Khadijah. Nabi Muhammad s.a.w menerima dengan baik dan memberitahu bapa-bapa saudaranya.

Mereka berjumpa dengan bapa saudara Khadijah dan meminangnya. Hasil daripada itu, perkahwinan berjaya dilangsungkan. Bani Hasyim dan Mudhar menghadiri majlis itu. Majlis itu diadakan selepas dua bulan baginda pulang dari Syam.

Kisah ini menjadi bualan hebat adakah Khadijah meminang Rasulullah s.a.w atau pun sebaliknya? Jika kita semua setuju hasrat yang disampaikan kepada Nafisah itu adalah hasrat untuk meminang Rasulullah s.a.w, ia tidak salah.

Tetapi jika kita setuju yang meminang itu dilakukan oleh bapa saudara kedua-dua belah pihak, maka andaian Khadijah meminang Rasulullah s.a.w tertolak. Apa pun, wanita menyatakan hasrat untuk bernikah kepada lelaki yang disukainya tidaklah salah dari segi hukum syarat. Tidak ada nas dan dalil yang tetap mengharamkannya.

Sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Ibnu Mas’ud, yang bermaksud:

Wahai generasi muda, barangsiapa di antara kamu telah mampu berkeluarga hendaknya ia kahwin kerana ia dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Barangsiapa belum mampu hendaknya berpuasa sebab ia dapat mengendalikanmu.

Sebagai mahar pernikahan, Baginda Nabi s.a.w memberikan Khadijah 20 ekor unta muda. Khadijah adalah sebaik-baik wanita dari segi keturunan, harta dan akal. Dia adalah wanita pertama yang dinikahi oleh Nabi Muhammad s.a.w. Baginda tidak berkahwin dengan wanita lain sehingga Khadijah meninggal dunia. Ini bukti dimana, Nabi Muhammad s.a.w tidak mengamalkan poligami ketika Khadijah masih hidup.


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024