Artikel

Perjuangan Seorang Pemimpin: Tun M

oleh Izzati Nadia ZI pada 25 Mar 2016

Tun Dr. Mahathir Mohamad, nama yang tidak asing di negara kita. Seorang individu yang banyak membuat perubahan kepada Malaysia.

Malah, nama beliau juga turut dikenali di negara-negara luar sebagai seorang ahli politik yang berpengaruh.

Sepanjang tampuk pemerintahan beliau, pelbagai pembaharuan sudah dilakukan oleh Tun Mahathir bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang membangun dari pelbagai aspek.

Sehingga kini, walaupun hampir 13 tahun beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-4, namun begitu, sokongan kuat daripada rakyat Malaysia tidak pernah putus, terutamanya dalam

situasi tegang arena politik di negara kita pada hari ini.

Pemimpin ini banyak menabur jasa di negara tercinta. Antaranya seperti mewujudkan dasar-dasar dalam negara seperti Dasar Pandang ke Timur.

Ia bertujuan menaik taraf negara ini sebagai sebuah negara yang maju dan cekap dalam penggunaan teknologi, perdagangan, dan pendidikan.

Selain itu, jasa Tun Mahathir dalam melaksanakan pengeluaran automobil keluaran tempatan sekali gus menaikkan nama Malaysia di mata dunia.

Maka, terhasil kereta pertama ciptaan Malaysia, iaitu Proton Saga pada tahun 9 Julai 1985.

Wawasan 2020 yang sepatutnya menjadi pemacu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju adalah idea daripada Tun Mahathir juga.

Karya Sabaruddin Hussein ini adalah sebuah travelog dan temubual eksklusif berkenaan perjuangan negarawan dalam memerdekakan Tanah Melayu.

Ia menjadi tanda aras untuk beliau memulakan penulisan ini dengan lebih terperinci. Kisah seorang lelaki yang dibesarkan dalam sebuah keluarga yang mementingkan pelajaran.

Malah, beliau juga acapkali melihat kekurangan kaumnya sendiri, iaitu kaum Melayu dari dulu hingga kini.

Juga terdapat beberapa tokoh lain yang turut menyumbang maklumat untuk buku ini seperti Tan Sri Arshad Ayub, Tan Sri Abdul Aziz bin Tapa, Tan Sri Datin Paduka Seri Dr. Aishah Ghani, Prof. Emeritus Dr. Datuk Nik Hassan Shuhaimi Abdul Rahman, dan Prof. Dr. Datuk Abdullah Zakaria Ghazalie.

Buku ini banyak memaparkan tentang bangsa Melayu sebagai bangsa majoriti yang mendiami Malaysia.

Sejak dari zaman penjajahan lagi, kaum ini jugalah kaum yang sering ditindas dan menjadi hamba di tanah air mereka sendiri.

Kandungan buku ini juga menekankan tiada larangan bagi memilih perbezaan fahaman politik kerana kita mengamalkan konsep demokrasi.

Tetapi, Melayu perlu bersatu. Kata Tun Mahathir, bagi mengukuhkan politik orang Melayu bukan dengan mencantumkan parti Keadilan, Pas, dan UMNO.

Namun, mengapa kini UMNO kelihatan goyah walaupun keseluruhan ahli jawatankuasanya adalah orang Melayu?

Apakah salah pemimpin kita dan di manakah punca terjadinya tegangan isu politik ini?

Tambahan pula, generasi muda Malaysia masa kini bukan sekadar pengikut, tetapi sebuah generasi yang lantang menyuarakan hak mereka.

Lantas, siapa yang akan mempertahankan UMNO sebagai sebuah parti politik yang memelihara hak-hak orang Melayu dan Bumiputera?

Saya yakin, jikalau para pembaca memahami isi kandungan buku ini, kita sendiri akan berasa terpukul dengan kenyataan Tun Mahathir.

Ya, Melayu memang mudah lupa dan Melayu adalah bangsa yang malas.

Ia juga menceritakan tentang perjuangan beliau dalam memartabatkan negara demi bangsa dan agama. Jikalau anda seorang yang berjiwa nasionalisme, buku ini perlu dimiliki.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024