Artikel

Pertemuan Dua Musuh Di Kota Cinta Membawa Seribu Hikmah

oleh `Ismah Maisarah AMY pada 31 May 2016

Bienvenue a Paris! Selamat Datang ke Paris.

Paris. Destinasi pelancongan terkenal dengan jolokan nama kota cinta yang sering menjadi pilihan pasangan kekasih kerana latar lokasi yang romantis. Bahkan, Paris merupakan lubuk barangan berjenama yang terkemuka di seantero dunia!

Bukan itu sahaja, Paris turut dikenali sebagai Kota Fesyen. Banyak Fashion Show yang terbesar dijalankan di Paris dengan mengumpulkan para pereka fesyen yang tersohor! Jadi, bagi penggemar barangan mahupun koleksi pakaian berjenama dari Paris, pasti akan memilih untuk merasai suasana Kota Fesyen ini.

Blink Book Sdn Bhd menerbitkan sebuah lagi siri buku Aku Mahu yang terbaru iaitu Aku Mahu Ke Paris. Sebuah novel travelog ke Paris. Sangat menarik. Hal ini kerana, pembaca dapat merasai suasana ketika bercuti di Paris. Namun, buku kali ini ada kelainannya.  Panas lagi sensasi! Percaya atau tidak Farah dan Fasha menjadi kawan?

Kepada Blinkers yang sudah membaca buku Aku Mahu Popular, pasti sudah mengetahui kisah ‘epik peperangan’ antara mereka. Bagai anjing dengan kucing!

Buku ini mengisahkan Farah yang bertekad untuk bercuti di Paris dek penangan drama yang digemari, namun, ditentang oleh ibu bapanya. Tetapi, akhirnya ibu bapa Farah memberi keizinan kepada Farah untuk bercuti di Paris dengan syarat Kak Wati perlu ikut bersama. Bercuti di Kota Fesyen bersama orang gaji? Sangat tidak bergaya.

Kisah Fasha pula, dia membawa diri ke Paris untuk menghiburkan hatinya yang lara disebabkan masalah keluarga. Paris seperti kampung halamanya. Namun, kali ini Fasha pergi sendirian tanpa pengetahuan ibu bapa.

Ketika berada di Paris, banyak kenangan manis dan pahit yang mereka lalui. Tapi, rasanya, kenangan pahit lagi banyak dipahat yang akhirnya secara kebetulan telah mengeratkan silaturahim antara Farah dan Fasha. Wah, sungguh tidak disangka bukan? Untuk mengetahui apakah peristiwa yang berlaku di Paris, dapatkan naskhah ini sekarang juga!

Bagi pandangan saya sendiri, disebalik buku yang menceritakan pengalaman bercuti di Paris, turut diselitkan pengajaran yang boleh diambil iktibar. Antaranya, teguran ibu bapa perlu dipatuhi kerana ibu bapa lebih mengetahui apa yang terbaik untuk anaknya. Selain itu, ungkapan dari kawan jadi lawan, dari musuh jadi sahabat pasti anda sering dengar.

Tetapi, musuh jadi sahabat? Tidak Mungkin. Tetapi kita sebagai manusia haruslah berbuat baik sesama manusia tidak kira lawan atau kawan. Mana tahu akhirnya musuh kita menjadi penyelamat ketika waktu susah?

Berkawan biar ikhlas. Bergaduh biasalah dalam sesebuah perhubungan. Namun, ikatan silaturahim tidak boleh dipisahkan. Bagai aur dengan tebing. Sekian.

Tiket ada..

Passport ada..

Duit ada..

Jom kita terbang ke Paris bersama buku Aku Mahu Ke Paris!

Au Revoir!


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024