Artikel

Pilihan Terbaik PTS @ PBAKL 2013: Untuk Kita Pendosa

oleh Syarafuddin Sulaiman pada 19 Feb 2013

PBAKL 2013 kembali lagi bermula 26 April sehingga 5 April 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Temui kami PTS dan dapatkan Pilihan Terbaik PTS @ PBAKL 2013 antaranya adalah karya terkini Hilal Asyraf, Untuk Kita Pendosa. Buku ini ditujukan untuk kita, semuanya. Kita semua yang pernah berdosa dan berpotensi untuk terus berdosa. Oleh sebab itu, buku ini dinamakan: Untuk Kita Pendosa.

Pendosa. Siapa yang bukan pendosa dalam kehidupan dunia? Hanya Rasulullah S.A.W. dan para nabi sahaja maksum daripada segala noda. Tetapi buat kita manusia biasa, dosa hakikatnya adalah sebahagian daripada fitrah.

Saya, anda, dan manusia di sekeliling kita, semua punya dosa. Tinggal jelas, ataupun tersembunyi sahaja. Masing-masing ada aib masing-masing. Tinggal terzahir atau terhijab sahaja.

Buku ini bukan buku biasa. Persoalan dosa bukan persoalan biasa. Persoalan dosa bukan persoalan main-main. Ini persoalan mahu ke syurga ataupun mahu ke neraka. Jadi, adakah ini buku marah-marah? Adakah ini buku benci-membenci? Adakah ini buku penuh geram, penuh dendam?

Tidak. Ini buku motivasi. Ini buku motivasi untuk kita semuanya, para pendosa. Sebab itu buku ini tidak biasa. Tidak biasa namun jelas pentingnya. Dalam buku ini, kita didedahkan banyak perkara. Antaranya kita menjadi faham yang persoalan dosa bukanlah persoalan sama ada dosa yang dilakukan itu jelas ataupun tidak.

Persoalan dosa bukanlah persoalan dosa itu diampunkan ataupun tidak. Persoalannya, apakah kita mahu membersihkan dosa-dosa kita ataupun tidak? Persoalannya, adakah kita sudah mula memohon ampun ataupun tidak? Kita sering mendengar cacian dan makian kepada pendosa.

 “Ini semua adalah ahli neraka!”

 “Mereka ini tiada harapan.”

“Inilah dia sampah masyarakat.”

Ini bukan buku begitu.

Bukankah Allah dalam ayat 110, surah an-Nisak, berpesan, “Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Sekiranya Tuhan sendiri sudah berjanji, siapalah kita untuk menafikan?

Untuk kita pendosa, Tuhan sendiri sudah berjanji. Maka setiap daripada kita ada alasan. Setiap daripada kita mempunyai motivasi. Motivasi untuk terus hidup walaupun banyak silapnya. Motivasi untuk memohon ampun walaupun punya lautan dosa. Untuk kita pendosa, buku ini adalah peluang yang dinanti-nanti.

Dapatkannya segera di kedai-kedai buku yang berhampiran, atau beli secara online dengan diskaun istimewa di PTS Bookcafe, www.bookcafe.com.my

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024