Artikel

Pujian

oleh Roziyah pada 14 Dec 2011

Dipetik dari blog Prof. Muhd Kamil Ibrahim di http://muhdkamil.org/blog/2011/12/14/pasport/

 

Menerima pujian dengan perasaan sombong dan angkuh sangat-sangat merosakan hati. Amal-ibadat hanya menjadi sia-sia jika ia dilakukan kerana mengharapkan pujian.

Pujian merupakan satu ujian kerana ia juga sebahagian daripada kisah kehidupan.

Tanyalah bekas staf saya di Malaysia – agak saya - mereka mengenali saya sebagai seorang ketua yang mudah menyebut kata-kata yang baik-baik, Misalnya, “Ros, awak kelihatan berseri-seri hari ini” atau “Siti, awak sangat sesuai dengan pakaian ini”.

Dalam konteks dunia penulisan saya mungkin menyebut, “saya tidak tahu yang awak boleh menulis sebaik ini”.

Pujian-pujian yang dinyatakan keluar secara semulajadi kerana ia sifat yang tertanam sejak remaja.

Jika rakan sejawat berjaya menerbitkan buku, saya akan ambil buku tersebut sambil membaca blurb, melihat-lihat isi kandungan dan secara mudah akan menyatakan, “tahniah, menulis bukan mudah dan buku ini kelihatan menarik”.

Ia memberi kesan besar kepada penulis berbanding dengan buat “endah tidak endah” dengan kejayaan rakan tersebut.

Namun pujian ini berbeza-beza cara ia disampaikan. Misalnya untuk Sofea, “Alhamdulillah, pandai Sofea, ayah sendiri tidak tahu bagaimana mahu melakukannya,” apabila melihat beliau menghantar ucapan melalui FB.

Jika seorang profesor saya nyatakan, “saya menyenangi tulisan-tulisan prof, ia mudah untuk difahami”. Memuji staf sokongan berbeza caranya berbanding dengan kumpulan profesional.

Allahu Akbar, ia satu seni.

Kemudian bila saya mendalami ilmu pujian, banyak hadis-hadis yang bersifat bertentangan, pujian yang merosakkan hati dan pujian yang diharuskan. Para ulamak berpendapat, pujian yang melampau-lampau dan terkandung unsur-unsur pembohongan tidak dibenarkan.

Salah satu perkara yang jelas Allah sendiri memberi pujian kepada Nabi dan para Rasul serta mereka yang beriman. Namun cara pujian itu disampaikan tidaklah sama sebagaimana pujian yang saya sebut sebelum ini.

Baginda SAW juga sering memuji para sahabat. Misal, saya membaca kisah taubat Ka’ab bin Malik melalui Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2376.

......Gembiralah kamu dengan kebaikan yang kamu terima hari ini, yang belum pernah kamu terima sejak kamu lahir.” Tanya ku, “Apakah kebaikan itu datang dari Anda atau dari Allah Ta’ala?” Jawab ...beliau, “Bahkan dari Allah Ta’ala!” Biasanya apabila Rasulullah saw. gembira, wajah beliau bersinar-sinar bagaikan bulan. Kami tahu benar akan hal itu…....

Ada dua penilaian. Pujian melalui kata-kata dan melalui bahasa badan. Inilah pujian peringkat tinggi. Ia boleh dihuraikan tetapi di sini biarlah ia ringkas dan santai!

Dan ia boleh diaplikasi kepada anak-anak tanpa kata-kata tetapi memadailah dengan menyebut, “Alhamdulillah, Allah bagi Sofea pandai, mari sini ayah hendak sayang pipi dan hendak dukung Sofea….”

Jikalah saya boleh memutarkan jam, maka inilah kata-kata saya kepada staf yang bagus bekerja, “Subhanallah, MasyaAllah, Alhamdulillah, Allah bagi awak kemudahan untuk menulis. Flow tulisan awak sangat mengasyikkan. Saya doakan awak lebih banyak lagi dapat menghasilkan penulisan yang bermutu”.

Pujian baginda juga sering dinyatakan dengan cara berdoa. Itulah salah satu sifat memuji yang perlu kita praktiskan. Misalnya, “Alhamdulillah Allah bagi kekuatan kepada awak untuk bangun malam. Saya doakan awak istiqamah”.

Ia mengubah perspektif pujian dengan cara yang tidak merosakkan hati penerima dan juga penyampai. Akhirnya, tidaklah kita mengambil keputusan, “tidak boleh memuji, ia merosakkan hati!”. Ia dinilai tanpa pandangan sisi. Menghukum tanpa memudahkan.

Ketika saya menulis, Roza menghantar jemput-jemput ikan bilis dan saya nyatakan kepada beliau, “Ya Allah pantasnya awak… saya doakan supaya Allah memberi kesihatan yang baik agar awak boleh terus memasak untuk saya dan keluarga”.

Akhirnya, menyampaikan kata-kata juga perlu berdoa dan mohon keampunan. Apabila bangun pada 1/3 hujung malam yang tersisa bermunajatlah kepadanya, “Ya Allah jadikanlah tutur kataku sebagai satu amal ibadat ya Allah dan ampunkanlah salah silap ku dalam berkata-berkata”.

Saya mohon keampunan Allah.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024