Artikel

Rahsia Bersahur: Implikasi Bersahur pada Tubuh Badan

oleh Elcy Syafina Syafri pada 08 Jul 2014

Bersahur adalah salah satu amalan yang penting di bulan Ramadan. Ini dapat dibuktikan dengan terdapatnya hadith-hadith nabi yang sahih dengan menekankan berkenaan kepentingan bersahur pada bulan puasa.

Antara hadith nabi yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Nasai, dan Ibn Majah yang bermaksud, ‘ Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatan.’

Dalam riwayat yang lain oleh Muslim, Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan Nasai, nabi berkata, “Sesungguhnya perbezaan antara puasa orang Islam dengan ahli kitab adalah makan sahur.”

Ketika bersahur, umat Islam disuruh untuk melewatkannya. Melewatkan sahur bermaksud bersahur semasa menghampiri waktu subuh. Selain daripada itu, ada juga hadith-hadith yang menerangkan berkenaan kepentingan menyegerakan berbuka puasa.

Penekanan nabi supaya sahur dilewatkan dan tidak diabaikan adalah signifikan kerana ia menepati waktu sarapan pagi. Kajian menunjukkan makanan yang paling utama dalam masa 24 jam adalah sarapan pagi.

Bersarapan pagi adalah penting bagi memelihara kesihatan seseorang berbanding makan pada waktu yang lain. Hasil kajian oleh Dr.Mark Pereira dan rakan-rakannya dari Pusat Perubatan  Harvard mendapati mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, mendapat penyakit jantung dan kencing manis.

Secara umumnya, mereka yang berpuasa tanpa mengabaikan sahur tidak mendapat kemudaratan daripada puasa mereka berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan.

Setiap ibadah yang kita lakukan ada hikmah yang tidak tercapai akal fikiran kita. Begitulah kasih dan sayangnya Allah terhadap hambanya. Aspek ibadah dalam Islam begitu luas ini bertujuan melahirkan insan hebat secara zahir dan batin.

Sumber: Quran Saintifik, 2013,Dr. Danial Zainal Abidin

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024