Artikel

Robot Menari Kpop. Wah!

oleh Syifa Wan pada 02 Jun 2016

Pada kali ini Ain Maisarah dan Azanil Fitri membawakan satu lagi siri Aku Mahu, iaitu Aku Mahu Jadi Robot. Manusia menjadi robot? Mustahil ataupun tidak?

Ekspo robot semakin dekat. Sekolah Sri Bangsar dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi mengendalikan ekspo robot ini. Pengetua Sekolah Sri Bangsar meminta Cikgu Aziz Zatter mencipta sebuah robot bagi mewakili sekolah mereka dalam Ekspo tersebut.

Cikgu Aziz dengan bantuan anaknya Najmina serta anak murid kesayangannya, Alfi berjaya membina sebuah robot yang diberikan nama Transfamous.

Transfamous adalah sebuah robot yang mampu berjalan ke hadapan, berundur, berlari, dan melompat. Menjadi masalah besar apabila Transfamous terjatuh dari tingkat tiga dan rosak dalam beberapa hari sebelum tibanya Ekspo.

Perkara itu membingungkan Cikgu Aziz, Najmina dan juga Alfi. Ekspo robot semakin hampir, tetapi mereka tiada robot untuk dipamerkan. Mereka bertiga bimbang jika tidak sempat untuk membina sebuah lagi robot.

Ekspo Robot akan berlangsung dalam masa dua hari sahaja lagi. Tambahan pula, gesaan pengetua sekolah menjadikan Cikgu Aziz semakin serba salah.

Alfi hadir dengan idea yang bernas. Transfamous dijadikan sebagai pakaian cosplay. Masalahnya, siapa yang akan menjadi transfamous? Cikgu Aziz perutnya buncit, Najmina pinggulnya lebar, dan Alfi terlalu tinggi.

Akhirnya orang yang sesuai untuk memakai pakaian cosplay berjaya dijumpai. Semuanya berjalan lancar sepanjang Ekspo Robot berlangsung sebelum Transfamous tiba-tiba menari tarian Kpop.

Hal ini menimbulkan tanda tanya dalam fikiran Izwan Ali, wartawan sekolah yang berlagak diva.

Rahsia Transfamous diketahui Izwan Ali. Dia bertekad untuk membongkar rahsia itu kepada umum disebabkan dendamnya terhadap Najmina dan Alfi.

Mampukah Cikgu Aziz Zatter melindungi rahsia Transfamous? Berjayakah Izwan Ali membongkarkan rahsia itu?

Aku Mahu Jadi Robot mengandungi pelbagai aksi tawa, duka, geram, hormat menghormati. Kandungannya sesuai untuk bacaan kanak-kanak dan remaja.

Kepada semua Blinkers jangan ketinggalan untuk mendapatkan novel terbaru ini. Mungkin anda juga ditakdirkan untuk berpakaian robot? Selamat membaca.


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024