Artikel

Saya Tidur di Gereja dan Ini yang Saya Dapat…

oleh Huzaifah Abd Jamil pada 12 Aug 2016

Teringat peristiwa suatu malam saya menumpang tidur di biara gereja yang terletak bersebelahan sekolah (saya bersekolah di sekolah rendah Inggeris) bersama kawan-kawan, ketika itu majlis perpisahan pelajar tingkatan lima baru sahaja berakhir yang menjangkau lewat malam, jadi kami memilih untuk menginap di sana.

Saya tidak pernah terfikir untuk bermalam di biara gereja. Biara adalah tempat pertapa tinggal sebagai satu komuniti atas ikrar keagamaan. Mudah fahamnya, ia adalah asrama di gereja.  

Tidak disangka, keinginan saya selama ini untuk mengetahui aktiviti yang berlangsung antara penghuni asrama di gereja ini akhirnya Allah tunaikan pada malam itu.

Sister-sister di gereja ini bersikap ramah dan mesra menerima kedatangan kami. Mereka Beria-ia benar mahu menyediakan keperluan terutamanya minuman.

Bila malam semakin larut, suasananya sangat sunyi, kami menyelinap keluar dari bilik untuk melihat keadaan sekitar, Ada satu perkara yang menyebabkan kami mempelajari sesuatu tentang ketuhanan, kepercayaan, dan akidah pada malam itu.

Kami melihat bagaimana mereka beribadat dengan khusyuk. Kelihatan mereka menyerah segalanya kepada Tuhan yang mereka sembah. Satu pengabdian di sepanjang malam. Suara mereka mendayu-dayu.

Kisah diatas dipetik dari Puan Roza Roslan dalam buku Kandil Di Kaki Gunung, terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd. Buku ini berkongsi pengalaman hidup beliau sejak ramaja yang mempunyai ‘doa dan cita-cita’ yang besar.

Kita belajar beberapa perkara dari kisah ini. Pertama, tentang sikap keterbukaan dalam meraikan tetamu tanpa mengira latar agama. Masing-masing saling hormat menghormati.

Kedua, Kedamaian tidak mengenali warna kulit, bangsa dan agama. Apa yang menjadi penghubung kedamaian adalah sifat kemanusiaan antara manusia itu sendiri.

Ketiga, bagaimana kita boleh saling menghormati antara kepercayaan dan dalam hal ibadah, walaupun saling berbeza. Berbeza bukanlah faktor untuk kehidupan kita menjadi huru hara dengan permusuhan.

Kedamaian, saling hormat menghormati ini sudah lama wujud. Jika kita dapat perhatikan di Aya Sofya ukiran-ukiran lama ketika pemerintahan Byzantine tetap kekal di situ sebagai tanda hormat. Malah Umar al-Khattab sendiri pernah bersolat di dalam gereja.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024