Artikel

Sedekah Menebus Dosa

oleh Roziyah pada 16 Jan 2012

Sewaktu Asy-Syubali melalui makam dalam perjalanan ke hutan, dia terlihat seorang pemuda kurus dengan pakaian lusuh dan rambut tidak terurus duduk di antara batu-batu nisan di atas kubur. Sekali-sekala, pemuda itu memandang ke langit. Pipinya dibasahi air mata dan bibirnya terkumat-kamit membaca zikir.

Asy-Syubali yang mendengar suara sayu pemuda itu tertarik lalu mendekatinya. Dia berfikir, ‘Apakah yang menyebabkan pemuda itu wirid dengan khusyuk?’ Tetapi sebaik sahaja pemuda itu menyedari kehadiran Asy-Syubali, dia segera bangun dan berlari. Asy-Syubali mempercepatkan langkahnya dan pemuda itu berlari semakin cepat.

Asy-Syubali memanggilnya, “Tunggulah saya!”

Pemuda itu tetap berlari sambil berwirid, Allah, Allah, Allah…”

Asy-Syubali memanggilnya lagi, “Tunggulah saya!”

Pemuda itu tetap berlari dan menunjukkan isyarat tangan menandakan dia tidak mahu berhenti.

Asy-Subali berkata, “Sekiranya benar apa yang kamu katakan, tunjukkan, tunjukkan kebenaranmu bersama Allah.”

Tiba-tiba pemuda itu menjerit, “Ya Allah….!” lalu jatuh tersungkur dan tidak sedar-sedar. Asy-Syubali mempercepatkan langkah menghampirinya tetapi pemuda itu sudah meninggal dunia.

“Allah menentukan rahmatnya kepada siapa yang dikehendakiny,” kata Asy-Syubali kepada dirinya sendiri. Dengan rasa bersalah, dia menuju ke kampung berdekatan dan meminta bantuan orang kampung bagi menguruskan jenazah pemuda itu. Tetapi sebaik sahaja mereka sampai ke tanah perkuburan itu, jenazah pemuda itu tiada lagi di situ. Asy-Syubali fikir mungkin sudah ada orang lain yang menguruskan jenazahnya.

Pada waktu itu, Asy-Syubali mendengar suara ghaib, “Hai Syubali, sayalah yang menguruskan jenazah pemuda itu, maka tetaplah kamu beribadah dan perbanyakkan sedekahmu kerana pemuda itu mencapai darjat yang tinggi dengan sedekahnya.”

“Aku bertanya dengan nama Allah, tolonglah ceritakan kepadaku berkenaan sedekahnya itu,” Asy-Subali memohon kepada suara ghaib itu.

“Hai Syubali,” jawab suara ghaib itu, “Sesungguhnya pemuda itu pada mulanya adalah orang yang fasik dan penzina. Kemudian, Allah menunjukkan kepadanya mimpi yang mengerikan. Buah zakarnya berubah menjadi ular dan daripada ular itu keluar api yang membakar tubuhnya. Sejak mendapat mimpi itu, pemuda itu bertaubat dan sentiasa tenggelam dalam ibadahnya pada Tuhan. Sejak dia mengalami mimpi buruk itu sehingga hari kematiannya pada hari ini, dia sudah bertaubat selama 12 tahun. Sebelum dia meninggal dunia, datang seorang pengemis yang memohon makanan daripadanya. Pemuda itu memberikan sedikit makanan. Pengemis itu merasa begitu gembira dengan pemberian itu lalu menadahkan tangannya ke langit dan mendoakan supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosanya. Allah mengabulkan doa pengemis itu.”

 

Dipetik daripada buku Ajaibnya Sedekah: Semakin Bersedekah Semakin Kaya oleh Muhammad Muhyidin

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024