Setia Dengan Kebenaran - Kritikan-kritikan bernas dari Ustaz Hasrizal

oleh Asri Yussof pada 28 Jan 2019

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang terkenal dengan buku bestseller Aku Terima Nikahnya suatu ketika dahulu dan blognya dengan tagline Erti Hidup Pada Memberi adalah salah seorang ustaz dan jurucakap yang betul-betul saya hormati.

Pemikirannya kedepan dan sangat kritis dalam setiap perkara di sekelilingnya. Saya pernah minum kopi dan berborak secara personal dengan beliau di Lapangan terbang Kota Bharu sebelum beliau berangkat pulang ke Kuala Lumpur sesudah kami tamat program di kolej beberapa tahun lalu, orangnya sangat merendah diri dan tutur katanya sangat cermat. Orang yang sangat berhati-hati apabila bercakap.

Tulisan ini tidak boleh dikatakan sebagai ulasan yang menyeluruh kepada buku Setia dengan Kebenaran ini- kerana banyak kekurangannya. Tetapi saya cuba catatkan beberapa hal yang menarik minat saya tentang buku ini.

Setia dengan kebenaran

Pertama yang menarik tentang kandungan buku ini adalah dari tulisan-tulisan Ustaz Hasrial yang dikumpulkan dari blognya selepas ditukar ke tagline Setia Dengan Kebenaran. Apabila Ustaz Hasrizal menukar tagline blognya dari Erti Hidup Pada Memberi kepada Setia Dengan Kebenaran, kritikan-kritikan beliau dalam beberapa tulisan banyak membuka mata semua orang.

Dalam Setia Dengan Kebenaran, beliau banyak menyentuh tentang fungsi akal dan bagaimana kita tidak boleh beragama dengan membuta tuli dan mengikut suruhan para ustaz dan ustazah tanpa soalan dan tanpa cara berfikir yang betul. Hal ini disentuh beliau dalam beberapa tulisan, antaranya Beragama dengan Akal yang sihat, Mempertahankan kewarasan akal dan Apabila Akal (`Aql) Bergaduh dengan Naqal.

“Apabila kita beragama tanpa berakal, kita jadi sang KELDAI BERSERBAN.”

Bercakap mengenai persoalan agama, beliau menyetuh tentang keberagaman yang ada pada hari ini. Katanya keberagaman tu ada baik dan buruk.

“Andai kerencaman itu dipandang dalam rangka realiti yang lebih besar, kita melihat arus bertentangan yang lebih membimbangkan. Mereka yang mencabar agama, mencabar agama dengan soalan-soalan mereka yang sangat meterialistik. Manakala yang membela agama, membela agama dengan jawapan-jawapan mereka yang sangat mistik.”

Dari tulisan pertama hingga tulisan terakhir di halaman 329, susah untuk saya buat ulasan yang baik dalam satu halaman ini. Dan saya bukanlah orang yang sesuai untuk memberi ulasan yang bagus. Cukup untuk saya katakan, buku yang kecil ini mempunyai maksud yang sangat besar untuk kita semua perhatikan ke dalam banyak ruang-ruang yang disentuh. Dari isu pendidikan, keluarga, jamaah islam dan paling utama cara kita berfikir dalam beragama.

Kalau anda layari blog Ustaz Hasrizal sekarang di Saifulislam.com, fokus beliau secara adalah isu pendidikan. Dengan tagline “Pendidikan Jalan Islah.”