Artikel

Siapa Dia Cikgu Paling Berhantu?

oleh Khairul Aswad Khairul Anuar pada 13 Jul 2015

Memegang buku ini di kedai buku boleh mendatangkan kemusykilan dalam diri. Adakah anda mencari buku yang betul?

Setahu anda, buku yang dicari adalah buku Blink Book yang kulit depannya selalu comel-comel. Tapi kali ini, gambaran kuku tajam berdarah dengan tulisan berhantu menghiasi buku ini.

Anda lihat ada wajah Ain Maisarah di bucu atas buku. Jadi, ini memang buku keluaran Blink Book. Tapi, mengapa lain macam saja?

Jangan risau. Anda memang telah semakin menghampiri kriteria untuk memiliki buku terbaru keluaran Blink Book yang bertajuk Cikgu Paling Berhantu ini.

Hanya ada satu saja langkah untuk anda buat sebelum anda betul-betul mendapatkannya. Apa dia? Nantikan di penghujung review.

Kali ini, Ain Maisarah bersama-sama dengan Eima Manan membawa genre seram komedi dalam penulisan mereka.

Persepsi pertama yang mungkin menjelma dalam fikiran adalah, adakah ceritanya lebih kurang seperti lambakan filem bergenre sama? Adakah pembacaannya ini sesuai untuk pembaca setia yang comel dan manja macam anda?

Dalam siri Gosip Sri Bangsar kali ini, pelajar Sri Bangsar terpaksa bergelut dan bertanding untuk melayakkan diri menjadi pemilik penulisan buletin terbaik sempena sambutan Hari Guru. Mereka dikehendaki untuk menulis mengenai mana-mana guru di Sekolah Sri Bangsar. Ahli sidang redaksi sekolah semakin teruja. Darah penulisan masing-masing sudah bergelora. Namun, hanya lima penulisan saja yang akan dipilih.

Mereka bersepakat untuk membuat ujian ke atas beberapa guru dalam usaha mencari guru mana yang paling menonjol dalam kategori yang mereka tetapkan.

Siapa guru Yang Paling Sporting? Siapa pula guru Yang Paling Bergaya? Dan siapa pula guru Yang Paling Berhantu? Adakah kelibat guru perempuan berambut panjang dan berwajah pucat itu? Tiada siapa yang pernah lihat atau kenal guru tersebut. Siapakah dia?

Anda tidak akan menyesal membeli buku ini. Malah, anda tidak akan menyesal membeli setiap buku keluaran Blink Book sekali pun. Garapannya mantap.

Penulisannya hebat. Emosinya secukup rasa. Walaupun ada unsur seram, tapi ketiak anda pasti tergeletek juga sewaktu membacanya.

Hah, terdapat satu lagi langkah yang perlu anda buat untuk mendapatkan buku ini, bukan? Anda sudah membaca review buku ini, anda juga sudah tiba di kedai buku.

Anda sudah memegang buku tersebut dan melihat sendiri kulit muka depannya. Maka, langkah terakhir adalah… jeng jeng jeng. Sudah tentu anda perlu pergi ke kaunter untuk membayar. Mana boleh dapat percuma, bukan? Selamat membaca!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024