Artikel

Soal Hati dan Janji: Sesegar Nailofar

oleh Nurul Aqilah Hairulsam pada 29 Jan 2015

Novel ini ditulis dengan garapan cukup segar dan mendapat tempat di hati remaja kerana berlatar belakang kisah pelajar-pelajar di Jordan. Sesegar Nailofar mengisahkan tentang seorang penuntut di Universiti Yarmouk, Iqbal.

Seorang jejaka yang berjiwa bebas tetapi tetap berpegang teguh terhadap iman dan cintanya terhadap agama dan prinsip yang dijaga rapi sudah menjadi tiang hidupnya selama ini.

Namun begitu, sifatnya yang mungkin egoistik sehingga kekasihnya, Salsabila  yang sudah lama tidak dihubungi di Malaysia sudah disunting menjadi milik orang lain.

Iqbal tidak melatah, malah dia bijak dalam menangani perkara tersebut kerana kepercayaannya dalam hubungan cinta yang mencari redha Allah adalah yang terbaik.

Rentetan krisis kehilangan Nora, seorang siswi di universiti yang sama, mengajak pembaca untuk mengetahui kisahnya di setiap bab menjadi salah satu tarikan juga kerana sejurus selepas penemuannya, muncul pula insan yang bernama Nailofar yang mula mendapat tempat di hati Iqbal.

Nailofar, watak yang diselitkan dan dirahsiakan di sebalik kiriman-kiriman emel juga membawa pembaca untuk menyingkap tentang gerangan pengirim emel-emel tersebut.  

Pengisian yang penuh padat juga tentang konflik yang berlaku di antara dua negara iaitu Israel dan Palestin di dalam novel ini.

Zaid berani menyelitkan kritikan yang  pedas dan berbaur sarkastik terhadap Israel di mana rejim-rejim Zionis yang menyamar untuk mengintai dan memantau aktivis-aktivis pembebasan rakyat Palestin.

Iqbal, seorang pemuda yang sangat mengagumi akan perjuangan Rasulullah S.A.W, cintakan agama dan seorang pemimpin yang sentiasa fikir tentang kebaikan orang lain.

Di sebalik sifat ketegasannya, muncul insan si pemilik kiriman-kiriman e-mel, Nailofar yang selalu memberi kata-kata semangat kepada Iqbal.

Semakin lama dia mengenali Nailofar, semakin dekat beliau rasa ikatannya ketika bertemu dengan Nur Hazwani, seorang gadis yang baik hati dan sopan santun yang sudah lama di kenalinya ketika belajar di Jordan.

Siapakah gerangan gadis misteri ini? Dapatkah Iqbal mengenal pasti siapakah yang berjaya menghuni di hatinya?


 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024