Artikel

Tersasar Jauh Dari Landasan Kebenaran: Masihkah Taubatku Diterima?

oleh Noor Hidaya Arshad pada 03 Dec 2015

Manusia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan. Kesilapan bangsa manusia bermula seawal manusia pertama yang dicipta Allah yang Maha Suci dan Maha Tinggi, Nabi Adam a.s.

 Tetapi di sebalik khilaf yang dilakukan, Allah s.w.t mengajar manusia tentang erti keindahan namaNya yang maha pengampun (Al-Ghafur) dan sentiasa memberi pengampunan (Al-Ghaffar).Allah s.w.t berfirman di dalam surah An-Nisaa’ ayat 110 yang bermaksud: ‘Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 Allah S.W.T memberi ilham dan meminjamkan ilmuNya kepada penulis untuk menghidangkan kisah-kisah individu yang kembali kepada Tuhan dan juga kisah-kisah individu yang mengalami sesalan hingga ke akhirat.

Antara yang terkandung di dalam naskhah ini ialah kisah penyesalan Nabi Yunus a.s kerana meninggalkan kaumnya tanpa izin Allah, kisah penyesalan saudara kandung Nabi Yusuf a.s,kisah dua orang petani yang diceritakan Allah dalam surah Al-Kahfi, kisah antara para penghuni syurga dan neraka, dan banyak lagi kisah-kisah yang dapat diambil iktibar.Pada bab akhir, penulis berkongsi panduan daripada Al-Quran untuk kita segera bertaubat dan kembali kepada Allah yang Maha Pengasih.

Dr. Muhammad Widus Sempo merupakan pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Fakulti Al-Quran dan Sunnah. Berpendidikan dari Universiti Al-Azhar dalam jurusan tafsir dan ilmu-ilmu Al-Quran sehingga ke peringkat doktor falsafah.Antara karya-karya beliau yang telah diterbitkan penerbit dari Jakarta, Mizan antaranya, Dalam Dakapan Al-Quran dan Muhammad S.A.W Sang Fenomena. Beliau aktif memuat naik artikel-artikel beliau di dakwatuna.com dan eramuslim.com.Terbaiknya karya ini adalah kerana penceritaan yang digayakan penulis.

Setiap kisah yang dinukilkan diekstrak daripada ayat-ayat Quran dan dibentangkan dalam bentuk cerita.Ini menjadikan setiap pembaca akan rasa terkesan dengan kisah yang dibawakan.Penceritaannya teliti dan lengkap.

Gaya bahasa yang digunakan penulis sedikit sastera. Ayat-ayat didalam naskhah ini disusun dalam nada menekan setiap topik yang diceritakan.

Agak tegas tetapi dari sudut yang positif bukan menghentam seseorang.Naskhah ini adalah untuk mereka yang berfikiran kritis. Mereka yang tidak berfikiran ringkas. Mereka yang betul-betul memikirkan kesudahan kehidupan mereka.Mereka yang bersungguh ingin berjumpa Allah s.w.t dalam keadaan hati yang tenang.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024