Artikel

VARIASI: Pereka Grafik Ini Hasilkan grafik humor dari nama-nama kuih Melayu

oleh Asri Yussof pada 05 Jan 2019

Jaie Ramlee, pereka grafik dari Johor baru-baru ini memuat naik beberapa karya humor beliau yang mengetengahan kuih-kuih Melayu yang selalu kita makan di instagram miliknya. Daripada karya ‘Kuih Melayu’ ini kita tahu macam mana kuih-kuih ini mendapat nama seperti Kuih Lapis, Lepat Pisang, Kuih Bangkit dan lain-lain dalam bentuk yang melucukan.

Jaie Ramlee

Menyentuh tentang makna seni dari fahaman beliau, katanya seni ialah watak yang diterjemah dari fahaman, pengalaman atau perasaan dalam pelbagai bentuk. Watak itu boleh jadi dalam bentuk lukisan, muzik, filem dan sebagainya.

“Keindahan seni itu berbeza-beza untuk setiap orang, ia boleh jadi indah dari segi sifat luarannya, atau isi, atau kedua-duanya pada masa yang sama. Pada saya seni yang baik ialah kita dapat bercerita melalui karya dan memberi ‘kehidupan’ pada karya tersebut untuk kita semua merasainya.”

Cetusan Idea menghasilkan karya ‘Kuih Melayu”

Beliau mendapat inspirasi untuk hasilkan karya kuih melayu ini dari sifat kuih itu sendiri. Beliau membayangkan bagaimana jika kuih-kuih ini hidup dan dari mana asal usul nama kuih itu (dari perspektif dan imaginasinya sendiri).

“Saya memberi kelainan dalam jalan cerita setiap kuih itu supaya karya-karya saya tidak bosan dan mood nya ada turun dan naik, ada isi yang mudah dan direct, ada yang memberi pengajaran dan lain- lain.” Katanya dalam temubual kami secara atas talian beberapa hari sebelum menyambut tahun baru 2019.

Jaie Ramlee

Baginya, karya kuih-kuih melayu itu tidak mempunyai unsur humor yang tinggi. “Mungkin sifat karyanya yang lurus itu membuatkan orang tertarik dan rasa lebih dekat.”

Jaie Ramlee

Beliau puas bila karya-karyanya memberi kesan, inspirasi, atau kesedaran pada mereka yang melihatnya. “Anda boleh lihat bagaimana terhasilnya satu kitaran yang baik di mana kita masing-masing terinspirasi antara satu sama lain, kita ‘collaborate’ tanpa kita sedar.”

Bakat sebagai Pereka Grafik

Dari kecil lagi beliau dan abang-abangnya memang suka melukis komik dan grafiti. Dari minat itu beliau kembangkan sehingga ke universiti. Jaie Ramlee merupakan graduan Seni Reka Grafik (minor dalam Fine Art) dari UiTM Shah Alam dan diploma juga dalam Seni Reka Grafik dan Media Digital dari UiTM Sri Iskandar Perak.

Perancangan untuk karya-karya masa depan

Bila ditanya tentang karya-karya yang mungkin akan beliau hasilkan selepas ini, beliau mempunyai beberapa topik yang sedang menarik minatnya. Iaitu tentang alam sekitar. Untuk karya-karya humor beliau belum merancang apa-apa lagi. Beliau membayangkan karya-karyanya selepas ini adalah sesuatu yang simple, tetapi memberi kesedaran yang tinggi.

“Sebenarnya banyak lagi untuk saya explore, bergantung pada situasi dan kelancaran idea. Saya akui saya seorang yang mengambil masa agak lama untuk menghasilkan satu karya. Tapi saya cuba untuk tidak menjadikan itu satu alasan.”

Kali pertama terbit buku sendiri

Pada 20 oktober tahun lalu, beliau dan teman-temannya melancaran buku GARIS. Buku ini mengumpulkan hasil lakaran dari ahli Johor Sketchers. Sketches di dalamnya memaparkan lokasi- lokasi yang pernah mereka pergi dan melukis di lokasi tersebut, dan semuanya di sekitar Johor.

Garis, Jaie Ramlee

“Pengalaman ini sangat bermakna kerana ia adalah buku pertama saya sebagai editor, tak pernah saya terlintas untuk menjadi seorang editor buku.”  katanya.

Kerjasama Jaie Ramlee dan Matluthfi

Jika anda peminat buku-buku Matluthfi, pasti anda akan perasan beberapa karya lukisan yang ada dalam buku pertama Matluthfi dan beberapa buku Matluthfi yang lain. Sebenarnya, Jaie Ramlee lah yang menyumbangkan karya grafik beliau di dalam buku tersebut.

Matltuhfi

“Sebelum ini, karya pertama saya dalam pembikinan buku ialah buku Catatan Matluthfi sebagai illustrator. Saya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Matluthfi kerana sebelum ini saya hanya kagum content dalam videonya, dan teringin kalau satu hari dapat bekerja dengannya, alhamdulillah rezeki dia sudi bekerjasama dengan saya.”

Buku lain yang beliau terlibat bersama Matluthfi ialah Kisah 25 Filsuf Barat. Selain itu, beberapa buku lain juga yang beliau turut terlibat menghasilan kulit buku dan beberapa kandungan grafik. Antaranya buku Obligasi aku Pun Boleh Bahagia, Be A Giver: Bahagia Dengan Memberi dan Cerita Hati Hafiz Hamidun.

5 ke 10 tahun akan datang

Beliau mahu melangkah ke industri perfileman untuk 5 ke 10 tahun akan datang. Ini cita-cita beliau, dan beliau mahu mengembangkan lagi bakat dan teknik yang beliau ada sekarang.

“Mungkin seorang pengarah seni filem, tapi pengarahan itu dari segi imej/ branding filem itu sendiri. Haha macam tinggi sangat tapi itu angan- angan saja.” katanya sambil bergelak ketawa.

Jaie Ramlee

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024