Artikel

Bazar Baca@Ramadan Meriahkan Puasa

oleh Roziyah pada 11 Aug 2010

Ramadan kali ini lebih meriah apabila wujudnya Bazar Baca@Ramadan di Dataran Senawang, Seremban, Negeri Sembilan.

Bazar yang diusahakan oleh Penolong Setiausaha USAHANITA Negeri Sembilan, Cikpuan Azzah Abdul Rahman ini menjadi pelengkap yang memenuhi keperluan rohani sempena Ramadan ini.

Kebiasaannya, pengunjung bazar dihidangkan dengan pelbagai juadah berbuka puasa serta persediaan menyambut hari raya. Namun Cikpuan Azzah mencipta kelainan dengan mewujudkan bazar buku di tengah-tengah bazar tersebut dengan menjual buku-buku sempena Ramadan.

“Sebelum ini saya pernah berjumpa dengan penjual buku di pasar malam, jadi mengapa tidak kita ambil langkah ini untuk mempromosikan Baca@Ramadan kepada pengunjung bazar,” kata cikpuan Azzah.

Menurut beliau, bazar ini juga diwujudkan seiiring dengan promosi ‘Gantikan Duit Raya dengan Buku’ atau ‘Ang Paw Buku’.

“Daripada kita memberi duit raya, lebih baik kita berikan buku-buku kepada kanak-kanak agar ia menjadi ‘ang paw’ yang berharga kepada mereka,“jelas cikpuan Azzah lagi.

Beliau berharap bazar ini akan menjadi landasan berguna kepada pengunjung bazar agar dapat menambahkan input dan ilmu di bulan Ramadan ini.

“Selain daripada mengisi perut kita juga dapat mengisi keperluan rohani dengan membaca di bulan Ramadan,” jelas beliau.

Bazar yang dibuka dari jam 2 hingga jam 6 petang dan disambung dari jam 10 hingga 12 malam akan diadakan setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024