Artikel

Matluthfi Guna Cara Sendiri Bincangkan Falsafah

oleh Abdullah Fikri Bariman pada 29 Nov 2017

“Bertindaklah hanya berdasarkan kepada prinsip di mana kau boleh pada masa yang sama (kau) mahu supaya ia patut menjadi satu peraturan yang universal” (Kant 1804)

Aku cuba baca berulang-ulang kali apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ayat ini tapi memang sukar. Apakah yang dimaksudkan dengan satu peraturan yang universal?

Kemudian penulis memberikan maksud kata-kata ini

“Berbuatlah sesuatu kepada orang lain apa yang kau mahu mereka buat kepada kau”

Mudah bukan?

Sekali baca sudah faham. Itulah kehebatan penulis buku ini iaitu Matlutfi yang memberikan satu cara untuk memahami falsafah dalam ayat yang mudah dan tidak berbelit ayatnya.

Falsafah

Falsafah yang sering dikaitkan dengan perbincangan melangit tidak membumi , penuh teori mendalam tanpa pragmatik tetapi dengan penulisan ini pengarang sedikit sebanyak berjaya membuka ruang memudahkan orang awam seperti aku untuk cuba menggapai apa yang dilangit.

Falsafah bukan hanya milik cendekiawan di meja-meja perbincangan dan dihamburkan di seminar intelektual lalu dibiarkan mati kaku dalam helaian kertas kerja. Falsafah milik semua.

Aku mula-mula agak khuatir berkenaan buku ini. Bukan kerana tajuk atau apa, tapi kerana matlutfi. Aku mengenal matlutfi lewat videonya yang tular di lama sesawang ‘youtube’. Dari video awal sehinggalah yang paling terbaru semuanya aku sudah tonton .

Setiap kali menonton video karya matlutfi jarang sekali untuk tidak ketawa besar. Ianya sangat kontradik dengan buku ini. Membincangkan tentang falsafah. Perkara besar dan berat yang tidak boleh dibaca tanpa berkerut dahi dan menatap langit.

matltuhfi

Bagaimana orang yang aku kenal seorang yang sering berjenaka tetapi boleh menyampaikan suatu perkara yang serius?

Itulah satu sisi lain matlutfi. Apa yang dilihat di media sosial tidak sepenuhnya itu dia. Manusia yang kompleks dan bijaksana sentiasa ada kepelbagaian karakter dalam kehidupan.

Seseorang itu tidak boleh diletakkkan dalam satu kotak karakter strereotaip.

Tuhan yang menjadikan manusia sebagai khalifah sememangnya satu ciptaan agung yang penuh rahsia.

Kisah 25 Filsuf Barat 

Buku ini setebal 229 Muka surat terbitan Puteh Press dan mempunyai 25 bab.

Aku mengambil masa yang agak lama untuk menghabiskan buku ini kerana setiap bab perlukan masa untuk menghadam dan memahami apakah yang dimaksudkan pengarang.

Kerana setiap bab akan memperkenalkan seorang ahli filsuf yang baru dengan falsafah yang berbeza. Minda ini perlu rehat seketika dan sesekali berasa muak dan bosan untuk terus membaca.

Puas sudah aku membaca sambil berdiri, duduk dan baring ternyata sukar. Secara jujurnya aku mengambil masa sebulan untuk menghabiskan keseluruhan buku ini.

Lama bukan?

Walaupun aku sering terhenti pembacaan tetapi sedikit sebanyak ianya memberikan satu kepuasan yang berbeza. Seakan-akan tercerah dan mengagumi betapa hebatnya akal fikiran manusia bagaimana ianya berfungsi.

kisah 25 filsuf parat - puteh press

Buku ini memberikan satu neraca baru tentang sumber ilmu. Begitu banyak falsafah tentang persoalan hidup mampu dijawab oleh seorang atheis yang tidak beragama. Sesungguhnya benarlah manusia itu dibezakan dengan haiwan adalah dengan akal fikirannya.

Kadang-kadang aku Mencampakkan buku ini

Benar, aku lempar ketepi buku ini kerana terasa geram tidak memahami. Dibaca diulangkali terasa bungkam dan penuh sarat dalam otak. Seoalah-olah perlu diluahkan tidak boleh disimpan.

Dengan idea kreatif dan jenaka mudah pengarang aku tetap lekat membaca kerana ia merehatkan minda dan senyum sendiri. Membaca falsafah kemudian ketawa?. Pelik bukan , tetapi buku ini mampu buat aku tersengih sendiri.

Jenaka pengarang bukan sahaja di perenggan biasa tetapi dekat nota kaki pun dia boleh bantai melawak. Memang kreatif dan segar cara penyampaian falsafah

“Bunyi ala-ala innnalillahi wainnailaihi rajiu’n, tetapi versi sesat”.

Klik di sini untuk membeli buku Kisah 25 Filsuf Barat

Harakah Islamiah

Daripada olahan pengarang aku mengandaikan penulis seolah-olah ada sisi kritikan terhadap gerakan harakah islam di kampus.

Selalunya sinis ditambah kritikan tajam sebagai contoh

“ Walau bagaimanapun, Hume tidaklah berminat dengan persoalan usrah yang sempit. Tidaklah Hume kenal usrah itu apa, apatah lagi ijtima, rehlah, jaulah dan tamrin qiyadi. Tetapi dia memfokuskan tulisannya kepada persoalan agama secara lebih meluas”

Aku merasakan pengarang bergaul dengan ramai ahli harakah islam kerana banyak jargon yang hanya digunakan oleh ahli usrah sebagai contoh madu’u , pengkaderan dan beberapa terma yang lain.

Disitu aku melihat kadang-kadang ada sisi rindu tetapi biasanya penuh sinis dan kritik.

Kenapa Perlu Baca Buku ini?

Daripada 25 orang ahli falsafah ini hanya 2-3 sahaja aku pernah dengar namanya seperti Sokrates, Plato dan Aristotle yang lain itulah kali pertama. Setiap ahli falsafah ini semuanya telah mati tetapi namanya tetap disebut walaupun ada yang telah mati ratusan tahun.

Orang yang hebat namanya disebut disetiap penjuru, lagenda namanya diungkap walaupun dirinya telah menghadap ilahi.

Buku ini merupakan satu jambatan yang memudahkan untuk memahami persoalan falsafah agama, cinta dan Emosi. Terjawab tentang persoalan kehidupan, maka hidup ini akan berlansung dengan lebih baik dan bahagia.

Email ulasan anda kepada [email protected] untuk kami terbitkan di sini. 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024