Artikel

Pelbagai Istilah Berfikir

oleh Helmi pada 28 Sep 2004

Pada masa ini para penyelidik sudah dapat membuktikan antara faktor-faktor yang membezakan orang-orang
yang cemerlang dengan orang yang biasa-biasa sahaja ialah ialah cara mereka berfikir. Pengurusan dan keusahawanan ialah aktiviti berfikir. Para pengurus dan ahli perniagaan yang berjaya bukanlah terdiri daripada orang- orang yang kuat tenaga kudratnya, sebaliknya mereka adalah orang-orang yang cekap dan mahir berfikir. Otak manusia ialah satu-satunya komputer am yang dapat dijalankan dengan menggunakan glukos sebagai bahan tenaganya. Bukan itu sahaja, otak ialah satu-satunya komputer yang dapat dijalankan oleh operator yang tiada ke-mahiran menggunakannya. Tetapi sayangnya, komputer ini diberikan kepada manusia tanpa disertakan buku panduan cara-cara menggunakannya.

Pakar-pakar bidang berfikir telah mencipta dan meng-gunakan pelbagai istilah bagi menerangkan pelbagai jenis dan gaya berfikir. Banyak daripada istilah-istilah itu merujuk kepada konsep-konsep pemikiran yang serupa ataupun yang bertindan antara satu dengan yang lain.


Pemikiran Logikal

Pemikiran logikal ditandai oleh daya usaha bagi mengenal pasti apa yang betul dan apa yang salah daripada segi logiknya. Logik terbahagi kepada dua jenis (a) Logik ciptaan akal manusia semata-mata. Contoh logik jenis ini ialah matematik. Logik jenis ini disebut logik akal. (b) Logik yang berdasarkan realiti alam sebenar. Logik jenis ini disebut logik natural ataupun logik alam. Banyak pemikiran yang betul daripada segi logik akal terbukti salah apabila dilihat daripada sudut realiti alam dan kehidupan sebenar.

Logik berguna bagi melakukan kerja-kerja seperti (a) Mencari kaitan sebab-akibat antara satu perkara dengan perkara lain, ataupun antara satu peristiwa dengan satu peristiwa lain. (b) Bagi membuat kesimpulan ataupun deduksi. (c) Bagi mempertahan hujah-hujah kita bagi menyokong ataupun menolak sesuatu idea, cadangan ataupun pandangan.

Logik akal bersifat nyata dan langsung, oleh itu dapat dilihat. Logik akal terdiri daripada suatu set peraturan. Oleh itu kesilapan logik terjadi apabila peraturan itu tidak dipatuhi. Peraturan permainan bola ialah contoh suatu jenis logik akal. Matematik ialah contoh logik akal yang terbaik, dalam erti kata lain, matematik ialah sistem logik yang sempurna. Logik ialah alat memproses maklumat yang diterima. Logik berguna bagi menjelaskan perkara yang tersirat. Proses ini penting di dalam matematik. Kita menggunakan matematik supaya kita dapat `melihat dengan jelas’ kaitan antara maklumat yang terdapat di dalam masalah matematik yang diberikan kepada kita.

Proses berfikir berlaku di dalam dua tahap. Tahap pertama ialah tahap apabila otak kita membuat persepsi, iaitu tanggapan. Tahap kedua ialah tahap memproses, iaitu apabila otak menggunakan logik. Pemikiran logikal mementingkan maklumat dan fakta. Kemahiran berfikir secara logikal mempunyai kaitan dengan pemikiran analitikal dan pemikiran kritikal. Walaupun pemikiran-pemikiran ini penting tetapi ia tidak dapat menerbitkan idea-idea baru.

Pemikiran Kritikal

Perkataan `kritik’ berasal daripada bahasa Yunani `kritikos’ yang bermakna `mampu menilai.’ Pada masa ini perkataan `kritik’ mempunyai konotasi negatif. Kegiatan mengkritik sentiasa bermakna membuat kritikan negatif, iaitu mencari kesalahan, kesilapan dan kelemahan. Ketiga-tiga aktiviti itu adalah aktiviti serangan, cemuhan dan kutukan.

Pemikiran kritikal berfungsi seperti perbuatan membuang antah daripada beras. Pada asalnya pemikiran kritikal dicipta untuk membuang kesilapan, kekeliruan dan andaian-andaian yang salah. Dengan membuang semua antah dalam beras, yang tinggal ialah beras belaka, oleh hal yang demikian, pemikiran kritikal memang tidak dicipta bagi menerbitkan klon-klon beras yang lebih baik, mahupun untuk menokok beras itu supaya menjadi lebih banyak. Bayangkan lima orang pemikir kritikal duduk di dalam sebuah pasukan petugas. Mereka diarahkan membuat sebuah masjid. Disebabkan pemikiran kritikal bersifat reaktif mereka tidak dapat berfikir sehinggalah ada orang lain membawa pelan masjid tersebut, barulah mereka dapat mengkritik pelan itu.

Mencari kesilapan memang berguna kerana ia dapat menghindarkan kesilapan itu daripada diulang, dan kesilapan itu dapat dibetulkan. Begitu juga dengan aktiviti mencari kelemahan, yang dapat digunakan bagi memperbaiki kelemahan itu, supaya idea tersebut menjadi lebih sempurna. Tetapi pemikiran yang hanya mampu mencari kesilapan dan ke-lemahan tidak cukup bagi membolehkan seseorang mencapai keberkesanan intelektual. Pemikiran ini adalah berdasarkan andaian yang berbahaya, iaitu segala-gala keperluan hidup dapat dipenuhi jikalau seseorang itu mahir mencari pelbagaikesilap-an. Andaian ini percaya kalau seseorang itu dapat menghindari semua kesalahan dia dapat mencipta kebaikan. Ini seperti percaya jikalau kita dapat mencari kelemahan-kelemahan pada kereta lembu, kita dapat mencipta kereta bermotor!

Pemikiran kritikal percaya dengan cara membuang semua faktor-faktor kesalahan dan kelemahan, maka yang tinggal ialah faktor-faktor yang betul dan baik. Bagaimanakah caranya dengan membuang faktor-faktor kelemahan dan kesalahan pada sebuah kereta lembu, yang tinggal ialah sebuah kereta bermotor? Ini seperti mengatakan dengan membuang semua kelemahan dapur kayu, yang tinggal ialah dapur gas. Buang apa-apa yang tidak betul, yang tinggal ialah semua yang betul. Namun inilah andaian yang dianuti oleh pemikiran kritikal. Ia percaya dengan membuang yang salah sudah cukup bagi mencipta sesuatu yang baru. Ini seperti percaya dengan mendalamkan lubang yang ada dengan sendirinya lubang-lubang baru akan muncul.

Pemikiran kritikal berguna bagi memperbaiki idea yang sudah sedia ada. Dengan berfikir secara kritikal, kita dapat memperbaiki kereta lembu yang sudah ada, tetapi hasilnya tidak lebih daripada sebuah kereta lembu yang lebih baik. Ia tidak menghasilkan kereta bermotor kerana kereta bermotor bukan-lah kereta lembu yang sudah diperbaiki. Dengan membaiki lilin, kita mendapat lilin yang lebih baik, tetapi kita tidak mendapat mentol, kerana mentol bukanlah lilin yang sudah diperbaiki.

Penggunaan pemikiran kritikal mempunyai banyak kesan negatif. Pertama ia membunuh pertumbuhan idea-idea baru dengan mematahkan semangat orang yang cuba menerbitkan idea-idea tersebut. Idea-idea baru terkeluar daripada paradigma yang sedia ada dan ia mencipta paradigma baru, tetapi pemikiran kritikal menilai idea-idea baru itu dalam konteks paradigma lama. Sudah pastilah idea-idea baru itu menerima penilaian negatif oleh pemikiran kritikal. Berfikir stail kritikal ditandai oleh keupayaan melihat kesilapan, kesalahan, kelemahan dan kecacatan pada cara-cara berfikir seseorang, ataupun pada idea dan cadangan yang dikemukakan.

Berfikir dengan menggunakan stail kritikal terfokus pada hasrat hendak membuktikan idea orang lain salah. Walaupun begitu, cara berfikir kritikal berguna bagi membantu seseorang itu mengelakkan diri daripada melakukan kesilapan. Ini juga bererti, kemahiran berfikir secara kritikal tidak berguna kalau seseorang itu tidak melakukan apa-apa. Dengan erti lain, memiliki pisau tidak berguna kalau pisau itu tidak digunakan. Apabila seseorang itu mempunyai idea, barulah kemahiran berfikir secara kritikal dapat digunakan bagi mencari pelbagai kelemahan dan kesilapan yang ada pada idea itu supaya dapat diperbaiki. Sayangnya, pemikiran kritikal tidak menerbitkan idea. Ia hanya dapat digunakan bagi membuktikan sesuatu idea itu salah ataupun betul.


Pemikiran Kreatif

Pemikiran kreatif ditandai oleh keupayaan melihat sesuatu daripada pelbagai sudut. Stail ini juga menghasilkan pelbagai cara bagi melakukan sesuatu. Apabila berfikir dengan meng-gunakan stail kreatif, matlamat berfikir ialah menerbitkan pelbagai persepsi, konsep, idea, cara menyelesaikan masalah, meleraikan konflik, reka cipta, strategi dan taktik, prosedur kerja, teori, hipotesis, peraturan dan hasil perundingan.

Bagi setiap perkara yang dilihat, ada bermacam-macam cara lain melihatnya. Bagi setiap cara melakukan sesuatu, ada bermacam-macam cara lain melakukannya. Pemikiran kreatif menunjukkan ciri-ciri berikut:

1. Sengaja menghasilkan idea baru, konsep baru dan tanggapan baru. Maksudnya idea yang dikemukakan menyimpang jauh daripada idea yang ada sekarang. Ada kalanya idea itu seolah-olah `gila-gila’ dan mencabar fikiran logik.

2. Mengutamakan cara lain bagi melihat sesuatu yang sedang difikirkan. Maksudnya, ia cuba lari daripada cara biasa melihat sesuatu. Semakin banyak sudut pandangan yang digunakan, semakin baik.

3. Memberi fokus pada usaha mahu mengubah idea yang ada pada masa ini. Maksudnya, tujuan utama pemikiran ini ialah bagi membawa perubahan, bukan bagi menerus-kan idea sekarang.

4. Mencari cara baru bagi menggantikan penyelesaian yang sedang digunakan sekarang. Maksudnya, pemikiran ini cuba membuang cara kerja yang ada hari ini dan menggantikannya dengan yang baru.

5. Pemikiran ini tidak pernah berpuas hati dengan jawapan yang digunakan sekarang.

6. Pemikiran ini sengaja menghasilkan idea-idea yang dapat memeranjatkan fikiran-fikiran biasa.

7. Pemikiran ini mengganggap idea yang baik tidak perlu kelihatan logik pada awalnya. Ia gemar menggunakan logik songsang. Sebagai contoh, biasanya orang menyapu garam pada ikan sebelum digoreng. Logik songsang mengatakan goreng ikan dahulu, baru sapu garam.

8. Menumpukan perhatian kepada pelbagai kemungkinan yang mungkin berlaku pada masa akan datang, maksud-nya, pemikiran ini gemar membayangkan apa yang akan terjadi akibat adanya idea yang `gila-gila’ itu.

Pemikiran kreatif digunakan bagi menyelesaikan masalah, mencipta peluang-peluang baru, dan menyokong idea yang ber-tentangan dengan fikiran semasa.

Pemikiran Analitikal

Berfikir secara analitikal ditandai oleh daya usaha hendak melihat sesuatu itu secara lebih terperinci. Analisis ialah proses memecah-mecahkan masalah besar kepada bahagiannya yang lebih kecil supaya dapat ditangani. Analisis ialah proses mencari punca-punca. Analisis ialah usaha memahami sesuatu yang kompleks dengan cuba melihat situasi itu melalui unsur-unsurnya. Yang menjadi masalah bukanlah sama ada analisis berguna ataupun tidak, tetapi sama ada analisis sahaja sudah cukup. Kalau sesebuah meja mempunyai dua batang kaki, setiap batang kaki berguna, tetapi dua batang kaki belum cukup. Meja itu memerlukan empat batang kaki.

Seseorang itu melakukan pelbagai analisis kerana mahu menjawab soalan-soalan: Apa? Mengapa? Bila? Bagaimana? Siapa? dan Di mana? Ada sangkaan analisis terperinci dapat membantu penyelesaian masalah. Ada jenis-jenis masalah yang dapat diselesaikan dengan cara menganalisis punca-punca masalah tersebut; tetapi kebanyakan masalah tidak dapat diselesaikan dengan menggunakan analisis. Kalau suara radio sudah tidak kuat lagi, kita dapat dengan cepat membuat analisis apa puncanya, dan membuang punca itu dengan memasang bateri baru. Kalau nasi hangus, kalau lampu padam, kalau tayar basikal kempis, semua masalah itu dapat diselesaikan dengan menganalisis punca-puncanya dan membuang punca-punca itu.

Jenis-jenis masalah yang berpunca daripada sifat-sifat semula jadi tabiat manusia ialah contoh masalah yang tidak dapat diselesaikan dengan cara analisis. Banyak masalah tidak dapat diselesaikan dengan cara mencari dan membuang puncanya. Jikalau seseorang itu tidak dapat melintas kerana ada sungai di depannya, dia tidak dapat membuang sungai itu. Kalau hari hujan dan dia basah, dia tidak dapat membuang hujan tersebut. Kalau matanya rabun, dan dia sukar membaca, tetapi dia tidak dapat menyelesaikan masalah-masalah itu dengan cara mem-buang puncanya, kerana hal itu tidak dapat dilakukan.

Banyak jenis masalah adalah terdiri daripada jenis yang hanya dapat diselesaikan dengan menggunakan teknik pemikiran `reka cipta,’ selain daripada analisis. Bagi menyelesaikan masalah itu kita mereka cipta penyelesaiannya, bukan menganalisis punca-puncanya. Pemikiran desain atau reka cipta mengkehendaki kita supaya melakukan itu ini, semata-mata kerana hendak mendapatkan penyelesaian. Kita bukan cuba membuang punca, malah kita tidak peduli pada apa punca masalah, sebaliknya kita mereka cipta penyelesaiannya.

Apabila berfikir dengan menggunakan stail analitikal matlamatnya ialah membuat huraian terperinci berkenaan sesuatu idea ataupun perkara, mencari persamaan, perbezaan, mencari punca-punca sesuatu masalah ataupun kejadian, menyusun maklumat-maklumat ke dalam kumpulan-kumpulan, membuat pelbagai tafsiran, mencari perhubungan antara perkara-perkara, dan mencari kaitan sebab-akibat antara perkara-perkara dan peristiwa-peristiwa.

Berfikir secara analitikal ialah salah satu aktiviti pemikiran logikal. Analisis memerlukan maklumat dan fakta-fakta. Reka cipta yang bermutu tinggi adalah berdasarkan idea kreatif serta maklumat yang betul. Idea yang baik ialah apabila faktanya betul. Kalau faktanya salah, idea itu tidak mungkin baik. Stail ini kita gunakan bagi melakukan perkara-perkara berikut: Memahami sesuatu dengan lebih mendalam, memahami kaitan antara satu perkara dengan yang lain, dan memahami punca-punca kejadian.

Analisis, apabila digunakan dengan banyaknya, dapat menimbulkan kesan seperti orang yang menggali perigi: semakin dia menggali, semakin dalam perigi itu. Ada risiko dia jatuh ke dalam perigi yang dia sendiri gali dan tidak dapat keluar daripada perigi tersebut. Analisis yang berjela-jela dapat menyebabkan minda menjadi tepok, maksudnya, seseorang menjadi sesat dalam perincian yang tetek-bengek. Kerja-kerja analisis adalah aktiviti yang berguna. Analisis membantu seseorang itu memahami situasi-situasi yang kompleks dan rumit. Dengan itu dia dapat memahami apa yang sebenarnya berlaku di dalam situasi begitu.

Aktiviti analisis dapat digolongkan ke dalam tiga jenis. Pertama, analisis yang cuba memahami sesuatu keadaan kompleks dengan cara memecah-mecahkan keadaan itu ke dalam unsur-unsurnya yang lebih kecil, sebagai contoh seseorang itu dapat mengambil sebuah basikal dan membuka basikal itu bagi memahami bahagian-bahagiannya. Kedua, analisis yang cuba memahami hubungan sebab-akibat antara suatu peristiwa dengan peristiwa lain. Ia cuba memahami jenis-jenis dan sifat-sifat interaksi yang berlaku, sebagai contoh analisis bagi memahami apa kaitan antara perbuatan menghisap rokok dengan kejadian barah paru-paru. Ketiga analisis yang cuba memahami persamaan dan perbezaan antara dua benda, perkara ataupun peristiwa, sebagai contoh analisis bagi membandingkan antara faedah dan keuntungan, ataupun antara hadiah dan rasuah.

Melalui aktiviti analisis seseorang itu dapat memahami keadaan yang sukar difahami; memahami perkara-perkara dan peristiwa-peristiwa yang baru berlaku; membuat ramalan-ramalan apa yang mungkin berlaku pada masa hadapan; dan dapat membuat perancangan bagi mengawal kejadian, oleh itu aktiviti analisis sangat bermanfaat. Yang menjadi masalah pada hari ini ialah kita terlalu memberi tumpuan pada aktiviti analisis. Membuat analisis dan menghasilkan huraian adalah kerja intelektual yang mudah. Cuba ambil sebuah botol kicap. Di atas sekali adalah tutupnya. Ada lubang yang ditutup oleh penutup itu. Ada leher botol. Ada badan botol. Pada badan botol itu ada label kicap. Di bawah sekali ada tapak botol yang membolehkan botol itu berdiri tegak. Antara leher botol dengan badan botol ada bahagian yang boleh dipanggil bahu botol. Pada lubang botol itu ada bahagian yang boleh dipanggil bibir lubang botol. Pada tutup botol itu ada bahagian yang mencekam bibir botol yang boleh dipanggil…. Apabila seseorang itu pandai membuat analisis, dia dapat menghasilkan huraian yang semakan terperinci hingga tidak ada kesudahnnya. Dan di sebelah dalam tutup botol itu ada pelapik gabus untuk…. Tesis-tesis yang dihasilkan oleh mahasiswa-mahasiswa adalah huraian-huraian hasil analisis yang mereka lakukan. Semuanya menjawab soalan “Apa?” Semuanya mempunyai matlamat mahu menjumpai kebenaran.

Pemikiran Reaktif

Pemikiran reaktif bermaksud jikalau tidak ada apa-apa berlaku, seseorang itu tidak ada alasan untuk mula berfikir. Dia me-nunggu sehingga ada peristiwa, kejadian, idea, usul ataupun perkara-perkara yang dibaca. Oleh hal yang demikian, butir-butir fikirannya ditentukan oleh perkara-perkara tersebut. Demikian juga fokus dan arah pemikirannya juga ditentukan oleh perkara-perkara tersebut. Jikalau dia melihat ada kejadian tanah runtuh, barulah dia memikirkan perkara tersebut. Berfikir secara reaktif menyebabkan seseorang itu sentiasa tertinggal di belakang orang lain. Biasanya, dia membuat pelbagai ulasan dan komen terhadap apa yang sudah dilakukan oleh orang lain. Di dalam kehidupan ini, jikalau seseorang itu hanya terfikirkan sesuatu selepas orang lain memikirkannya, dia kalah dalam persaingan. Begitu juga, jikalau dia hanya pandai berfikir secara reaktif bagi menyelesaikan masalah, dia tidak berdaya mencipta peluang.

Pemikiran Historis

Pemikiran historis mementingkan perkataan SEBAB dan KERANA. Penggunaan kedua-dua perkataan ini menyebabkan anak panah minda seseorang itu memandang ke belakang sedangkan dalam hidup ini arah yang hendak dituju ialah ke hadapan. Stail berfikir analitikal dengan mudah menyebabkan seseorang itu berfikir secara historis kerana salah satu aktiviti yang dilakukan dalam analisis ialah mencari kaitan sebab-akibat. Ini tidak bermakna semua perkaitan sebab-akibat bersifat historis, tetapi banyak masalah hari ini memang mempunyai sebab-sebabnya pada suatu ketika dahulu. Ini menimbulkan kekeliruan yang kerap dapat disaksikan, di mana seseorang itu menyangka dengan mengkaji perkara-perkara yang berlaku pada masa lalu, dia dapat mencari cara-cara bagi menyelesaikan masalah yang sedang berlaku pada hari ini.

Seseorang itu lebih berminat berfikir dengan minda yang ditujukan ke masa lampau kerana berfikir cara begitu adalah mudah. Apabila berlaku sesuatu, analisis dan carilah puncanya. Ada jenis-jenis masalah yang dapat diselesaikan dengan cara menganalisis masalah tersebut, tetapi ada yang tidak dapat diselesaikan dengan cara itu. Ada pula masalah-masalah yang tidak dapat diketahui apa puncanya. Jikalau seseorang itu tidak tahu apa punca sesuatu masalah, bagaimanakah dapat dia membuang punca tersebut? Ada masalah yang mempunyai terlalu banyak punca sehingga seseorang itu tidak mampu mem-buang punca-punca itu satu persatu. Ada pula masalah yang punca-puncanya tidak mungkin dapat dibuang.

Tujuan berfikir ialah supaya seseorang itu maju ke hadapan, tetapi cara berfikir historis menarik dia undur ke belakang. Semakin dia berfikir secara historis, semakin dia menoleh jauh ke dalam sejarah. Berfikir dengan menggunakan stail historis berguna apabila matlamat berfikir ialah memahami sejarah, umpamanya, apabila hendak memahami apa yang menyebabkan kejatuhan kesultanan Melaka di tangan Portugis, apa yang mendorong kedatangan orang-orang Arab ke Nusantara, atau-pun apa yang menyebabkan semakin ramai orang muda luar bandar tidak berminat bekerja dalam sektor pertanian, dan seumpamanya, maka analisis dapat membantu. Berfikir secara historis berguna bagi mengetahui kesukaran-kesukaran dan kegagalan yang telah berlaku supaya perkara itu tidak diulangi lagi. Ia juga berguna bagi mengetahui punca-punca kejayaan yang dialami supaya faktor-faktor itu dapat diulang.

Pemikiran Teknikal

Pemikiran tradisional yang dicipta oleh Socrates, Plato dan Aristotle tidak mengajar manusia cara-cara membuat desain atau reka cipta sebagai alat menghasilkan perubahan dan menangani dunia yang sentiasa berubah. Cara berfikir ciptaan mereka itu mengandaikan dunia ini stabil. Di dalam pemikiran tradisional yang mereka cipta itu tidak terdapat unsur-unsur yang berdaya kuasa kreatif dan konstruktif. Ia tidak berkeupayaan bagi menerbitkan apa yang disebut reka cipta. Pemikiran reka cipta ialah sejenis pemikiran teknikal.

Tradisi intelektual Barat menolak kehadiran pemikiran teknikal, meskipun pemikiran teknikallah yang menghasilkan dunia sebagaimana yang kita nikmati sekarang. Itulah sebabnya pemikiran mainstream di universiti terus dikuasai oleh pe-mikiran logikal-analitikal sehingga universiti tidak mengajarkan teknologi kepada para mahasiswa kerana teknologi mengke-hendaki adanya pemikiran teknikal. Pemikiran teknikal kini terus disisihkan oleh universiti dan diserahkan kepada poli-teknik dan sekolah vokasional.

Universiti yakin mereka hanya perlu menganalisis apa yang ada di depan mereka dan berdebat sesama sendiri tentang hasil analisis mereka. Mereka percaya lain-lain cara berfikir tidak diperlukan dalam kehidupan dan aktiviti intelektual akademik. Pendapat seperti inilah yang menyebabkan pemikiran teknikal yang bersifat kreatif, produktif dan projektif tidak diperlukan oleh para cendekiawan universiti. Bagi masyarakat akademik analisis dan huraian adalah tujuan dan matlamat sah mereka berfikir. Dunia akademik mengajarkan dan memuliakan pemikiran logikal-analitikal-kritikal bagi menghasilkan huraian demi huraian, oleh kerana hal itu menjadi matlamat universiti, maka pemikiran itu dilihat sebagai pemikiran yang berguna dan memenuhi matlamat universiti, kerana terbukti pemikiran tersebut mampu menghasilkan huraian-huraian yang cemerlang di kalangan masyarakat akademik. Disebabkan pemikiran logikal-analitikal-kritikal sudah dianggap cukup bagi mereka, maka orang-orang akademik yakin semua orang lain hanya perlu belajar pemikiran logikal-analitikal-kritikal. Mereka percaya apa yang sudah cukup bagi mereka tentulah cukup bagi semua orang lain. Oleh kerana mereka perlu mahir menganalisis dan berdebat, mereka percaya orang lain pun hanya perlu mahir menganalisis dan berdebat. Kepada orang-orang akademik, kegiatan intelektual yang kreatif, produktif dan konstruktif bukan kegiatan intelektual. Mereka menganggap orang-orang yang menggunakan otak mereka bagi mencipta bukanlah `pemikir.’ Bagi mereka pemikir tidak perlu menghasilkan apa-apa ciptaan, cukup dengan menghasilkan analisis dan kritikan. Orang-orang akademik melayan pemikir teknikal seolah-olah orang-orang itu tidak tahu berfikir dan tidak perlu berfikir. Bagi orang-orang akademik, oleh kerana analisis dan huraian tidak memerlukan daya cipta, pemikiran teknikal yang menghasilkan pelbagai ciptaan dianggap tidak perlu diajarkan di universiti.


Pemikiran Hipotetikal

Hipotesis ialah ramalan yang munasabah. Hipotesis mempunyai peranan besar dalam perkembangan sains. Demikian juga `kemungkinan,’ ia memainkan peranan yang sama besar dalam perkembangan sains. Kuasa pendorong terpenting dalam perkembangan sains ialah keupayaan ahli-ahli sains mencipta hipotesis demi hipotesis dan melihat kemungkinan demi kemungkinan. Meskipun hipotesis penting dalam perkem-bangan sains tetapi cara sains diajarkan kepada para pelajar seolah-olah sains itu semata-mata kerja-kerja mengumpul data dan menjalankan eksperimen-eksperimen.

Kursus-kursus sains tidak mengajar mahasiswa kemahiran kreatif dan kaedah berfikir yang generatif supaya mereka dapat mencipta hipotesis demi hipotesis sebagaimana mereka diajar dengan terperinci kaedah-kaedah mengumpulkan data. Malah kreativiti dianggap tidak ada tempat dalam penyelidikan sains. Walaupun membuat rekacipta eksperimen dan menganalisis data adalah aspek penting dalam sains, tetapi perlu diingat kita mesti mempunyai sesuatu hipotesis dahulu, kemudian barulah dapat dilakukan eksperimen dan analisis data.

Hipotesis ialah sejenis idea. Hipotesis dan idea berfungsi menyusun dan menggunakan maklumat dengan cara-cara baru.

Hipotesis dan idea memberitahu maklumat-maklumat baru yang diperlukan. Daripada segi ini, hipotesis dan idea berkuasa mencipta maklumat, sebaliknya maklumat tidak berkuasa mencipta idea. Perkara ini mudah dimengerti, tetapi anehnya, kita menumpukan begitu banyak masa, tenaga dan wang mengumpul lebih banyak maklumat, bukan mencipta lebih banyak hipotesis dan idea. Kesilapan ini datang daripada sangkaan dengan memiliki lebih banyak maklumat seseorang itu dapat mencetuskan idea.

Budaya berfikir di universiti yang sangat meminati maklumat berpunca daripada keyakinan maklumat dapat membawa seseorang itu menemui kebenaran. Lebih banyak maklumat, lebih hampir dia menemui kebenaran. Pada hari ini istilah `kesarjanaan’ mengandungi makna sebanyak mana seseorang itu mempunyai maklumat. Orang akademik yang mempunyai banyak maklumat diiktiraf lebih `sarjana’ daripada orang yang kurang maklumat. Disebabkan maklumat hanya muncul selepas berlaku sesuatu, ini bermakna maklumat hanya ada pada masa lampau, bahawa maklumat adalah sebahagian daripada sejarah. Oleh itu kesarjanaan membawa makna sejauh mana seseorang itu melihat ke belakang bagi mendapat maklumat berkenaan perkara-perkara yang telah berlaku di masa lalu. Para sarjana bukanlah orang-orang yang memiliki kepakaran tentang perkara-perkara yang diramalkan akan berlaku. Dunia kesarjanaan mengutamakan kegiatan mengumpul maklumat tentang masa lalu, ia tidak mengutamakan kegiatan mencipta untuk masa depan. Walaupun pelik, tetapi dalam dunia akademik, terdapat keyakinan kononnya dengan menoleh ke belakang seseorang itu dapat menemui idea-idea untuk masa depan.


Pemikiran Projektif

Pemikiran projektif ditandai oleh keupayaan meramal perkara-perkara yang pada masa ini belum hadir ataupun belum berlaku.

Kemahiran berfikir secara projektif penting bagi mengelakkan pelbagai keputusan dan tindakan yang disangka betul pada waktu sekarang tetapi kemudian terbukti salah. Bagi me-nerangkan apa itu pemikiran projektif, katakanlah, pada satu masa nanti jari kelingking manusia berubah bentuk menjadi ibu jari kedua, akibatnya, tiap-tiap tangan mempunyai dua ibu jari. Secara projektif dapat difikirkan perkara-perkara yang bakal terjadi akibat perubahan ini. Antaranya sarung tangan yang ada sekarang tidak dapat digunakan lagi dan kad pengenalan sekarang barangkali perlu ditukar dengan yang baru, dan banyak lagi.


Pemikiran Proaktif

Pemikiran proaktif ditandai oleh daya usaha berfikir sebelum sesuatu perkara itu berlaku. Berfikir secara proaktif meng-gunakan keupayaan minda membuat pelbagai ramalan untuk menjangka perkara-perkara yang kini belum berlaku. Selepas itu kita menggunakan cara-cara berfikir yang lain-lain bagi membuat persiapan-persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku. Apabila berfikir secara proaktif seseorang tidak menanti sesuatu terjadi lebih dahulu bagi me-rangsang otaknya berfikir. Seseorang itu dapat berfikir walaupun tidak ada apa-apa yang terjadi. Ertinya, dia dengan sendiri memilih untuk memikirkan sesuatu sebelum apa-apa terjadi. Kemahiran berfikir secara proaktif sangat penting, sama pentingnya dengan kemahiran berfikir secara projektif dan kemahiran berfikir secara perseptif Pada masa ini para pelajar lemah dalam kemahiran berfikir secara proaktif. Mereka lebih mahir dalam kemahiran-kemahiran berfikir secara reaktif. Pemikiran logikal, analitikal dan kritikal adalah kemahiran-kemahiran reaktif. Kemahiran berfikir secara proaktif me-merlukan daya imaginasi yang tajam di samping logik yang betul dan maklumat yang tepat. Kemahiran berfikir secara proaktif membolehkan seseorang itu merancang tindakan-tindakan proaktif. Ini sangat penting dalam proses persaingan. Kemahiran ini memerlukan daya ramal yang jauh dan tajam. Di dalam dunia persaingan, siapa yang nampak dahulu, dan siapa yang bertindak lebih dulu, dia akan mendapat dahulu.


Pemikiran Konstruktif

Pemikiran konstruktif, ataupun membina, ditandai oleh daya usaha bagi memperbaiki sebarang kelemahan yang terdapat pada sesuatu idea. Stail ini digunakan selepas seseorang itu berfikir secara kritikal dan negatif. Stail negatif membolehkan minda melihat perkara-perkara buruk, kerugian, bahaya, risiko dan masalah. Stail kritikal membolehkan minda melihat ke-lemahan, kekurangan, kesilapan, kesalahan dan seumpamanya. Berfikir secara membina ditandai oleh daya usaha bagi me-lakukan perkara-perkara seperti mengemukakan cadangan-cadangan konkrit bagi memperbaiki lagi sesuatu idea, mencari cara yang lebih baik bagi melakukan sesuatu, mencari cara-cara yang dapat memastikan sesuatu idea itu dapat dijalankan, mengemukakan bukti-bukti tambahan bagi menyokong idea yang ideal, dan mencari cara-cara yang membolehkan sesuatu idea dijalankan dan berjaya. Semua idea dan semua reka cipta tentu mempunyai kelemahan dan sentiasa dapat diperbaiki. Reka cipta yang ada sekarang dan sedang digunakan pun tetap dapat diperbaiki lagi. Pemikiran konstruktif ialah pemikiran yang sangat berguna. Dunia ini maju setiap saat kerana adanya individu-individu yang sentiasa berusaha memperbaiki lagi apa yang sudah baik. Ciptaan-ciptaan baru terbit daripada rasa tidak puas hati terhadap apa yang ada. Pemikiran konstruktif sentiasa mencari-cari cara-cara lain yang lebih baik lagi bagi meng-gantikan idea-idea yang sudah cukup baik.


Pemikiran Sistematik

Pemikiran sistematik ditandai oleh daya usaha bagi mengawal proses berfikir yang seseorang itu gunakan supaya fikirannya tidak kacau, bercelaru ataupun simpang-perenang. Cara mengawal proses berfikir ialah dengan mengingat perkara-perkara berikut sewaktu kita sedang berfikir, seperti apa objektif kita berfikir sekarang? Apa perkara yang penting di dalam masalah ini? Apa perkara yang kita patut beri keutamaan? Apa perkara yang seharusnya kita beri tumpuan?Apa perkara yang mesti dibuat dahulu?Apa perkara yang dapat dikemudiankan? Kemahiran berfikir secara sistematik adalah kemahiran yang penting. Mengetahui apa yang utama, apa yang penting, apa yang menjadi matlamat seseorang berfikir adalah amat mustahak. Jikalau tidak, seseorang mudah menjadi keliru dan fikirannya berbelit-belit.Enam Topi Berfikir ciptaan de Bono ialah alat yang dapat membantu seseorang itu berfikir dengan sistematik.


Pemikiran Pragmatik

Pemikiran pragmatik mengutamakan perkara-perkara berikut:

1. Adakah idea itu dapat dibuat, dilaksanakan ataupun dipraktikkan? Perkara-perkara yang dapat dibuat diberi-kan keutamaan lebih tinggi daripada perkara-perkara yang ideal. Idea yang kurang baik tetapi kalau dapat dibuat adalah lebih diutamakan daripada idea yang sangat baik tetapi sukar dilaksanakan. Perkara-perkara yang baik, tetapi kalau memerlukan biaya besar, kepakaran yang tinggi, perlukan waktu yang lama dan banyak halangan, perkara-perkara itu tidak diberi keutamaan.

2. Adakah idea itu sesuai dengan keadaan dan situasi? Idea yang kurang sempurna pun, tetapi kalau ia sesuai dengan ke-adaan dan situasi maka idea itu diberi keutamaan yang lebih tinggi dibandingkan dengan idea yang ideal tetapi kurang sesuai dengan keadaan dan situasi pada waktu itu.

3. Apakah faedah dan keuntungan segera yang dapat diperolehi daripada sesuatu idea? Idea yang cepat menunjukkan hasil lebih diutamakan daripada idea yang memerlukan masa yang sangat lama sebelum faedahnya dapat dinikmati.

4. Sudahkah semua aspek praktikalnya diambil kira? Idea-idea yang baik, tetapi kalau ia cuba hendak menyelesaikan bermacam-macam perkara secara serentak dan sekaligus, dianggap tidak praktikal. lebih baik kita memberi ke-utamaan pada idea yang dapat menyelesaikan banyak masalah, tetapi dengan cara satu demi satu.

5. Memikirkan `apa akan jadi kalau….’ bermakna memikir-kan apa yang patut dilakukan seandainya apa yang di-rancang menghadapi masalah. Dengan itu, pemikiran pragmatik tidak bersikap positif melulu. Ia mengambil kira realiti alam sebenar. Oleh itu setiap rancangan di-lengkapi dengan rancangan kecemasan dan rancangan daruratnya sekali.

Orang akademik suka berfikir secara ideal. Mereka tidak ber-minat bagi memikirkan aspek-aspek realiti dalam kehidupan.


Pemikiran Positif

Pemikiran positif ditandai oleh keupayaan melihat kebaikan, kegunaan, keuntungan dan faedah-faedah pada apa-apa sahaja. Matlamat pemikiran positif ialah melihat apa yang baik, yang berguna, yang menguntungkan, yang berfaedah, siapa yang akan mendapat faedah, mengapa ia akan berjaya, mengapa ia akan dapat dilaksanakan dan lain-lain lagi.

Berfikir secara positif bukan sifat semula jadi manusia. Se-baliknya, berfikir secara negatif adalah semula jadi kerana di dalam kehidupan, kesilapan, masalah, bahaya dan risiko mem-bawa kesan besar pada pemikir. Oleh yang demikian secara semula jadi kita memerlukan kemahiran mengenal pasti unsur-unsur negatif di sekeliling kita. Tetapi tidak begitu halnya dengan kemahiran berfikir secara positif. Ia perlu dilakukan dengan secara sedar dan berniat. Tiap-tiap perkara, benda atau-pun kejadian, pasti ada baiknya, kalau tidak banyak, sedikit tentu ada. Bagi setiap keburukan yang dapat lihat, tentu ada kebaikan yang tersembunyi. Kalau sesuatu cara itu menyebabkan kegagalan, tentu ada cara lain yang dapat membawa kejayaan. Dengan menggunakan stail positif seseorang itu tidak menolak sebarang idea semata-mata kerana idea itu mempunyai kelemahan. Stail ini menolong kita supaya menolak hanya bahagian-bahagian yang lemah sahaja, manakala bahagian-bahagian yang baik diterima. Berfikir secara positif menyebabkan seseorang itu mencari pelbagai alasan yang logikal supaya percaya sesuatu itu dapat dilaksanakan, berjaya dan menguntungkan. Ia juga mencari asas-asas logikal bagi melakukan sesuatu dan mengenal pasti faedah-faedah yang terdapat pada idea tersebut. Di samping itu, berfikir cara positif juga berfungsi bagi mengenal pasti peluang-peluang baru yang selama ini belum dilihat. Pemikiran positif adalah sebahagian daripada pemikiran konstruktif. Kemahiran berfikir secara positif penting bagi membuat ramalan-ramalan positif dan bagi menemui peluang-peluang baru.

Pemikiran positif pada amnya menunjukkan ciri-ciri berikut: Menumpukan fokus pada pelbagai kebaikan dan faedah sesuatu perkara, memikirkan cara-cara membolehkan sesuatu idea yang lemah dilaksanakan dengan pelbagai cara bagi mengatasi kelemahan yang ada, mencari alasan bagi mempertahankan ke-baikan sesuatu idea dan mencari bukti idea itu akan berjaya, menyenaraikan bermacam syor dan cadangan, mengutamakan kebaikan yang akan berlaku pada masa akan datang, tidak berminat kepada apa yang terjadi pada masa silam dan melihat pada faedah yang dapat dihasilkan oleh sesuatu idea baru. Penggunaan teknik ini hendaklah diimbangi dengan teknik berfikir negatif supaya aspek risiko dan masalah dapat dielakkan daripada awal-awal lagi. Apabila kita mengkaji kelemahan sesuatu idea, tujuan kita ialah menerbitkan pelbagai cadangan yang dapat memperbaiki kelemahan tersebut. Semua kritikan hendaklah disertai dengan cadangan-cadangan yang membina. Dengan lain perkataan cadangan-cadangan tersebut adalah sokongan kepada idea asal.


Pemikiran Negatif

Matlamat pemikiran negatif melihat keburukan, bahaya, risiko dan masalah. Tiap-tiap perkara, benda ataupun kejadian pasti ada aspek negatifnya, kalau tidak banyak, sedikit tentu ada. Bagi setiap kebaikan, tentu ada keburukannya. Kalau ada aspek yang dapat membawa kejayaan, tentu ada aspek-aspek lain yang boleh menyebabkan kegagalan. Berfikir secara negatif mem-punyai kegunaan dan faedahnya. Pemikiran negatif dapat mem-bantu seseorang itu mengelakkan bahaya, risiko dan kesilapan. Yang menjadi masalah ialah, dia terlalu banyak menggunakan stail ini dalam kehidupan harian. Jikalau cara ini terlalu kerap digunakan, ia membunuh kreativiti. Kerap kali berlaku, sebaik-baik sesuatu idea dikemukakan, orang segera menilai idea itu dengan menggunakan cara berfikir negatif. Selepas mengenal pasti aspek-aspek negatif sesuatu perkara, seseorang itu dapat menggunakan stail-stail berfikir yang lain bagi mengatasi aspek-aspek negatif itu. Kegunaan pemikiran negatif ialah bagi melakukan perkara-perkara seperti, meramalkan kesulitan, bahaya, kerugian, kegagalan dan risiko yang mungkin berlaku, menyediakan pelan kecemasan, menyediakan pelan darurat, menyediakan pelan keselamatan, menghindari masalah yang diramalkan mungkin berlaku dan memperbaiki idea yang ada.

Pemikiran negatif berfungsi mengimbangi pemikiran positif. Dengan cara ini persepsi, reka cipta, rancangan dan keputusan yang dibuat menjadi lebih tinggi mutunya. Di samping itu ia mengelakkan berlakunya kesalahan, kegagalan dan kerugian. Berfikir secara negatif menolong seseorang itu mengelak daripada melakukan kesilapan, membuat keputusan-keputusan bodoh, dan menanggung kerugian. Kesilapan boleh membawa kesan buruk oleh itu berfikir cara negatif membantu kita bertindak dengan hati-hati. Reka cipta yang bermutu tinggi mengambil kira aspek-aspek negatif yang dijangka akan berlaku. Sebagai contoh, jika sesuatu basikal dapat dikayuh dengan lebih laju, ia membahayakan, oleh itu sistem breknya perlu lebih baik.

Pemikiran negatif ialah salah satu jenis pemikiran vertikal. Pemikiran vertikal ialah pemikiran yang menerbitkan penilaian dan keputusan. Apabila kita berfikir dan berkata: “Itu baik, ini buruk, ini salah”, itu ertinya kita berfikir secara vertikal. Kata-kata seperti itu menggambarkan seseorang itu telah membuat penilaian dan keputusan ke atas apa yang ada di depannya. Apabila seseorang itu berfikir secara negatif, mindanya tertumpu pada kegiatan membuktikan kebenaran dan kese-larasan sesuatu idea. Pemikiran negatif bersifat logikal. Ia menggunakan fakta-fakta sebagai asas bagi membuat penilaian-penilaian negatif. seseorang itu perlu mempunyai asas yang kuat bagi mempertahankan kewajaran pendapat kita.

Pemikiran negatif ialah jenis yang paling popular digunakan. Pemikiran ini mempunyai banyak faedah kerana dengan menggunakan pemikiran ini seseorang itu dapat mengelakkan kesilapan dan perbuatan-perbuatan bodoh. Oleh yang demikian, pemikiran negatif ialah sejenis pemikiran kritikal. Apabila seseorang itu berfikir secara negatif dia mementingkan kebenaran dan realiti. Kita bertanya, `Adakah ini benar?’ seseorang itu mementingkan kebenaran sesuatu idea ataupun pendapat. Dia mempersoal fakta-fakta dan alasan-alasan yang dijadikan asas kepada pendapat tersebut. Oleh itu dia mencari pelbagai kesilapan yang mungkin ada. Dia juga mementingkan sama ada idea itu selaras dengan matlamat, strategi, prosedur dan polisi yang ada. Dia juga menilai keselarasan idea itu dengan agama, kebudayabudayaan dan nilai-nilainya tentang apa yang adil, apa yang tidak.

Pemikiran negatif juga mengutamakan nilai praktikal sesuatu idea. Adakah idea itu benar-benar dapat dilaksanakan dan ada faedahnya. Di samping itu ia memberi tumpuan pada risiko, bahaya, kesukaran, kesan-kesan sampingan dan masalah-masalah yang ditimbulkan oleh sesuatu idea sekiranya ia diterima dan dilaksanakan. Walaupun pemikiran negatif mempunyai banyak faedah, tetapi pemikir pemikiran itu biasa-
nya digunakan sebagai cara bagi menolak sesuatu idea. Ada ramai orang yang suka bersikap sangat berhati-hati dan oleh itu negatif. Mereka mahir mencari-cari alasan bagi membuat ramalan bagaimana sesuatu idea itu akan gagal, akan membawa pelbagai masalah serta kerugian. Pemikiran negatif berguna bagi memperbaiki sesuatu idea apabila selepas seseorang itu melihat kelemahan idea itu dia seterusnya berfikir bagaimana hendak memperbaikinya, bukan berfikir bagi menolaknya.

Pemikiran positif mengandaikan sesuatu yang buruk tidak berlaku. Tetapi di dalam dunia sebenar risiko, bahaya dan kesilapan banyak terjadi. Dan kita memerlukan kaedah berfikir yang membolehkan kita meramalkan perkara-perkara tersebut dan mengambil jalan bagi menghindarinya ataupun mengatasinya apabila ia tidak dapat dielakkan. Pada masa ini pemikiran negatif digunakan melebihi aras yang sepatutnya. Sering kali pemikiran negatif digunakan sebagai reaksi awal apabila seseorang itu menilai sebarang idea baru dan dijadikan kewajaran bagi menolak idea tersebut. eseorang itu mudah menolak fikiran negatif kerana ia dia mengaitkannya dengan perbuatan menolak idea baru. Dan memang pun begitu. Apabila seseorang itu menilai idea baru dia melihat pada kelemahan yang terdapat pada idea itu. Dia juga cuba meramal masalah yang timbul jika idea baru itu dilaksanakan. Dia nampak bagaimana idea itu nanti gagal, bagaimana ia membahayakan perkara yang pada masa ini selamat. Dia juga memikirkan risiko yang timbul. Dia juga menimbangkan ancaman baru yang mungkin berlaku. Dan itu semua logik belaka. Bukan dibuat-buat.

Dalam budaya Melayu pemimpin yang berfikir secara negatif dilihat sebagai pemimpin yang `waras,’ `bijaksana,’ `hati-hati,’ `panjang akal,’ `dewasa’ dan `sudah banyak makan garam.’ Pandangan ini ada betulnya, terutama di dalam kepimpinan masyarakat, iaitu termasuk di dalamnya kepimpinan politik, kerana hal-hal kemasyarakatan berkait rapat dengan sistem nilai. Idea-idea baru membawa unsur nilai-nilai baru. Idea-idea yang meng-hendaki perubahan nilai yang mengejut mengancam kestabilan masyarakat, oleh itu proses perubahan nilai patut dilakukan secara perlahan-lahan. Di luar bidang kemasyarakatan, berfikir secara negatif tidak dipandang mulia. Ia dikaitkan dengan `kegagalan,’ `kemunduran,’ `kerugian,’ `kesempitan akal,’ `kebodohan,’ `kekolotan’ dan `ketinggalan zaman.’ Ini nyata dalam bidang kepimpinan organisasi dan korporat. Di dalam bidang ini idea baru ditolak atas alasan `tidak praktikal,’ `sukar,’ `belum tentu membawa untung,’ `tidak dibenarbenarkan oleh peraturan yang ada,’ `penuh risiko’ ataupun `tidak sesuai.’ Tanggapan seperti itu datang daripada penilaian yang bersifat negatif. Dalam proses menolak idea baru, kita paksa idea itu membuktikan dirinya baik, betul dan menguntungkan. Kita minta contoh, data dan maklumat. Kita lupa idea baru, mana mungkin ia mempunyai bukti itu semua. Hanya idea lama yang dapat mengemukakan bukti kejayaannya. Kita menilai idea baru dengan membanding-kannya dengan pengalaman lalu, dan pengetahuan sekarang. Kemudian dia tolak idea baru itu kerana ia tidak selari dengan pengalaman dan pengetahuannya. seseorang itu lupa kalau sesuatu idea itu serupa dengan pengalaman dulu dan apa yang sudah diketahui, maka idea itu bukan idea baru. Dalam bidang pengurusan dan perniagaan, berfikir secara negatif ialah alat yang diperlukan bagi mengurus risiko; sekali-kali bukan alat ataupun alasan bagi menolak idea-idea baru.


Pemikiran Nilai

Pemikiran nilai menggunakan pelbagai nilai sebagai asas bagi pandangan dan keputusan yang dibuat. Tiap-tiap orang mem-punyai bermacam-macam nilai yang mereka jadikan panduan hidup. Agama adalah sumber nilai yang paling penting. Nilai-nilai moral juga menjadi sumber yang penting bagi mereka yang tidak beragama. Nilai-nilai moral ialah nilai-nilai apa yang baik dan apa yang buruk berdasarkan kemanusiaannya. Setiap idea, dan setiap reka cipta akhirnya dilihat daripada sudut nilai.

Sesuatu idea dan reka cipta hanya diterima apabila ia selaras dengan nilai yang dipegang oleh bakal penggunanya. Sebuah mangkuk pembasuh tangan yang baik sekalipun tidak laku di negara di mana masyarakatnya menganggap makan dengan tangan adalah kotor. Begitu pula sudu dan garpu yang elok sekalipun tidak digunakan oleh masyarakat yang menganggap makan dengan tangan adalah lebih bersih. Mengapa karpet sangat laku di kalangan pembeli Melayu ada kaitannya dengan nilai orang-orang Melayu yang menganggap duduk di atas lantai adalah perbuatan yang baik, terutama dalam majlis-majlis yang berunsurkan agama. Ini menyebabkan golongan Melayu yang berpendapatan rendah sekalipun suka membeli karpet. Lain pula halnya dengan pembeli Cina. Mereka tidak berminat mem-beli karpet, mereka lebih berminat memasang bahan lantai yang lebih mahal seperti batu marmar kerana bagi masyarakat Cina karpet mudah kotor dan dapat menyebabkan penyakit. Orang Melayu tidak membeli benda-benda yang dihias dengan gambar ataupun ukiran naga, manakala orang-orang Cina suka membeli benda-benda begitu. Ini pengaruh perbezaan nilai antara orang-orang Melayu dan Cina. Idea dan reka cipta yang tidak meng-ambil kira nilai para pengguna akan gagal, meskipun aspek-aspek teknikalnya baik belaka.

Perkara-perkara yang betul jika dilihat daripada sudut logik akal, boleh jadi salah apabila dilihat menggunakan nilai sebagai asasnya. Begitu juga perkara-perkara yang dianggap tidak munasabah dan salah apabila dilihat menggunakan logik akal, boleh jadi betul apabila dilihat menggunakan nilai yang menjadi pegangan. Nilai ialah faktor utama yang mempengaruhi keputusan. Semua keputusan adalah pada akhirnya keputusan nilai. Keputusan yang dikatakan sebagai objektif sekalipun, tetap dipengaruhi oleh nilai si pembuat keputusan itu.


Pemikiran Emotif

Pemikiran emotif ditandai oleh penggunaan pelbagai emosi, ataupun perasaan, sebagai asas membuat pendapat dan keputusan. Apabila berfikir dengan menggunakan pemikiran emotif, seseorang itu menggunakan bermacam-macam jenis emosi, baik emosi positif, mahupun emosi negatif. Berfikir se-cara emotif juga menggunakan unsur-unsur seperti cita rasa, rasa tawakal, gerak hati dan seumpamanya. Setiap keputusan yang dibuat melibatkan faktor emosi. Tidak ada keputusan yang tidak dipengaruhi emosi. Selepas keputusan dibuat barulah ia dikemukakan seolah-olah ia dibuat tanpa pengaruh emosi. Setiap idea dan setiap reka cipta akhirnya dinilai secara emotif. Ada aspek-aspek yang disukai ataupun ada aspek-aspek yang tidak disukai oleh bakal pengguna. Emosi ialah unsur normal dalam proses berfikir. Yang penting ialah memiliki kemahiran mengimbangkan antara faktor emosi dan faktor-faktor lain apabila membuat penilaian dan keputusan. Kita perlu memilih dengan betul emosi yang digunakan dalam proses berfikir. Kita perlu mengetahui apa yang kita lakukan menimbulkan emosi pada orang lain.

Berfikir dengan cara ini menggunakan jenis-jenis emosi yang mendalam seperti kecintaan, ketakutan, kebencian, kemarahan, syak wasangka dan keimanan. Seluruh hasil pemikiran me-nunjukkan pengaruh emosi tersebut. Seseorang itu memberikan sokongan, alasan dan bukti bagi menggambarkan mengapa kita mencintai, menakuti, membenci, marah ataupun meyakini sesuatu. Seseorang itu memberi nilai emosi pada butiran yang difikirkan. Maksudnya, alasan yang digunakan adalah ber-dasarkan emosi seseorang itu. Ia tidak mengutamakan logik dan keselarasan antara fikiran dan keputusan disebabkan emosi mempunyai logiknya sendiri yang tidak perlu mengikut logik akal yang waras. Pemikiran emotif biasanya tidak berkesan bagi meyakinkan orang yang berpendidikan tinggi kerana mereka menggunakan logik akal. Golongan pendidikan rendah dapat dipengaruhi dengan menggunakan pemikiran emotif kerana perasaan memainkan peranan besar dalam proses pemikiran golongan itu.

Pemikiran Intuitif

Intuisi ialah semacam `suara hati kecil’ kita yang memberitahu sesuatu akan berlaku. Pemikiran intuitif ditandai oleh cara membuat sesuatu keputusan tanpa menggunakan fakta ataupun maklumat lengkap. Stail ini digunakan di dalam empat keadaan: (a) Apabila seseorang itu perlu membuat keputusan meskipun dia tidak mempunyai maklumat sama sekali bagi dijadikan asas keputusan yang diambil.(b) Apabila seseorang itu mempunyai banyak maklumat, tetapi maklumat itu tidak relevan dengan keputusan yang dibuat. (c) Apabila seseorang itu boleh meng-ambil lebih daripada satu keputusan dan tiap-tiap keputusan itu sama-sama baik ataupun sama-sama buruk. (4) Apabila seseorang itu terdesak dan tidak ada waktu bagi mencari mak-lumat. Berfikir secara intuitif banyak digunakan oleh golongan usahawan dan peniaga. Sebagai contoh, seorang peniaga makanan di pasar malam menggunakan intuisi bagi me-nentukan jumlah lauk-pauk yang hendak dimasak dan dijual pada malam itu. Beliau tidak tahu dengan pasti sama ada malam itu hari akan hujan ataupun sebaliknya. Beliau hanya `mengagak’ berdasarkan intuisi. Kalau hari hujan, banyak makanannya tidak laku. Tidak semua orang mempunyai daya intuisi yang kuat, oleh itu kebanyakan orang tidak dapat membuat ramalan-ramalan yang tepat berdasarkan gerak hati mereka semata-mata.

Sejauh mana intuisi berjaya membuat ramalan adalah sangat dipengaruhi oleh sebanyak mana seseorang mempunyai maklumat berkenaan perkara yang diramalkan. Semakin banyak maklumat yang dimiliki, semakin tinggi keupayaan intuisinya membuat keputusan yang tepat. Idea-idea baru dan reka cipta baru tidak dapat diketahui dengan pasti sama ada ia berjaya ataupun gagal. Berfikir secara intuitif digunakan bagi membuat keputusan. Biasanya orang membuat keputusan menggunakan gabungan antara intuisi, emosi, nilai dan logik.

Pemikiran Objektif

Tujuan berfikir secara objektif ialah mendapatkan maklumat dan fakta semata-mata. Tidak dinafikan maklumat dan analisis adalah alat yang dapat memainkan peranan penting dalam pengurusan, tetapi analisis tidak menjamin akan timbul jawapan YA ataupun TIDAK, oleh itu apabila para pengurus hendak membuat keputusan, mereka sering mendapati analisis tidak dapat meyakinkan hati mereka keputusan yang diambil itu keputusan yang tepat. Proses mengumpul maklumat ialah proses yang amat lambat, manakala dunia perniagaan berubah dengan begitu cepatnya. Maklumat yang dikumpulkan segera menjadi ketinggalan waktu dan tidak sah lagi. Bagaimana pula dengan maklumat yang tidak disangka perlu dikutip dan di-analisis? Begitu pula dengan maklumat yang tidak berdaya didapat untuk dianalisis? Tanpa kedua-dua jenis maklumat itu, dapatkah analisis ke atas maklumat-maklumat yang terhad dijadikan asas keputusan?

Seseorang itu perlu memastikan idea yang sedang dinilai adalah berdasarkan maklumat dan fakta yang betul. Berfikir secara objektif bererti seseorang itu tidak menggunakan unsur-unsur emosi, cita rasa, prasangka mahupun nilai. Maklumat penting bagi memastikan sesuatu idea itu adalah berdasarkan fakta yang betul. Maklumat penting bagi membuat keputusan yang bermutu. Anggapan bahawa lebih banyak maklumat dapat menghasilkan lebih banyak idea adalah tidak benar. Malah maklumat yang terlalu banyak boleh menyebabkan pemikir tidak berupaya mencipta idea.Apabila berfikir secara objektif, seseorang itu tidak mengemukakan sebarang cadangan, idea, pandangan, kritikan ataupun penilaian. Seseorang itu hanya mencari maklumat semata-mata. Berfikir secara objektif ialah suatu kegiatan berfikir secara logikal. Ia adalah berdasarkan maklumat dan fakta. Reka cipta yang bermutu tinggi adalah berdasarkan fakta-fakta dan maklumat-maklumat yang betul. Anggapan bahawa dengan memiliki lebih banyak maklumat maka keputusan yang dibuat lebih tepat adalah juga tidak semestinya benar kerana pemikir mungkin terkeliru berkenaan maklumat mana yang penting, yang berkaitan dan sebagainya. Oleh sebab itu, keputusan mungkin dibuat berdasarkan maklumat yang salah, yang tidak penting ataupun yang tidak relevan.

Maklumat adalah penting. Ia sangat berguna. Tetapi maklumat tidak dapat menggantikan kemahiran berfikir. Oleh kerana maklumat adalah perkara yang baik, kita sangka lebih banyak maklumat tentulah lebih baik. Ramai orang percaya lebih banyak maklumat dapat membantu seseorang itu mem-buat keputusan yang lebih tepat. Tetapi ini tidak semestinya benar. Maklumat yang banyak dapat menyebabkan sistem menjadi sarat dengan maklumat yang berkecamuk antara yang relevan dengan yang tidak relevan. Keadaan ini dapat me-nyebabkan keputusan menjadi lambat, malah ada kalanya salah. Ia juga dapat menyebabkan sistem menjadi ketat dan tidak fleksibel. Kalau seseorang itu mesti mendapatkan segala-gala maklumat terperinci berkenaan setiap makanan yang dimakan, lama-lama dia lapar dan mungkin tidak berani makan. Semua jenis makanan mengandungi jenis-jenis bahan yang dapat men-datangkan penyakit merbahaya.

Ada kepercayaan yang mengatakan maklumat dapat mem-bantu seseorang itu menemui kebenaran. Lebih banyak maklumat yang kita temui, lebih dekat dia kepada kebenaran. Selepas menjumpai kebenaran dia dapat membuat keputusan yang betul. Ada juga kepercayaan yang yakin bahawa maklumat adalah kuasa. Makin banyak maklumat yang dikumpulkan dan miliki semakin seseorang itu berkuasa. Pada hari ini pun ramai orang yakin aktiviti menganalisis maklumat dengan sendirinya menghasilkan idea-idea baru. Tetapi minda seseorang itu hanya dapat melihat apa yang hendak dilihatnya. Memang betul dengan menganalisis maklumat seseorang itu dapat me-nerbitkan idea, tetapi idea itu mirip idea lama sahaja, bukan idea-idea baru. Bagi menerbitkan idea baru seseorang itu perlu memandang ke depan dengan menggunakan proses imaginasi dan spekulasi. Menganalisis maklumat ialah aktiviti yang me-mandang ke belakang, kepada apa yang berlaku pada masa lalu kerana maklumat muncul selepas sesuatu berlaku, tidak sebelumnya. Dengan demikian jikalau analisis menghasilkan idea, idea itu mempunyai kaitan rapat dengan maklumat yang dianalisis, oleh itu idea tersebut tidak bersifat idea baru, tetapi pembaikan idea lama yang sedia ada sahaja.


Pemikiran Vertikal

Istilah `pemikiran vertikal’ dicipta oleh Edward de Bono. Beliau mencipta istilah ini bagi membezakan pemikiran lateral daripada jenis-jenis pemikiran lain yang dikelompokkannya di bawah konsep pemikiran vertikal. Istilah lain yang serupa dengan pemikiran vertikal ialah `pemikiran jujmental.’ Pemikiran vertikal merujuk kepada operasi mental yang bergerak seolah-olah dalam garisan lurus dan menegak. Ia bergerak turun-naik daripada konsep-konsep peringkat rendah ke konsep-konsep peringkat tinggi. Pemikiran lateral mencari cara-cara lain bagi mendefinisikan dan mentafsirkan masalah. De Bono me-ngatakan, `Pemikiran vertikal mengorek lubang yang sama semakin dalam; pemikiran lateral mengorek lubang-lubang baru di tempat-tempat lain.’

Pemikiran vertikal bersifat selektif, manakala pemikiran lateral bersifat generatif. Pemikiran vertikal mencari jawapan yang betul melalui satu kaedah tetapi pemikiran lateral mencari bermacam jawapan yang betul menggunakan pelbagai kaedah berfikir. Pemikiran vertikal memilih satu jawapan yang betul, dan menganggap jawapan-jawapan lain salah, meskipun jawapan-jawapan yang lain itu sebenarnya betul juga. Pemikiran vertikal bersifat analitikal manakala pemikiran lateral bersifat provokatif. Seseorang yang berfikir secara lateral mencari maklumat bukan untuk dianalisis, sebaliknya dia menggunakan maklumat itu bagi memprovokasi mindanya. Pemikiran lateral tidak berminat membuktikan sama ada maklumat itu betul ataupun salah. Asalkan maklumat itu dapat digunakan secara berkesan bagi menerbitkan pelbagai alternatif, dia sudah puas hati. Idea yang salah sekalipun dapat digunakan bagi men-dorong minda supaya terus berfikir mencari jawapan-jawapan yang akhirnya dapat digunakan.

Pemikiran lateral tidak menolak, malah menerima mak-lumat-maklumat luar yang kelihatan seolah-olah tidak relevan pada masalah yang sedang difikirkan. Idea-idea yang kelihatan seperti tidak relevan ataupun tidak berkaitan digunakan oleh pemikiran lateral bagi mencetuskan idea-idea baru sama sekali. Pemikiran vertikal beroperasi secara berurutan (sequential), iaitu lepas satu, satu, secara logikal. Pemikiran lateral membenarkan idea melompat-lompat tanpa peduli sama ada lompatan itu logikal ataupun `gila-gila.’ Seseorang yang berfikir secara lateral boleh mula berfikir daripada mana-mana sahaja yang dia mahu. Dia boleh berfikir dari hujung ke pangkal; dari depan ke belakang; dari tengah ke tepi. Beliau tidak risau pada logik, kerana logik boleh disusun semula kemudian.


Pemikiran Konvergen Dan Pemikiran Divergen

Pada awal tahun 50-an Guilford mencipta istilah `pemikiran konvergen’ dan `pemikiran divergen’ bagi menerangkan dua stail berfikir yang sangat berbeza. Ahli-ahli psikologi sebelum beliau pun ramai yang perasan manusia berfikir dengan dua cara yang sangat berlainan, di mana ada individu-individu yang berfikir terlalu konvergen dan ada individu-individu yang berfikir terlalu divergen. Pemikiran konvergen ialah jenis pemikiran yang di-ajarkan di sekolah-sekolah. Di sini, apabila seseorang itu diberi masalah bagi diselesaikan, dia dilatih supaya mencari jawap-annya dengan menggunakan logik. Cara seseorang itu berfikir hendaklah tersusun rapi supaya akhirnya dia dapat menemui satu jawapan yang tepat. Individu-individu yang berfikir begini disebut pemikir konvergen. Mereka berfikir secara rasional, sistematik dan menggunakan fakta-fakta secara tersusun rapi. Oleh itu pemikir konvergen memiliki keupayaan menyelesaikan jenis-jenis masalah yang `tertutup,’ di mana soalan-soalan itu hanya mempunyai satu jawapan yang tepat. Jawapan itu dapat dicari dengan menggunakan logik. Contoh masalah tertutup ialah masalah-masalah yang dapat dijawab menggunakan logik matematik. Soalan “Berapakah pendatang asing yang dihantar pulang pada tahun lalu?” ialah contoh masalah tertutup.

Pemikiran divergen berbeza daripada pemikiran konver-gen. Pemikiran divergen menggunakan unsur intuisi dan sangat sesuai digunakan bagi menyelesaikan masalah-masalah terbuka, iaitu masalah-masalah yang dapat diselesaikan dengan pelbagai cara. Pemikiran divergen dapat menerima penyelesaian-penyelesaian yang bersifat novel, luar biasa dan memelikkan di samping cara-cara penyelesaian yang biasa. Oleh itu pe-mikiran divergen sesuai digunakan dalam keadaan di mana tidak ada jawapan yang dianggap tepat. “Bagaimanakah caranya kita dapat menggalakkan pelancong pergi melancong ke Terengganu pada musim tengkujuh?” ialah contoh masalah yang perlu dijawab menggunakan pemikiran divergen, ataupun “Apakah nama yang lebih sesuai bagi menggantikan perkataan kelapa sawit?”

Setiap individu dapat berfikir menggunakan gaya konvergen dan divergen, tetapi berlainan individu berlainan darjah keupayaannya. Ada individu yang lebih berbakat berfikir secara konvergen, dan ada individu yang lebih berbakat berfikir secara divergen. Tidak ramai individu yang seimbang bakatnya. Ada individu yang lebih seronok apabila dapat berfikir secara konvergen sahaja dan ada individu yang lebih seronok apabila dapat berfikir secra divergen sahaja. Dikotomi konvergen/divergen hanyalah salah satu dikotomi yang dikenalpasti oleh pakar-pakar yang mengakaji perbezaan antara individu.

Otak kanan ialah sumber pemikiran divergen dan oleh itu sumber pelbagai idea kreatif dan inovatif. Namun, sistem pen-didikan hari ini lebih menghargai otak kiri yang menjadi sumber pemikiran konvergen. Sistem pendidikan sekarang me-mentingkan aktiviti-aktiviti otak kiri sehingga merencatkan perkembangan otak kanan. Aktiviti 3M (menulis, membaca dan mengira) tetap dianggap matlamat terakhir persekolahan. Walaupun pendidikan seni diadakan tetapi itu tidak dianggap pendidikan penting. Kanak-kanak tidak diajar berimaginasi; malah berimaginasi dianggap salah di sekolah. Malah pada peringkat universiti pun mahasiswa tahu bahawa cara-cara untuk lulus dengan cemerlang ialah dengan memberi apa yang pensyarah mahu.

Sistem pendidikan kita menghendaki para pelajar supaya menjadi pemikir yang analitikal, logikal dan kritikal. Ketiga-tiga cara berfikir itu adalah ciri pemikiran akademik. Imaginasi dan kreativiti, iaitu kegiatan otak kanan dan unsur pemikiran divergen, dianggap bukan ciri pemikiran akademik. Jumlah orang-orang yang terlalu berotak kanan adalah sangat-sangat sedikit. Biasanya mereka tidak tamat persekolahan, disangka tidak pintar oleh guru-guru mereka, malah mungkin dikategorikan sebagai pelajar sederhana. Mereka menjadi mangsa sistem pendidikan yang hanya memberi tempat pada murid-murid yang pandai mencari `jawapan tepat’ sebagaimana yang dikehendaki oleh guru dan kertas soalan peperiksaan. Di dalam sistem pendidikan sekarang, jawapan yang tidak `tepat’ adalah `salah.‘Semua individu mempunyai keupayaan berfikir secara divergen kerana semua individu memiliki otak sebelah kanan. Terdapat individu-individu divergen yang belajar `bermain permainan konvergen’ dan menjadi pandai dalam permainan itu. Ini kerana pemikiran konvergen adalah mudah dipelajari. Ia adalah pemikiran sistem tertutup, manakala pemikiran divergen adalah lebih sukar kerana ia adalah pemikiran sistem terbuka.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024