Artikel

Permintaan Baucar Buku Supaya Diwujudkan Semula Dalam Bajet 2018

oleh Asri Yussof pada 26 Oct 2017

Jumaat esok, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak akan membentangkan Bajet 2018. Bagi penggiat industri buku Malaysia, kita mengharapkan sesuatu yang memberangsangkan bakal diumumkan oleh Perdana Menteri pada jumaat ini supaya industri buku Malaysia kembali positif dan mendapat sinar baru pada tahun hadapan.

Semua pihak dari kalangan penulis, penerbit dan pembaca mengharapkan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) dikembalikan semula seperti tahun-tahun sebelum ini.

Ketika BB1M diwujudkan, jumlah penjualan buku menunjukkan data yang meningkat. Perkara ini memberi impak yang positif kepada kadar celik huruf negara Malaysia dan meningkatkan statistik jumlah bacaan buku rakyat Malaysia.

Kad Diskaun Siswa 1 Malaysia

Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) meminta kerajaan mengkhususkan pembelian buku dalam Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) dan pelepasan cukai gaya hidup.

Ishak Hamzah, pengerusi MABOPA berkata, permintaan pihak industri buku untuk mengembalikan konsep baucar buku tidaklah besar dan hanya membabitkan tindakan penyelarasan sahaja.

Ishak Hamzah, MABOPA

(Gambar) Ishak Hamzah - empat dari kiri di barisan hadapan bersama-sama exco MABOPA

Pengkhususan dicadangkan dibuat dengan kaedah e-wallet, iaitu pemegangnya boleh membeli buku daripada mana-mana penerbit bernaung di bawah enam persatuan berkaitan buku dalam industri buku negara.

Beliau begitu positif untuk menambah baik penggunaan KADS1M ini, walaupun ia bukan lagi dalam bentuk Baucer Buku seperti sebelum ini tetapi beliau berharap melalui kad tersebut, pengguna akan membeli buku.

Beliau mencadangkan agar ditetapkan RM100 daripada jumlah RM250 di dalam kad tersebut diperuntukkan khusus untuk pembelian buku. Cadangan dan usaha yang dikemukakan ini boleh meningkatkan kuasa membeli buku dalam kalangan mahasiswa.

Najib Razak Bajet 2012

(Gambar) Y.A.B Perdana Menteri, Dato Seri Najib Razak ketika di Parlimen Mengumumkan Belanjawan 2012 bersama-sama bekas Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Ketika pembentangan Belanjawan 2012 pada 7 Oktober 2011 di Parlimen. Kerajaan mencadangkan peruntukan sebanyak RM260 juta diberi bagi melaksanakan inisiatif pemberian baucar buku berjumlah RM200. Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada 1.3 juta orang pelajar. Pada tahun yang berikutnya, jumlah RM200 ini dinaikkan menjadi RM250.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024