Artikel

Rabiatul Adawiyah Angkat Kisah Srikandi Islam

oleh Roziyah pada 14 Jul 2010


Jika sebelum ini pembaca meneroka kisah pahlawan-pahlawan Islam, novel Rabiatul Adawiyah menyajikan kelainan dengan kisah sejarah srikandi Islam untuk santapan minda pembaca yang gemarkan novel sejarah Islam.

Novel Rabiatul Adawiyah merupakan seorang wanita yang diangkat tarafnya menjadi wali. Punyai suara yang merdu dan wajah yang ayu, namun cinta hatinya tidak mampu dimiliki lelaki. Rabiatul Adawiyah kekal sendiri kerana cinta hati hanya untukNya.

Menurut penulisnya, Tuan Zahirudddin Zabidi, sebelum melahirkan novel Rabiatul Adawiyah, beliau menghadiri kesemua bengkel yang diadakan oleh Universiti Terbuka PTS (UNIKA) kelolaan Puan Ainon Mohd.

Sejak itu beliau melihat peluang yang besar dalam menghasilkan novel sejarah Islam lantas beliau membeli semua buku Abdul Latip Talip atau lebih dikenali sebagai Pak Latip.

Beliau kemudiannya belajar teknik dan teori penulisan melalui buku-buku Pak Latip selain berguru dengan Puan Ainon Mohd.

Tuan Zahiruddin juga  melakukan kajian dan tinjauan di kedai buku dan beliau dapati buku dan novel sejarah kebanyakkannya berkaitan dengan pahlawan.

Hal itu memberikan idea kepada Tuan Zahiruddin untuk menghasilkan Novel Sejarah Srikandi Islam.

Tuan Zahiruddin yang sememangnya berminat dengan penulisan dan sejarah mahu menghasilkan lebih banyak karya sejarah termasuklah sejarah Melayu Melaka.

“Alhamdulillah, sambutan terhadap buku Rabiatul Adawiyah ini menggalakan dan ada antara pembaca yang telah mengulas buku ini,” kata Tuan Zahiruddin.

Tuan Zahiruddin kini dalam proses menghasilkan sebuah lagi novel sejarah Islam untuk PTS Litera Sdn. Bhd.

“Novel yang menceritakan mengenai kehidupan Aminah dan Abullah iaitu ayah dan bonda Nabi Muhammad bakal meruntun hati pembaca. Ujian dan cabaran Aminah dan Abdullah yang jarang diangkat dan diceritakan ini bakal diterbitkan tidak lama lagi,” jelas Tuan Zahiruddin.

Tuan Zahiruddin dalam karyanya cuba mengangkat kembali tokoh-tokoh Islam bagi melanjutkan dan meneruskan legasi Pak Latip agar kisah-kisah sejarah ini tidak menjadi dongengan dalam buku dan mampu menjadi fakta untuk generasi hari ini dan masa hadapan.

Bagi beliau pasaran novel sejarah Islam ini masih luas dan akan lebih mudah sekiranya penulis memahami teknik dan teori dalam menghasilkan novel sejarah ini.

“Contohnya Pak Latip yang telah mencorakkan arena penulisan novel sejarah Islam dan ternyata beliau sudah berjaya,” jelas Tuan Zahiruddin.

Pembaca boleh mengikuti perkembangan penulis Novel Rabiatul Adawiyah ini melalui blognya di kalamkhalifah.blogspot.com atau di facebooknya di Ahmad Zahiduddin Mohd Zabidi.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024