Artikel

Wakaf Buku PTS 2011 Bermula

oleh Roziyah pada 14 Jul 2011

Setiap tahun, PTS menganjurkan program wakaf buku yang memberi peluang kepada organisasi ataupun individu bagi menyumbang buku kepada mereka yang tidak berkemampuan.

Program ini menggalakkan rakyat Malaysia menjadikan buku sebagai satu bentuk wakaf yang bermanfaat kepada masyarakat umum.

Program ini juga secara tidak langsung memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia membaca bahan bacaan berkualiti seterusnya menggalakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat di Malaysia dan luar negara.

Sempena Baca@Ramadan, PTS memberi peluang kepada masyarakat untuk mewakafkan buku kepada mereka yang berkemampuan. Program wakaf ini menjadi salah satu cara umat Islam di Malaysia beramal soleh bagi meraih ganjaran pahala yang tidak putus-putus daripada Allah kepada pewakaf selagi mana harta yang diwakafkan itu kekal dimanfaatkan.

Melalui kedai buku online PTS, www.bookcafe.com.my akan memproses pembelian buku daripada orang ramai bagi diwakafkan seterusnya menghantar buku yang diwakafkan itu kepada mana-mana institusi ataupun tempat yang dipilih oleh pewakaf sendiri.

Program wakaf buku ini bermula dari 1 Julai hingga 31 Disember 2011 ini.

Individu yang ingin mewakafkan buku boleh menentukan sendiri penerima wakaf. Contohnya masjid, surau, perpustakaan sekolah, perpustakaan organisasi, sudut bacaan pejabat, rumah anak yatim dan lain-lain tempat yang sesuai.

Tuan dan puan yang berminat mewakafkan buku boleh melayari www.bookcafe.com/wakafbuku bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024