Buku

Wizra

oleh Ahmad Patria

RM 30.00 / RM 0.00Sabah/Sarawak
Beli Versi Cetak
Bookcafe Shopee Lazada
Beli Versi Ebook
 

ISBN: 978-967-369-358-0

Muka Surat: 552

Saiz: 4.5x7.25

Tarikh Terbit: 23 Jan 2017

Imprint: Penerbit-X

Nashan.


Sebuah negara kota jauh ke utara Aurora, yang diperintah oleh Melyn ien Sarra
iea Nashrain, puteri kesuma dan Aristokra. Dan kini menjadi pertaruhan, dalam
pertempuran seru antara tentera Nashan pimpinan Mori, kesatria utusan Artakus, Lodra
Perang Aurora, menentang gerombolan reneger Sursis, panglima adi dan pahlawan
yang tidak terkalahkan dari Gunung Utara.

Kebijaksanaan Melyn dan firasat Merkia, magia adi yang menguasai Jalan Telus,
menyaksikan kemunculan Spiara Bulwar, senjata legenda yang menakluki naga dan
monstra. Demi menumbangkan Sursis, yang tidak mempunyai tandingan di medan
perang.

Namun segala-galanya bermula sebelum itu, pada zaman yang sudah berlalu,
sewaktu Imru memerintah Aurora dari Toar Tirana dan Orde Karmawizra masih
gemilang di Toar Nebula. Dengan seorang perantis bernama Nazril, yang satu hari
nanti bakal memegang sutaf Helang Siluman, menjadi wizra gelanggang angin dan
bayang. Perjuangannya bakal menggegar Takhta Bayang di Toar Magzul, mencabar
penguasaan para morduwizra dan empayar Morrok, sehingga detik kemunculan
Artakus.

Dan dia paling terkenal, dengan hanya satu gelaran.

Wizra.

Kepahlawanan Bulwar dan keikhlasan Shilrung.

Mitos dan legenda itu, kesemuanya tertulis dalam barisan runi yang tersusun pada permukaan marmar di hadapanku. Kepahlawanan Bulwar dan pengorbanannya, serta persahabatannya dengan Shilrung, pengasas kota Nashan dan Aristokra yang pertama. Perkahwinannya dengan Haninae, puteri Dashan yang jelita, seratus tahun yang lalu, telah memulakan rumahku, huis Nashrain, yang memerintah Nashan hingga kini.

Kami memanggilnya aulaspir, tempat menyimpan senjata. Shilrung membinanya untuk spiara Bulwar, senjata legenda pembunuh monstra dan sepanjang seratus tahun huis Nashrain mendiami rumah agam itu, tiada siapa pun pernah masuk ke dalamnya.

Semua orang tahu mengenai spiara Bulwar, pernah mendengar tentangnya. Kepahlawanan putera Nordain itu, serta persahabatannya dengan Shilrung, adalah legenda Nashan yang paling agung, di dalamnya tersemat kisah kelahiran kotaku. Dan senjata legenda itu terpancar terang dalam kronika tersebut, lontaran terakhir Bulwar seakan kilauan petir putih dari langit tinggi yang menamatkan riwayat Krodra. Kemudian sinarnya lenyap bersama monstra itu, bertahun lamanya. Sehingga Jalaki, seorang nelayan, menjumpainya semula dan menyerahkan senjata ioni itu kepada Shilrung, yang kemudian membina aulaspir untuk menyimpan spiara legenda tersebut.

Dan tiada siapa boleh masuk ke dalamnya.

Pintu aulaspir tidak boleh dibuka, seolah-olah telah ditutup buat selama-lamanya oleh Shilrung. Sepanjang seratus tahun huis Nordain menghuni rumah agam yang tersergam gagah di lereng bukit Nashan itu, ramai yang telah mencuba, tertarik dengan legenda senjata ioni yang bisa membunuh monstra dan raksasa. Mereka datang dengan pelbagai cara, dengan tukul dan dengan tukang, dengan muslihat dan dengan kepakaran, dengan besi dan dengan api, namun tiada yang berjaya. Marmar hadapan dan dinding aulaspir itu tidak sedikit pun terkesan meskipun dipahat, diketuk atau digerudi dengan besi dan batu. Tiada siapa tahu bagaimana Shilrung melakukannya, membina sebuah aulaspir dengan sebegitu kukuh dan sebegitu kebal sehingga tidak bisa dimasuki manusia selepasnya.

Aku pernah bertanya kepada Ayah tentangnya, ingin mengetahui rahsia yang tersembunyi di sebalik pintu yang tidak pernah terbuka itu. Dia hanya tersenyum, renungannya pula jauh, barangkali mencari memori Shilrung.

“Janji,” kata Ayah, sepatah. “Yang tersembunyi di sebalik pintu aulaspir adalah janji.”

“Janji?” Aku tidak mengerti. “Bukan spiara?”

“Bulwar telah berjanji bahawa spiara legenda tersebut tidak akan meninggalkan Nashan. Dan Shilrung memelihara janji itu,” kata Ayah, menambahkan kefahamanku. “Janji itu adalah rahsia rumah kita, rahsia huis Nashrain.”

“Rahsia?” Aku kembali tidak mengerti. “Bagaimanakah ia menjadi rahsia? Bukankah semua orang tahu tentangnya?”

Ayah sekadar tersenyum, renungannya tiba-tiba sahaja mendalam.

“Wahai puteri kesayanganku, ketahuilah, rahsia yang paling besar, rahsia yang paling bernilai, adalah rahsia yang diketahui oleh semua orang,” katanya.

“Apa maksudmu, Ayah?” kataku, kehairanan. Dan senyum Ayah tampak semakin menghalus, seperti pengertiannya.

“Sungguh, rahsia dalam rahsia sebenarnya bukan rahsia,” sahutnya perlahan. “Demikian seni ilmu, menyembunyikan rahsia di sebalik rahsia. Maka diketahui oleh semua, namun tetap menjadi rahsia, kerana terlalu sedikit yang memahaminya.”

Rahsia.

Juga janji.

Rahsia yang disebut Ayah itu kini bergema di dalam mindaku, sebaik sahaja mendengar tentang kehebatan Sursis. Katanya, tiada siapa boleh menandingi lodra reneger itu dalam pertempuran. Tidak Shirgen, tidak juga perajurit Nashan. Siapakah yang bisa menumpaskan Sursis?

Persoalan itu paling utama, kerana kini jelas kepadaku bahawa Sursis adalah ancaman sebenar. Tanpanya, aku yakin bahawa gerombolan reneger pimpinannya bisa dikalahkan. Kehadirannya memberikan mereka keyakinan, juga kekuatan, menaikkan semangat serigala-serigala gunung itu dan memacu mereka ke hadapan.

Maka Sursis mesti ditumbangkan. Itu jelas.

Persoalannya, bagaimana? Lodra reneger itu seolah-olah jelmaan legenda perang yang tidak terkalahkan.

Pada waktu itulah kata-kata Ayah kembali kedengaran di dalam hatiku.

Rahsia huis Nashrain.

Bukankah yang tersimpan di aulaspir juga suatu legenda perang?

Aku tidak arif tentang bidang ketenteraan. Tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, tidak juga terlatih dalam ilmu peperangan. Segala urusan berkaitan pertahanan kota dahulunya dikendalikan oleh Ayah dan kini oleh Shirgen. Aku hanya menerima laporan tentangnya, mendengar sebarang cadangan atau nasihat dan kemudian meluluskannya dengan persetujuan Shirgen.

Maka apabila Mori dan Shirgen berbicara mengenai pertahanan Nashan serta persiapan menghadapi serangan Sursis, aku lebih banyak mendengar daripada bercakap. Mereka lebih mengetahui serta lebih berpengalaman daripadaku. Meskipun diam, namun perbincangan Mori dan Shirgen tetap terkesan, kerana aku mengikuti setiap perhitungan yang dibentangkan dengan teliti. Pendedahanku kepada urusan yang melibatkan pertahanan Nashan, meskipun sedikit dan terbatas, turut menyumbang kepada pencernaan itu.

Dan aku turut mempelajari, bisa juga mengerti, bahawa terdapat banyak cara serta muslihat yang boleh digunakan untuk menumbangkan seteru yang lebih gagah di medan perang tanpa perlu bertarung secara berhadapan. Senjata jarak jauh boleh digunakan untuk tujuan itu, seperti busar dan panah, atau senjata lempar seperti lembing dan tombak.

Atau spiara.

Dan bukankah spiara yang paling unggul dalam sejarah Kushan, senjata legenda yang bisa menembusi setiap zirah dan perisai, yang telah menumbangkan naga bura dan raksasa samudera, tersimpan dalam rumah agam keluargaku?

Mungkinkah ia juga bisa menumbangkan lodra serigala?

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024