Penulis

Abdullah Hassan

Abdullah Hassan, B.A., M.A. (Mal.), Ph.D. (Edin.) Profesor Bahasa Melayu dan Komunikasi Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris Lahir di Teluk Anson (Intan), Perak, pada 20 Mac 1942. Beliau mendapat pendidikan rendah di Sekolah Melayu Semanggol dan Teluk Intan, dan menengah di STAR Ipoh. Beliau mendapat ijazah Ph.D. dalam bidang Linguistik dari University of Edinburgh, Scotland (1972); dan M.A. (1969), B.A. (1967) dalam Linguistik Pengajian Melayu dari Universiti Malaya. Dr. Abdullah memulakan kerjaya akademiknya di Bahagian Pengajian Bahasa Melayu, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada bulan Mei 1972. Beliau berkhidmat di USM selama 25 tahun (Mei 72 - Mac 1997). Jawatan terakhir beliau di USM ialah Profesor Bahasa Melayu. Kemudian beliau menjadi Profesor Komunikasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kuala Lumpur selama 4 tahun, (Julai 1997 - Jun 2001). Sekarang beliau memegang jawatan Profesor Bahasa Melayu dan Komunikasi di Fakulti Bahasa, UPSI, sejak Julai 2001. Bidang pengajaran dan penyelidikan beliau ialah:

Bahasa Melayu,
Perancangan Bahasa,
Perkamusan,
Teknik Berfikir,
Terjemahan,
Etik dalam Pengurusan dan
Komunikasi Interpersonal.

Beliau pernah mendapat penghormatan anatarabangsa apabila diberi Zamalah Fullbright-Hays sebagai profesor kunjungan di Universiti California, Berkeley (1979, pensyarah perunding untuk terjemahan di Regional Language Centre, Singapura (1980) dan pemegang ke-4 Kerusi Tun Razak, di Universiti Ohio, Athens, AS, (1997-1999). Beliau telah menulis 27 buah buku mengenai bahasa, tatabahasa dan linguistik, dan menterjemah 11 buah buku. Di samping itu, bersama isteri beliau Ainon Mohd. Mereka telah menghasilkan 10 buku (berfikir), 8 (komunikasi), dan 10 (kamus).

Dalam perjuangan bahasa Melayu, beliau memperjuangkan bahasa Melayu, terutamanya bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan dan pentadbiran. Dr. Abdullah adalah ahli seumur hidup Persatuan Penterjemah Malaysia, Persatuan Linguistik Malaysia, Persatuan Wartawan Melayu Malaysia, dan Sahabat Alam Malaysia. Pada masa ini beliau adalah Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia. Beliau dan isterinya, Ainon Mohd., tinggal di Janda Baik. Di samping berkarya, mereka memberi khidmat kepada tiga projek amal di kampung tempat mereka tinggal, iaitu

masyarakat orang asli
melatih pendakwah dan sukarelawan muda,
sekolah tahfiz.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024