Al-Qadhi Abu Syuja’

Gelaran
Al-Qadhi Abu Syuja'
Tempat Lahir
Ashfahan

Syeikh al-‘Alim al-‘Allamah al-Imam Syihab ad-Dunya wa ad-Din, Ahmad bin Husain bin Ahmad al-Ashfahani asy-Syafie, lebih dikenali sebagai al-Qadhi Abu Syuja’. Beliau adalah ulama besar dalam mazhab Syafie. Beliau lahir pada tahun 433 hijrah dan wafat pada tahun 593 hijrah.

Ketokohan beliau terserlah sehingga dilantik menjadi kadi dan akhirnya menduduki jawatan wazir, iaitu menteri. Sungguhpun begitu, kedudukan dan pangkat beliau sedikit pun tidak mempengaruhi sifat soleh, warak, dan zuhudnya. Bahkan beliau dikenali sebagai imam yang soleh dan alim. Selepas bersara daripada jawatan menteri, beliau berhijrah ke kota Madinah demi berkhidmat kepada Nabi Muhammad. Beliau ingin menjaga dan melayan segala keperluan makam dan masjid nabi. Semua tugasan dijalankan dengan tekun, sehingga pada suatu ketika, orang-orang Ashfahan yang mengenalinya datang berziarah ke Masjid Nabawi. Lalu menemui dan menyapanya, “Wahai al-Qadhi Abu Syuja’.” Beliau menjawab dengan tersenyum, “Ketahui, saya bukan lagi kadi. Saya hanya tukang sapu di makam Rasulullah.”

Al-Qadhi Abu Syuja’ dianugerahkan dengan umur yang cukup panjang, iaitu 160 tahun. Sungguhpun menjangkau usia lanjut, tidak ada satu anggota badannya yang mengalami gangguan. Ketika ditanya berkenaan anggotanya, beliau menjawab, “Aku selalu berusaha menjaga anggota badanku. Sejak kecil lagi, aku tidak pernah menggunakannya bagi melakukan maksiat. Disebabkan itu, Allah menjaganya pada saat aku memasuki usia senja.”

Karya beliau yang paling masyhur adalah Matan al-Ghoyah wa at-Taqrib. Semoga Allah meluaskan rahmat-Nya untuk beliau, para ulama salaf, dan umat Islam seluruhnya.