3 Sebab Novel WIZRA Adalah Novel Sains Fiksyen Malaysia Yang Boleh Dibanggakan

oleh Najmi Ayob pada 11 Aug 2017

Tamat membaca buku kedua daripada tetralogi Kronika Nashan (KN) ini. Aku tak teragak-agak memberi 5 bintang setelah habis baca ke penghujungnya. Naratif dalam buku ini sama hebat seperti buku pertama, Aristokra.

Cerita disulam cerita, legenda disulam legenda. Demikian perjalananku dalam meniti kronika ini.

Buku kali ini banyak betul aspek yang menarik perhatianku. Tak perlu aku cerita satu-satu, kau boleh baca sendiri. Aku hanya tunjukkan beberapa perkara.

Yang pertama adalah bahasanya. Aku pernah ditanya oleh saudara Amir pendapat tentang KN jika hendak dibandingkan dengan buku-buku sci-fi dan fantasi tanah air. Jujur aku bukan selalu membaca genre sci-fi dan fantasi, tapi apa yang aku boleh katakan adalah keindahan bahasa buku ini.

Warisan persuratan Melayu terpelihara, demikian sifat buku yang baik. Kerana pada aku, keruntuhan akhlak bermula daripada kepincangan sastera. Dari buku ini sahaja kosa kata aku bertambah baik. Aku sudah tahu kata-kata seperti kinantan, adikodrati dan juga bahasa-bahasa teknikal dalam peperangan, urusan dagang dan adat-istiadat istana.

Baca juga, Sains Fiksyen tidak pernah mati di Malaysia

Baca juga, Novel Puteri Naga Tiberius tiba-tiba jadi bualan hangat 

Yang kedua, berkenaan nilai (on values). Watak-watak dalam kronika ini bukan sebarang watak. Ia hidup dengan nilai. Seperti para wizra Order Karmawizra yang berpegang kepada Diktat, dan para kesatria yang berpegang pada Koda Wira, sehinggalah kepada Aristokra yang berpegang kepada ketinggian ilmu.

Aku gemar mendengar bait-bait seperti "sebenar meninggi, merendah", "sebenar merendah, meninggi", dan beberapa kata hikmah yang kau boleh jumpa sepanjang pembacaan. Sungguh, karakter hidup dengan nilai dan maruah. Sampaikan musuh yang digelar Morduwizra bernama Teolnor juga punya nilai patriot yang mulia walaupun kerjanya sebagai antagonis. Tiada watak yang aku rasa tidak hidup dalam pembacaan, kerana penulis memastikan setiap watak ada nilai dan prinsip tersendiri.

Yang ketiga, seronoknya membaca Wizra, elemen-elemen penceritaan semakin menarik. Elemen siasah/politik, unsur ekonomi/dagang, unsur magis serta unsur kebudayaan semakin jelas.

Paling terperanjat apabila babak Wizra menerangkan teknologinya bergerak merentasi zaman dan ruang. Ia kelihatan sama dengan teori "wormhole". Jangan disangka buku fantasi tiada elemen saintifik, dalam KN kau boleh jumpa berkenaan dimensi alam, sumber dan jenis tenaga baru, serta hubungan inter-galactic antara Osria dan Arasis.

wizra

Baca juga, Apa yang anda perlu tahu mengenai Novel Wizra

Klik di sini untuk membeli novel WIZRA

Sekian dari saya, peminat KN. Insya-Allah akan kubaca hingga ke hujung kronika. (less)

Tulisan ini diambil dari reviu buku di Goodreads yang ditulis oleh Najmi Ayob. Hantarkan pandangan atau artikel anda ke marketing@pts.com.my untuk diterbitkan di sini.