Asean Literary Festival di Jakarta Dibuka Dengan Syarahan Faisal Tehrani dari Malaysia

oleh Asri Yussof pada 11 Jul 2017

Faisal Tehrani dengan beberapa buah novel yang diharamkan di Malaysia akan membuka acara Asean Literary Festival di Jakarta pada awal Ogos depan dengan syarahan mengenai demokrasi, kebebasan bersuara dan kesusasteraan di Asia Tenggara - lapor TheJakartaPost

Festival yang bertemakan "Beyond Imagination" akan berlangsung di Kota Tua, Jakarta Barat, dari 3-6 Ogos, yang bertepatan dengan ulang tahun ke-50 blok serantau ASEAN tahun ini.

asean

Penulis dan pembicara yang berpengaruh dijemput antaranya, Ahmad Fuadi- penulis novel trilogi 5 menara dari Indonesia, Azhar Ibrahim - pensyarah dan penulis dari NUS Singapura, Hariz Fadyylah dari Brunei, Clara Chow - penulis dari Singapura, dan Shaz Johar - penulis trilogi Nota terbitan FIXI Malaysia.

Faisal Tehrani pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil pada tahun 2002 melalui novel 1515 (Utusan Publications & Distributor, 2003) dan Hadiah Buku Kebangsaan pada tahun 2005, di bawah kategori Fiksyen Umum Bahasa Melayu.

Novel 1515 telah menjadi teks bacaan untuk program Pengajian Melayu di Cologne University, Jerman. Kemudian diterjemah dan diterbitkan semula oleh Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) pada tahun 2011 dan menjadi satu-satunya novel kontemporari Malaysia yang disebut dalam The Encyclopedia of Novel (Blackwell, 2011).

Pada tahun 2015, KDN mengharamkan empat buah novel Faisal Tehrani, 'Sebongkah Batu di Kuala Berang' yang diterbitkan oleh PTS Litera Utama Sdn Bhd, 'Karbala' yang diterbitkan oleh Abeerden Books World, 'Tiga Kali Seminggu' dan 'Ingin Jadi Nasrallah' yang kedua-keduanya diterbitkan oleh Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd.

Buku-buku itu dikenakan Perintah Larangan Penerbitan berkuat kuasa 1 April 2015 lalu kerana mengandungi unsur-unsur yang memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan - lapor Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN, Hasmimah Nik Jaafar.