Artikel

Berhentilah menuntut sesiapapun supaya memartabatkan Bahasa Melayu

oleh Abdul Hakim Khairuddin pada 22 Apr 2012

Pulau Pinang - “Kita berhentilah menuntut sesiapapun supaya memartabatkan bahasa Melayu. Yang perlu berbuat begitu kitalah. Bukan orang lain, tetapi kita”. Itulah sebahagian daripada ucap utama yang disampaikan oleh Ybhg. Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan bersempena Seminar Mulia Bangsa Tinggi Bahasa yang di adakan di Universiti Sains Malaysia (USM).

Seminar dirasmikan oleh Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Dr Haji Abdul Rahman Abbas.

Selain menitik beratkan penggunaan Bahasa Melayu Tinggi, beliau juga berpesan agar bersama-samalah kita memartabatkan bahasa Melayu kerana ia merupakan bahasa yang rapi dan sempurna ejaannya, nahunya, kosa katanya retorikanya. Ini adalah kerana, bahasa Melayu rendah tidak akan dapat menjadi wahana intelek tinggi dan wahana budaya tinggi.

Selain itu, penggunaan bahasa Melayu tinggi perlu dipertingkatkan dari segi cara bertutur dan penulisan. Malah, seharusnya dipergiatkan semula penulisan dan penerbitan buku ke dalam bahasa Melayu.

Beliau juga sempat berkongsi gurindam berbunyi,

Apa diharap padi seberang.
Entah berbuah entah tidak.
Entah sudah dimakan pipit.
Apa diharap bahasa orang.
Entah faham entah tidak.
Kita juga yang masih tersepit.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024